TUDUNG saji yang diangkat untuk ke sekian kalinya diletakkan kembali ke atas lantai yang beralas tikar mengkuang. Segala lauk-pauk kegemaran Iris sudah siap disediakan hampir satu jam yang lalu. Hanya menanti cucu kesayangannya itu tiba ke rumah dan bolehlah mereka menikmati makan malam itu bersama-sama nanti seperti kebiasaannya.
Seruni berkerut wajah. Tangannya naik menyentuh dada sendiri. Debar di dadanya sejak pagi tadi tidak juga hilang. Debaran yang dia sendiri tidak suka. Gerak hatinya kuat mengatakan akan ada perkara buruk yang berlaku.
Dari dapur, Seruni mengorak langkah mendaki anak tangga menuju ke pintu utama rumah. Pintu yang kemas bertutup dibuka. Sepasang mata Seruni melingas ke jalan raya yang terbentang. Beberapa minit dia tercegat di muka pintu. Menanti dan mengharap kalau-kalau adanya teksi yang akan berhenti seperti selalu di pinggir jalan itu untuk menurunkan Iris.
Dia menjengah pula memerhati langit yang dihiasi cahaya jingga. Sudah senja, tetapi cucunya masih lagi belum sampai seperti yang dijanjikan. Sudah berulang kali diingatkan kepada cucunya itu, kalau ingin pulang ke rumah, pulang sebelum senja. Ke mana Iris? Sibuk mungkin? Atau ada apa-apa perkara buruk yang menimpa cucunya itu?
Warna jingga yang cantik di kaki langit membuai Seruni ke masa lalu tanpa disedari.
"Nanti malam, boleh kalau kita berjumpa lagi?"
Seruni, gadis sunti berumur 20 tahun tersipu malu apabila mendengar pinta si teruna. Apatah lagi itu adalah pemuda yang berjaya menawan hatinya. Indra.
"Boleh?" pinta Indra lagi apabila tiada sebarang jawapan yang diberikan oleh si gadis.
Ulas bibir Seruni tersenyum, tetapi tidak lama apabila raut wajah ayahnya terbayang di ruang mata. Sekilas dia menoleh kepada Indra, lalu kepala digeleng perlahan.
"Tapi, kenapa? Kau tahu kan, aku akan rindukan kau. Seminggu hanya sekali kita berjumpa." Indra melepaskan keluhan hampa apabila menerima jawapan Seruni.
"Kau pun tahu kan yang bapa aku tidak suka aku berhubungan dengan kau? Ini pun, aku curi-curi keluar kerana mengingatkan janji aku kepada kau," balas Seruni perlahan. Kain selendangnya dibetulkan. Kalau boleh, dia juga ingin berjumpa lagi dengan Indra. Tetapi, apalah dayanya. Dia takut kalau bapanya mendapat tahu akan hubungan terlarang ini.
"Kenapa bapa kau tidak suka sama aku? Bukankah yang bermasalah dengan dia adalah bapa aku? Tidak adil kalau dia menghukum aku begini. Apa, dia tidak percaya yang aku boleh membahagiakan kau?" ujar Indra, menzahirkan rasa tidak puas hatinya.
"Dan bapa kau juga tidak suka sama aku, kan?" balas Seruni.
Azan maghrib yang berkumandang dari surau kampung menyentak Seruni. Kenangan lalu yang hampir 50 tahun lamanya berlalu pergi. Dia kembali memandang ke pinggir jalan yang masih lagi kosong. Fikirannya kembali terisi dengan memikirkan Iris yang masih belum pulang. Perlahan-lahan Seruni menutup pintu. Mungkin Iris tidak jadi pulang hari ini. Tangannya mengurut lembut dada yang berdetak kuat secara tiba-tiba.
RAMLI memandu teksi dengan kelajuan sederhana. Sesekali, dia mengerling kiri dan kanan jalan yang sedang dilalui. Kebun getah tua yang terbiar itu menimbulkan resah dalam hatinya. Sungguh dia tidak suka apabila terpaksa melalui kawasan-kawasan sunyi seperti itu di remang senja sebegini.
Sesekali dia menggeleng perlahan. Hendak dirasakan kesal, dirasakan tidak patut pula kerana ini adalah sumber rezekinya. Kalaulah tidak kerana adanya penumpang yang ingin ke Tanjung Dawai tadi, dia tidak perlu melalui jalan ini untuk pulang ke rumahnya yang terletak di Pekan Bedong.
Sepasang mata Ramli yang sesekali melingas ke kiri dan kanan jalan membuatkan wajahnya sedikit berkerut apabila terlihat sesuatu yang berada hampir 10 meter di pinggir jalan yang bertentangan. Teksi terus dipandu dengan debaran yang kian rancak di dada.
ANDA SEDANG MEMBACA
MANGSA
Mistero / ThrillerTajuk: MANGSA Penulis: DAISY ZAHRA ISBN: 978-967-2116-11-0 Harga: RM24.00 / RM27.00 Satu peristiwa hitam yang menimpa Iris telah mengubah segala-galanya. Daripada seorang gadis yang kurang keyakinan diri, dia bangkit semula ingin melunaskan dendam...
