Bab 10

134 1 0
                                    

USAI menunaikan solat zuhur, Arash termenung di biliknya. Kadang-kadang dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang diinginkan dalam hidup ini.

Kehilangan arwah mamanya sedikit sebanyak merubah dirinya. Tiada lagi keceriaan dalam hidupnya, malah hari-harinya terasa bosan dan kosong. Masanya banyak dihabiskan di pejabat. Tiada hiburan, tiada juga kehidupan bersosial dengan sahabat handai.

Balik rumah cuma untuk berehat dan tidur sahaja. Bukan dia tidak tahu uminya pasti menyediakan hidangan kegemarannya. Tapi akhirnya hanya papa yang menemani uminya setiap kali makan malam.

Dia sendiri tidak pasti sampai bila mahu menjarakkan diri dengan uminya. Padahal wanita itu tidak bersalah langsung. Cuma hatinya tidak boleh menerima apabila papanya terlalu mudah mencari pengganti. Kesetiaan mamanya bagai tiada harga di mata papanya.

Tiba-tiba wajah Puan Sharifah terbayang di ruang mata. Bukan dia tidak cuba untuk menjadi anak yang baik meskipun wanita itu hanyalah ibu tiri. Ya, istilah ibu tiri itulah yang membuat hatinya sakit!

Sejak dari awal lagi, dia tidak boleh menerima kehadiran Puan Sharifah menggantikan arwah mamanya. Baik macam mana pun layanannya, tidak pernah akan sama dengan arwah mamanya. Mujur dirinya tidak sampai bersikap kurang ajar pada wanita itu.

Jauh di sudut hati, dia tetap berasa kasihan padanya. Uminya tidak pernah jemu membuat sesuatu yang menyenangkan dirinya. Tapi hatinya tetap keras dan pura-pura tidak nampak segala kebaikannya. Entah sampai bila uminya sanggup bertahan dengan sikapnya.

"Arash, are you okay?" tegur Kak Jasmin apabila menyedari lelaki itu bagai berada dalam dunianya sendiri. Badan sahaja di pejabat, tetapi hati dan fikirannya menerawang jauh ke tempat lain.

"Nanti pagi Isnin suruh dia datang ke pejabat saya." Arash yang tersedar terus memberikan arahan kepada Kak Jasmin.

"Siapa?"

Arash terkedu dan segera mengusap wajah. Rupa-rupanya tanpa sedar dia telah memberi arahan yang tidak sepatutnya kepada Kak Jasmin.

"Arash ada masalah ke? Tak payah nak segan cerita dengan Kak Min."

"Tak ada apalah, saya cuma rasa penat sikit," adunya.

Arash memang berasa serba tidak kena apabila terkantoi di hadapan wanita itu. Mujur juga Kak Jasmin yang masuk ke biliknya. Andai staf lain, tidak tahu di mana hendak sorok rasa segannya.

"Jangan kerja kuat sangat. Kesihatan perlu dijaga," nasihat Kak Jasmin.

Arash tersenyum. Kak Jasmin memang layak memegang jawatan pengurus sumber manusia di syarikat ini. Dirinya bukan sahaja pandai mengurus staf dan hal pejabat, dia juga bijak menangani emosi manusia yang berbagai ragam.

"Arash?" panggil Kak Jasmin apabila dia kembali berdiam diri.

"Ada apa ya, Kak Min nak jumpa saya?" Arash bertanya perlahan.

"Tak ada apa sebenarnya. Kebetulan lalu sini dan ternampak Arash macam tak sihat aje."

"Terima kasih Kak Min sebab selalu ambil berat pasal saya," ucap Arash.

Seketika dia tunduk. Dalam diam cuba menahan rasa sebak yang tidak semena-mena datang. Sejak dahulu lagi, dia banyak terhutang budi dengan wanita yang telah dianggap sebagai kakak sendiri itu. Kak Jasmin sering membantunya dalam banyak perkara termasuk hal kerja dan yang peribadi juga.

"Hal kecik aje, Arash. Tak payah berterima kasih. Hmm... Miya macam mana? Nak nak tahu jugak perkembangan hubungan korang."

Spontan, Arash tertawa mendengar pertanyaan Kak Jasmin. Tiba-tiba terasa terbang semua masalah yang melanda. Rasa sebak di dada turut hilang dalam sekelip mata.

Akad Dua HatiWhere stories live. Discover now