BAB 8

374 8 0
                                    

IRIS tunduk memeriksa kertas jawapannya apabila melihat seorang petugas berjalan melalui sisi mejanya. Sengaja dia berpura-pura menulis lagi di atas sehelai kertas jawapan kosong yang masih belum digunakan. Padahal sejak 10 minit yang lalu, dia sudah selesai menjawab soalan untuk kertas Undang-undang itu. Apabila petugas itu sudah melepasi mejanya, Iris kembali memandang ke hadapan.

Pandangannya tepat kepada Haikal yang duduk selang tiga buah meja di hadapannya. Rizal dan Nizam pula duduk di kiri dan kanan Haikal yang jaraknya dipisahkan hampir satu meter antara satu sama lain.

Hatinya sakit apabila mengenangkan apa telah yang dilakukan oleh ketiga-tiga lelaki itu kepadanya, lebih-lebih lagi Haikal dan Rizal. Selama hampir dua minggu ini dia memaksa diri untuk tersenyum di depan Zara bagaikan tiada apa-apa yang berlaku. Biarpun kawan baiknya itu ada bertanya apabila melihat dirinya yang sedikit kurus. Dia pantas tunduk mengesat air matanya. Agaknya kalau aku dengar cakap nenek untuk buat pemeriksaan itu, mesti mereka takkan dapat ambil peperiksaan pada hari ini, kan? Sebaris soalan itu terdetik dalam hati Iris.

Iris menggeleng perlahan seakan-akan memberikan jawapan kepada soalan yang ditimbulkan oleh dirinya sendiri. Sudahlah. Ini kali terakhir kau akan berjumpa dengan mereka, bisik hati Iris. Nafas diambil dalam-dalam. Apa yang berlaku sudah pun berlaku. Dia sendiri yang malu untuk melakukan pemeriksaan. Jadi, apa yang harus dikesalkan sekarang?

Tangannya mengemas tiga helai kertas jawapan lalu diperiksa untuk kali yang terakhir. Hasratnya mahu keluar meninggalkan dewan peperiksaan itu dan menunggu Zara di luar sahaja untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum mereka berpisah nanti. Semakin lama dia berada di situ dan melihat ketiga-tiga lelaki tersebut, semakin sakit hatinya. Semakin susah untuk mengawal air matanya daripada terus tumpah.

Setelah berpuas hati dengan jawapannya, Iris menolak kerusi perlahan-lahan untuk bangun agar tidak mengganggu para pelajar yang lain. Sempat dia mengerling Zara di sisi kanannya yang masih tekun menulis sebelum mula mengorak langkah.

Baru saja hendak melepasi meja Haikal, entah di mana silapnya tubuh Iris tersembam jatuh. Berkerut wajahnya menahan kesakitan apabila dahinya terhentak ke lantai. Dia yakin kakinya tersadung sesuatu tadi. Tergesa-gesa dia bangun lalu menoleh ke belakang.

Kelihatan Rizal sedang tersengih kepadanya. Hujung kakinya yang baru dikeluarkan tadi, ditarik semula lalu diletakkan di bawah meja seperti sebelumnya.

"Ops! Sorry... Aku tak sengaja. Tak perasan kau lalu tadi," kata Rizal sambil tersenyum. Sepasang keningnya diangkat kepada Haikal apabila pandangan mereka bertemu. Riak wajah kehairanan kawannya tadi berubah rona. Mulai faham apabila melihatkan ekspresi wajah Rizal.

Iris memerhati para pelajar yang lain yang duduk berhampiran. Masing-masing hanya memandangnya dengan riak wajah terkejut. Mungkin tidak menjangka tiba-tiba saja dia terjatuh seperti itu. Sempat dia melihat Balqis dan Lara yang tersenyum sinis kepadanya.

"Okey ke tu?"

Suara yang menegur dari hadapan menarik pandangan mata Iris. Kelihatan salah seorang petugas yang menjaga peperiksaan itu memandangnya, mengharapkan jawapan.

"Err... ya. Saya okey. He's just a loser!" Iris sengaja menguatkan suaranya saat berpaling semula ke belakang. Sepasang matanya tajam melepaskan jelingan kepada Rizal sebelum mengorak langkah ke pintu.

Senyuman yang elok terlukis di ulas bibir Rizal sejak tadi terhapus sebaik mendengar kata-kata Iris kepadanya. Pen yang sedang dipegangnya digenggam erat. Geram. Kalaulah tidak kerana mengenangkan di mana mereka berada sekarang, harus dia mendapatkan Iris dan menampar gadis itu. Semakin sakit hatinya apabila mendengar beberapa orang pelajar lain melepaskan tawa kecil di dalam dewan peperiksan itu.

MANGSATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang