Bab 5

125 2 3
                                    


PETANG Sabtu, Miya menemani Ain membeli tudung di Bangi Centre. Ain mahu hadiahkan tudung istimewa sempena hari lahir emaknya.

"Yang ni cantik Ain, sesuai untuk mak kau," cadang Miya sambil menunjukkan tudung berwarna kelabu muda kepadanya.

"Hmm... memang cantik. Adik, yang ni ada saiz L tak? Emak saya suka pakai tudung yang labuh." Ain bertanya pada staf yang sedang melayani mereka.

"Ada." Gadis manis yang cantik mengayakan shawl ringkas itu segera mencari saiz yang Ain mahukan.

"Kau tak nak beli ke?" tanya Ain pada Miya pula.

"Tak apalah. Tudung yang aku beli untuk raya puasa pun tak berpakai."

"Kau tu memang! Asyik pakai tudung yang sama aje pergi kerja. Sekali-sekala pakailah yang baru dan fesyen terkini," saran Ain.

"Aku malaslah nak buang masa pin sana pin sini," balas Miya. Dia lebih suka tudung dua muka, ringkas dan selesa dipakai. Kadang-kadang sahaja dia bertudung bawal.

Setelah membuat pembayaran, mereka berdua terus beredar menuju ke tempat parkir. Dalam perjalanan balik nanti, Miya bercadang hendak membeli air kelapa dan nangka yang dijual di tepi jalan.

Dari jauh, tiba-tiba Miya perasan sesuatu. Macam kereta Volvo antik tempoh hari sahaja. Takkanlah dua kali boleh kebetulan kereta diparkir sebelah-menyebelah?

Sebelum masuk ke dalam kereta, Miya menjenguk ke dalam kereta sebelah. Sah ia kereta yang sama, cuma dia memang tidak ingat nombor pendaftarannya.

"Apasal kau asyik tengok kereta lama tu?" tegur Ain.

"Tu bukan kereta lama la. Itu kereta antik." Miya membetulkan istilah yang sahabatnya gunakan.

"Dah kereta zaman dahulu kala, kereta lamalah!"

"Kau ni memang jenis tak reti menilai!" kutuk Miya sambil matanya liar memandang sekeliling. Kempunan lagilah dia sebab tidak tahu siapa pemiliknya.

"Dahlah Miya, jomlah kita balik," pinta Ain yang tidak sabar mahu pulang ke apartmen mereka.

"Yalah-yalah!" Baru sahaja beberapa meter kereta bergerak, Miya terlihat seorang lelaki membuka pintu kereta Volvo melalui cermin pandang belakang.

"Boleh tahan jugak orangnya," komen Miya walau tidak nampak wajah yang empunya diri.

"Kau cakap pasal siapa ni?" tanya Ain sambil menoleh ke belakang. Namun, tidak nampak sesiapa pun.

"Lelaki yang memandu kereta Volvo tulah." Hendak tak hendak sahaja Miya menjawab.

"Alamak, rugi betul kita tak tunggu sekejap. Kalau tak, boleh jugak kita berkenalan dengan orang tu. Siapa tahu, ada peluang kau jadi girlfriend dia. Sama-sama suka barang antik!" perli Ain kemudian tertawa.

"Ni kau punya pasallah, nak cepat sangat!" marah Miya.

Dia bukannya hendak jadi girlfriend lelaki itu. Dia cuma mahu pastikan siapa sebenarnya lelaki yang telah dia gelar 'tikus mondok' itu.

"Kalau dah jodoh tak ke mana," balas Ain.

Miya diam sahaja dan meneruskan pemanduan. Lama juga masing-masing membisu melayan perasaan sendiri.

Selepas masuk ke simpang kiri, tiba-tiba Miya berhentikan kereta di bahu jalan. Dia segera membuka tingkap sebelah Ain.

"Kenapa?" Spontan Ain bertanya.

"Pak cik, masuklah. Saya tumpangkan ke surau," pelawa Miya ketika seorang pak cik lalu di sebelah keretanya.

"Miya ke?" Tanpa berlengah, pak cik itu terus masuk ke dalam kereta.

Akad Dua HatiWhere stories live. Discover now