Bab 17

90 3 2
                                    

HUJUNG bulan, Ain semakin sibuk hingga terpaksa membawa kerjanya balik ke rumah. Bertugas sebagai planner memang membuatnya sentiasa sibuk.

Setiap minggu sekurang-kurangnya ada dua kali mesyuarat di tapak projek. Status perkembangan projek juga perlu dikemas kini setiap minggu. Jika tiba-tiba ada variation order, lagi bertambah kerja dia.

Ketika dia sedang meneliti laporan projek, loceng rumah berbunyi pula. Dalam kemalasan, dia melangkah berat menuju ke pintu. 'Siapa jugaklah yang datang malam-malam ni?' gerutunya.

Sebelum membuka pintu, terlebih dahulu dia mahu mengintai melalui lubang intip. Lubang itu dilengkapi dengan lensa mata ikan yang mempunyai bidang pandang yang lebih luas dari dalam. Memang perlu ucap berbanyak terima kasih kepada tuan rumahnya yang prihatin dengan keselamatan penyewanya.

Seketika dia membesarkan mata, tidak percaya dengan apa yang dilihat. 'Hah! lelaki? Hmm... boleh tahan handsome jugak mamat ni.' Sempat juga dia meneliti tetamu yang tidak diundang itu.

Dalam tertanya-tanya dia tetap membuka pintu, tetapi dengan sedikit bukaan sahaja. Ain tidak menunjukkan wajahnya memandang ketika ini dia tidak menutup aurat dengan sempurna.

"Ya, nak jumpa siapa?" sapanya.

"Tolong panggilkan Miya, boleh? Saya nak jumpa dan ajak dia dinner," pinta lelaki itu.

"Awak ni Arash ke?" Ain menduga. Apabila mahu berjumpa dengan Miya, dia sudah boleh mengagaknya. Apatah lagi sahabatnya itu tiada teman lelaki yang rapat.

Lelaki yang berseluar jeans dan berkemeja-T itu segera mengangguk dan mengukir senyuman. Ain yang melihatnya melalui lubang intip, terpaku buat beberapa saat sebelum menuju ke bilik sahabatnya.

'Aku kena cepat ni. Aduhai Cik Miya bertuah! Segak macam tu pun masih tak nak berkolaborasi dengan dia?' bisiknya.

"Miya!" panggil Ain sambil mengetuk pintu bilik bertalu-talu. Tidak sabar mahu beritahu gadis itu tentang kedatangan seseorang.

Miya yang baru selesai membaca al-Quran, segera bangun membuka pintu. Telekung pun tidak sempat hendak ditanggalkan. Bingit telinga apabila teman serumahnya mengetuk bagai nak rak. Boleh runtuh pintu biliknya andai dibiarkan!

"Kenapa?" Kalut Miya bertanya. Tubuh Ain dipandang atas bawah. Hendak kata ada kecederaan di bahagian tubuhnya, tiada apa-apa kelainan yang dia nampak.

"Buka telekung dan cepat bersiap," arah Ain.

"Yalah, tapi kenapa?"

"Malam ni ada yang ajak pergi dinner. Rezeki dan jodoh jangan ditolak." Selamba Ain menjawab sambil main-main mata.

"Siapa yang baik hati sangat tu? Aku memang tak makan lagi ni."

"Kalau nak tahu, tunggu apa lagi? Cepat la tukar baju dan pakai tudung."

"Okey..." Tanpa berfikir panjang, Miya memberi persetujuan.

Kelam-kabut juga dia menukar pakaian tidurnya kepada blaus dan seluar panjang. Tudung pun dia main capai sahaja walau tidak berapa sepadan dengan warna blausnya. Asalkan menutup aurat, itu sudah memadai. Cantik atau tidak, belakang kira.

Keluar dari bilik, dia terkejut melihat Ain yang bersantai sahaja di sofa bersama komputer ribanya. Teman serumahnya itu tersengih apabila menyedari dia telah siap untuk keluar makan.

"Eh, kau tak ikut sekali ke?" Miya bertanya kehairanan.

"Tak, aku kenyang. Kau sorang ajelah pergi."

"Kau ni kan, macam-macam!" kompelin Miya lalu menuju ke pintu. Tadi bukan main lagi Ain menyuruh dia bersiap, tetapi akhirnya tidak mahu pergi pula.

Akad Dua HatiWhere stories live. Discover now