Bab 1: Gantung

1K 11 1
                                    


Malam itu begitu sunyi. Suasana dingin ruang tamu yang kosong hanya bertemankan cahaya lampu malap. Kedengaran jarum jam dinding berdetak dari saat ke saat yang seterusnya. Dia sudah nekad dengan keputusan dalam genggaman. Tidak lagi dia mahu berpatah balik seperti sebelumnya. Sudah banyak kali dia memikirkan penyelesaian dan mencari jalan keluar tapi tiada jawapan yang tepat. Dia buntu dan keliru. Tiada siapa yang boleh dirujuk mahupun tempat untuk dituju. Matanya seakan memberat. Tidak terdaya dia ingin membuka matanya. Dua hari sudah dia tidak menjamah makanan hanya beralaskan air Milo kosong. Itupun dia sudah tidak lalu untuk minum.

Dia membuka langkah dengan mengangkat kaki kiri ke atas kerusi makan plastik berwarna putih itu. Dalam dua jengkal jarak kipas besar berdaun tiga tepat di atas kepalanya. Dia mengeluh bila mengenangkan ketinggian rumah sewanya yang tidak seberapa itu. Mata memandang tepat ke arah tali hitam yang sudah diikat kemas pada kipas. Walaupun dada masih sebak dengan tangisan yang bagai tiada pernah akan berakhir itu, air matanya sudah kering. Pandangan matanya menjadi sayu dan lemah setelah seminggu menangis tiada henti. Makan juga sudah tidak lalu, mandi juga hanya termenung membiarkan air jatuh lalu ke kulit namun tiada juga singgah pada keseluruhannya.

'Mama', rintih suara hati kecilnya.

Gambaran seorang wanita separuh abad terlintas di fikirannya. Dia yang tergantung di hujung nyawa itu mulai sedar tindakan yang diambil itu salah. Dia tidak patut sesekali berasa menyesal dengan pilihan dia sebelum ini kerana pada masa itu, jalan itu yang dipilihnya. Bukan sesiapa melainkan dirinya sendiri yang bersalah dalam hal itu kerana dia yang membenarkan sumber lain menguasai dan mempengaruhi fikiran dan jiwanya. Seandainya dia menolak segala tawaran dan godaan syaitan yang menghasut dia berbuat sedemikian pastinya semua itu tidak akan pernah tercatat dalam cerita hidupnya.

Tawaran? Ya, dia ditawarkan dengan keseronokkan dan kebahagiaan yang sementara. Dia sedar cinta manusia hanya sementara di dunia tapi kasih seorang ibu pada anak kekal abadi dan tetap akan terus mekar hingga berakhirnya dunia. Walaupun sudah banyak kali dilukai, dia tetap juga berdegil mahu meneruskan perbuatan kejinya itu. Kini, dia terpaksa menanggung akibat bersendirian. Dia berasa amat bersalah pada dirinya sendiri namun, apakan daya dia tidak berani untuk meminta pendapat dan nasihat dari sesiapa kerana berasa amat malu dan takut dipandang hina oleh masyarakat. Dia juga tidak mahu melukai hati seorang ibu dan tidak mahu lagi menconteng arang di muka kedua ibu bapanya.

Hati kecilnya meronta kesedihan, jiwa mulai rayu kerinduan, batinnya sedang menjerit kesakitan. Air matanya mula mengalir perlahan membasahi pipinya.

Didengari satu suara memanggil namanya berulangkali dari celahan tingkap bilik utama di hadapan. Suara dikenali yang menjadi penghibur di saat kelapangan waktunya. Dia cuba menyahut kembali panggilan suara itu dengan memanggil nama panggilan lelaki tersebut, "M-m...Ma...Ma...el". Dia sesak antara cuba untuk bernafas dengan menghembuskan hanya satu kata nama itu. Anak matanya sesekali melilau ke atas dan ke bawah. "Ma...el", sekali lagi menjadi usaha untuk menyeru nama sahabatnya. Gagal. Suaranya perlahan bagai hanya lintasan angin yang keluar dari kerongkong kosong dan kering.

Ruang tamu di bahagian hadapan bersebelahan bilik utama namun, kaca pintu depan rumah sewa itu dilitupi dengan keratan akhbar yang kononnya ditampal kerana mahukan lebih privasi dan tidak mahu diperlihatkan kepada orang luar segala aktiviti yang berlaku apatah lagi yang sedang berlangsung pada masa ini.

Telefon pintar miliknya berdering irama lagu 'About a Girl' dendangan dari kumpulan 'The Academy is...' semakin lantang.

"Kim! Oh, Hakim! Kau tengah tidur ke? Aku nak keluar makan ni, nak ikut tak?", jerit suara lelaki itu dari luar tingkap selepas beberapa kali memanggil namanya.

Bukan Milikku (Hiatus)Where stories live. Discover now