SERUNI mengerling Iris yang menjamah nasi lemaknya hanya beberapa suapan. Dia cuba menelah dalam diam mengapa cucunya itu kelihatan tidak berselera menikmati menu sarapan pagi yang sememangnya menjadi kegemarannya itu. Tangannya yang menyuap nasi lemak tadi turut terhenti. Raut wajah Iris direnung.
"Kenapa Iris? Kenapa nenek tengok Iris macam tak ada selera pagi ni? Tak sedap ya cu apa yang nenek masak?" Seruni melepaskan serkap jarangnya.
Iris yang masih bersisa rasa mengantuk pantas mendongakkan kepala memandang neneknya yang duduk bertentangan dengannya.
"Eh! Taklah nek. Sedap! Semua ni sedap. Kan memang orang suka makan semua ni? Cuma Iris rasa tak sedap badanlah," sahut Iris. Dia kembali tunduk lalu menyuap lagi nasi lemak ke dalam mulut. Biarpun dia sendiri tidak ada selera pada pagi ini, dia tidak mahu neneknya terasa hati pula dengan tingkahnya.
"Tak sedap badan?" Wajah Seruni berkerut tidak senang apabila mendengar kata-kata cucu kesayangannya.
Tangannya segera dicuci di dalam sebuah mangkuk sederhana lalu dihalakan ke wajah Iris. Dahi cucunya itu dijamah dengan belakang tapak tangan.
"Panas badan Iris ni! Agaknya cu berjaga sampai lewat malam ya? Banyak kerja? Emm?" Seruni menyoal lembut. Terbit rasa simpati apabila melihatkan raut wajah Iris yang agak pucat itu.
Iris menggelengkan kepala.
"Taklah banyak sangat, nek. Err... Iris... Orang..." Iris tergagap-gagap, cuba menipu mengenai kerja yang dilakukannya untuk Balqis. Sejak hari pertama dia disuruh oleh Balqis untuk melakukan tugasan gadis itu sehinggalah ke sekarang, Iris langsung tidak pernah memberitahu neneknya. Neneknya langsung tidak tahu-menahu akan hal tersebut.
"Jangan berbohong, cu." Mendatar suara Seruni apabila melihatkan tingkah Iris yang serba salah itu. Sudahlah begitu, cucunya itu tergagap-gagap pula untuk bersuara. Sekejap Iris, sekejap orang. Kata ganti nama yang sememangnya digunakan oleh Iris ketika bercakap dengannya.
"Err... maksud Iris, taklah banyak sangat kerja yang Iris nak kena buat, tapi semalam memang Iris berjaga sampai tengah malam. Sebab tak sedar, masa tengah buat kerja tu, tengok-tengok dah pukul 12.00 lebih," terang Iris jujur.
Seruni menganggukkan kepala.
"Agaknya sebab tu Iris kurang sihat pagi ni. Sebab tulah nenek pesan jangan berjaga sampai lewat malam. Tak elok untuk kesihatan. Nanti muda-muda lagi senang dapat penyakit," bebel Seruni. Kepalanya digeleng perlahan kerana kesal dengan kedegilan cucunya yang seorang itu.
Iris menarik muncung. Nasi lemak disuap ke dalam mulut lalu dikunyah dengan kalut sebelum membalas kata-kata neneknya.
"Alah, nenek tu pun sama juga. Cakap kat orang jangan berjaga sampai lewat malam. Tapi, nenek pun sama juga semalam. Siap makan lagi saki-baki lauk yang Iris simpan tu," balas Iris sambil mengangkat kening kepada neneknya.
Senyuman yang elok meniti di ulas bibir Seruni apabila melihat cucunya yang kembali berselera, mulai pudar perlahan-lahan apabila mendengar kata-kata Iris. Lama cucunya yang sedang menikmati nasi lemak itu direnung sebelum bersuara.
"Semalam?" soal Seruni sepatah. Biarpun banyak lagi soalan yang ingin dilepaskan, tetapi hanya sepatah yang terkeluar.
"Emm... semalam. Iris sendiri yang tanya dan nenek pun mengaku. Siap makan sireh lagi lepas tu," balas Iris sambil menganggukkan kepala, mengiakan pertanyaan neneknya.
Dada Seruni berdetak tidak keruan apabila menerima jawapan daripada Iris.Kenapa? Kenapa sekarang tiba-tiba saja ini berlaku? Mustahil! Dia tidak pernah...
"Nek?"
Suara Iris yang menegur menarik perhatian Seruni yang kian tersasar daripada realiti. Dipandangnya Iris dengan segaris senyuman paksa pada wajah.

ANDA SEDANG MEMBACA
MANGSA
Mystery / ThrillerTajuk: MANGSA Penulis: DAISY ZAHRA ISBN: 978-967-2116-11-0 Harga: RM24.00 / RM27.00 Satu peristiwa hitam yang menimpa Iris telah mengubah segala-galanya. Daripada seorang gadis yang kurang keyakinan diri, dia bangkit semula ingin melunaskan dendam...