Bab 4

138 2 0
                                    


ARASH mengukir senyuman sebaik terpandang Kak Jasmin di muka pintu biliknya. Kedatangan wanita itu amat dia nantikan bagi menjawab persoalan yang bermain di fikirannya.

"Sorry Arash, tadi Kak Min ada meeting dengan bos." Kak Jasmin yang terlambat ke pejabat Arash segera memohon maaf.

Antara dia dan lelaki itu bagai kakak dan adik sahaja. Tidak perlu memanggilnya dengan gelaran encik mahupun tuan. Walaupun anak bosnya ini sentiasa kelihatan serius, dia sebenarnya seorang yang suka bergurau andai telah kenal rapat dengannya. Ada ketikanya, dia juga suka membuat kejutan sampai orang lain tidak tahu bagaimana mahu memberi respons yang sepatutnya.

"Tak apa, Kak Min. Duduklah," pelawa Arash. Terasa bersalah pula menyusahkan pengurus sumber manusia itu sampai kelam-kabut ke pejabatnya.

"Hmm... ada apa ya, nak jumpa Kak Min?" tanya Kak Jasmin sambil menarik kerusi lalu duduk.

"Tak adalah perkara penting. Cuma nak tahu siapa yang selalu hidang kuih umi saya tu?"

"Sorry sekali lagi, sibuk sangat sampai terlupa Kak Min nak beritahu. Sejak setiausaha Tuan Bakri cuti bersalin, Miya yang tolong hidangkan kuih tu."

"Miya?" Arash mengulangi nama yang begitu asing di telinganya.

"Sebenarnya nama dia panjang, tapi boleh panggil Miya aje. Dia projek eksekutif kita dan bertugas di pejabat Tuan Bakri," beritahu Kak Jasmin lagi.

"Ya ke... patutlah tak pernah nampak sebelum ni."

"Kalau Arash nak tahu pasal Miya, nanti Kak Min bagi semua maklumat pasal dia," janji Kak Jasmin sambil tersenyum simpul. Dia memang sengaja tekan sebutan nama gadis itu!

"Okey..." Arash mengangguk walau sebenarnya dia berasa agak segan dengan senyuman penuh makna Kak Jasmin. Wanita itu bagai dapat menghidu tujuan dia bertanya fasal gadis itu.

"Kalau tak ada apa-apa, Kak Min beredar dulu." Kak Jasmin terpaksa memohon diri kerana sekejap lagi dia ada perbincangan dengan staf di jabatannya pula.

"Thanks Kak Min."

"You are welcome."

Arash memerhati wanita itu hingga hilang dari pandangan. Kemudian dia mengurut lehernya beberapa kali. Sungguh dia letih. Kebelakangan ini dia lelah sampai tidak tahu hendak luahkan kepada siapa. Andai letih fizikal, dia masih mampu mengatasinya. Tetapi kalau letih otak, rasa macam teruk sangat!

Semua orang hanya nampak penampilan luaran dirinya sahaja. Dia yang kononnya beruntung dan hidup gembira dengan kerjaya yang membanggakan. Tetapi tiada siapa tahu betapa dirinya struggle untuk semua itu.

Ada kalanya dia berasa cemburu dengan kehidupan orang lain yang dirasakan lebih membahagiakan. Tiba-tiba dia teringatkan kata nasihat pakar motivasi yang dia dengar di corong radio.

'Andai mahu memperbaiki kelemahan diri, kita perlu menempuh sebuah perjalanan yang mencabar. Justeru, pasangan yang terbaik adalah si dia yang berbaloi untuk dibawa dalam perjalanan itu.'

Ya, dia perlu memilih pasangan yang kenal kelemahannya dan akan melihat keadaan dirinya yang paling lemah. Tapi, di mana hendak mencari si dia yang sanggup menerima dirinya dengan keyakinan yang dia mampu berubah menjadi lebih baik? Dia juga perlu mendukung janji kepadanya dan juga diri sendiri.

Mampukah dia menemui seseorang yang sanggup bersusah payah dengannya? Dirinya belum tentu mampu memegang tangan bakal isterinya demi bersama-sama menjadi insan yang lebih baik. Akhirnya Arash mengeluh berat bersama harapan yang belum tentu dapat dicapai. Semakin dia fikirkan perkara itu, bertambah serabut fikirannya.

Akad Dua HatiWhere stories live. Discover now