Bab 7

108 3 0
                                    

HUJAN mula membasahi bumi. Sesekali guruh berdentum kuat membuat Miya terkejut. Walaupun makan tengah hari di restoran dalam mall, tetap dapat mendengar bunyi guruh juga. Mujur dirinya tidak mudah melatah.

'Hai orang depan ni, bilalah awak nak sudah? Aku nak cepat balik ni. Makan pun sampai senget-senget tali leher!' Miya mengomel dalam hati.

Rasa menyesal pula bersetuju makan di sini bersama dengannya. Habis mesyuarat tadi, tanpa diduga lelaki itu mahu singgah makan sebelum balik ke pejabat. Rupanya pagi tadi dia tidak sempat bersarapan. Itu yang Miya tidak sampai hati hendak menolaknya.

"Senget, ya?" tanya Arash sambil tangan kiri membetulkan tali lehernya.

Miya terus terlopong. Aduhai... malunya dia. Tapi, masakan lelaki itu boleh dengar? Dia bercakap dalam hati saja. Ops, terlupa pula yang jejaka di hadapannya ini adalah Ultraman Taro! Miya menyimpan senyumnya.

Seketika dia membuang pandang ke arah lain, janji bukan wajah Arash. Dia juga amat berharap lain kali tiada mesyuarat di luar. Bersama dengannya membuat dia berasa amat tidak selesa.

"Awak makanlah banyak sikit. Saya tak nak staf saya pengsan sebab tak cukup makan. Nanti saya jugak yang susah," tegur Arash.

"Susah apa pulak?" Terpaksalah Miya membalas, takkan asyik hendak membatu sahaja.

"Susah hatilah. Takut awak tak terbawa hati saya ni." Arash tersengih.

"ALLAHUAKBAR!" Miya yang terkejut mendengarnya terus mengurut dada. Apa yang tidak kena dengan anak bosnya ini? Sudah biul ke?

"Kenapa? Dah masuk waktu ke?" Arash sengaja mahu mengusik.

Miya buat tidak dengar sahaja. Memang dia tidak sangka perangai Arash boleh tahan juga. Andai dia terus melayannya, mahu sakit jiwa. Dia bertambah tidak selesa apabila mata lelaki itu asyik memandangnya. Hendak saja dia ambil garfu dan mencungkil biji matanya. Biar buta macam Kasim Selamat!

"Miya, awak okey?"

"Hmm..."

"Jauh-jauh saya bawak awak makan kat sini, tak nak sedekah senyuman kat saya ke? Dari tadi asyik masam aje," tegur Arash bersahaja.

Amboi, lelaki di hadapannya ini betul-betul Zain Arash al-Bakri ke? Pertama kali ada urusan dengannya, baru Miya tahu rupanya lelaki ini sama saja seperti kebanyakan lelaki di luar sana. Kategori pandai mengayat dan miang walau tidak ketara sangat.

"Senyum yang dibuat-buat pun tak apa. Nanti tidaklah orang sebelah ingat kita ni pasangan yang sedang bergaduh," sambung Arash.

Akhirnya Miya tersenyum juga. Memang ikhlas tapi jauhlah! Huhu...

Tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita. Dia terus sahaja duduk di kerusi sebelah Arash. Beg tangannya turut diletak di atas meja. Miya hanya memerhati penampilannya yang agak keterlaluan. Hendak kata minah salih, kulitnya sawo matang. Tapi rambutnya mengalahkan warna emas. Tidak sesuai langsung!

"Hai Arash! Lama tak nampak you," sapanya.

Arash memandang wajah yang empunya diri, namun tidak membalas sapaannya. Sebenarnya dia terkejut dengan kehadiran Syereen di situ, tetapi tetap berlagak selamba. Banyak-banyak restoran, boleh pula terserempak dengannya di sini.

Miya pula terpaksa buat hal sendiri tanpa mempedulikan kehadiran wanita yang baginya tidak diundang langsung. Salam tidak ada, selamba badak sahaja menyertai mereka. Memang tidak beradab.

"Eh, ni siapa? Takkan pengganti I kut? Teruk sangat cita rasa you!"

Berdesing telinga Miya mendengarnya. Walaupun dia tiada apa-apa hubungan dengan Arash, rasa sentap juga apabila wanita itu seakan memandang rendah dirinya. 'Eh, aku bukan sembarangan perempuan la!'getusnya.

Akad Dua HatiWhere stories live. Discover now