BAB 5

436 7 0
                                    

"TAK guna!" Balqis mengetap bibir menahan geram apabila melihat markah yang terpapar di muka pintu bilik salah seorang pensyarah lewat petang itu. Matanya masih merenung geram pada nama yang mencatatkan markah tertinggi untuk subjek Human Resource Management itu.

"Itulah... I dah cakap kan hari tu? Si Iris tu memang sengaja, tapi you yang tak percaya," kata Lara sambil tersenyum sinis.

Balqis mengerling Lara. Renungan matanya tajam menikam pandangan Lara, sekali gus mematikan niat Lara yang ingin terus berkata-kata.

"Macam mana pula dia sengaja? Kan hari tu kita sendiri yang semak kerja yang dia buat untuk Balqis. Semuanya betul," kata Hani sambil terus membelek kertas markah yang dilekatkan di muka pintu bilik pensyarah itu.

Lara mendengus geram apabila mendengar soalan yang dirasakan lurus bendul daripada Hani. Dia mengerling Balqis yang sudah cemburut wajahnya apabila melihat markah yang tertera.

"Memanglah kita sendiri yang semak dan semuanya betul. Tapi, cuba kau orang fikir. Entah-entah dia pergi mengadu kat pensyarah kita... bocorkan semua rahsia yang selama ni, kertas-kertas tugasan Balqis, dia yang buat. Kalau tak, takkanlah markah dia lagi tinggi daripada markah you, Qis? Mesti Puan Lina dah tolak markah you," kata Lara dengan penuh yakin.

"I tak rasa macam tu. Iris tu penakut. Takkan beranilah dia nak buat macam tu," balas Balqis.

Hani pula mengangguk-anggukkan kepala tanda bersetuju dengan kata-kata Balqis.

"Fine. Kalau itu yang you rasa. Tapi bagi I, memang Iris tu sengaja nak sabotaj you. Lagipun, you ingat dia tak berani ke nak buat kalau semester ni dah nak habis? Ni semester terakhir tau. Lepas ni, bukannya dia nak jumpa dengan you dah. Jadi, bila lagi dia nak balas dendam kepada you, kan?" balas Lara sambil menguntumkan senyuman sinis.

Balqis terjeda. Kata-kata Lara hanya menambahkan sakit dalam hatinya. Macam mana kalau betul memang Iris yang laporkan kepada Puan Lina sehingga markahnya ditolak? Jadi, memang betullah Iris nak sabotaj dirinya kan?

"I ada rancangan," ujar Balqis.

Hani berkerut wajah. Lara tersenyum suka.

"AMBOI! Tak sabar nampak nak balik?"

Iris yang sedang melipat sehelai baju-T pada malam itu, menoleh ke arah sumber suara yang menegur. Kelihatan Zara yang baru melangkah masuk ke dalam bilik dengan beberapa buah buku dan dua beg plastik di tangan.

"Yalah. Saya risaukan nenek tu. Awak pun tahu kan dia tinggal seorang diri," balas Iris.

"Tahu... Kemas tu kemas juga, ni... saya ada belikan mi goreng. Jomlah! Makan dulu," kata Zara. Dua beg plastik yang dibawa tadi diangkat untuk ditunjukkan kepada Iris.

Iris tersenyum senang. Macam tahu-tahu pula Zara yang dia memang sedang lapar sekarang. Tangannya semakin lincah melipat pakaian yang masih berbaki untuk dimasukkan ke dalam beg. Semakin tidak sabar rasa hatinya untuk pulang ke kampung esok.

"Orang panggil makan, dia senyum-senyum pula. Kenapa? Mesti teringatkan orang lainlah tu selain nenek, kan?" usik Zara.

"Isy! Mana ada. Saya cuma tak sabar sebab selepas ni, kita akan ambil peperiksaan akhir. Selepas tu, semuanya akan selesai," balas Iris.

Zara yang sedang membuka salah satu bekas makanan itu mengerling Iris sebelum bersuara.

"Maksud awak, Balqis?" Zara mengangkat kening kepada Iris.

Iris mendiamkan diri. Sengaja tidak menjawab soalan Zara. Tangannya terus melipat baju yang terakhir sebelum dimasukkan ke dalam sebuah beg sederhana besar.

MANGSAWhere stories live. Discover now