Bab 6

119 2 1
                                    

BUNYI hon kereta yang bertalu-talu di kawasan parkir apartmen bersebelahan mengejutkan Miya dari lena. Situasi yang sering dialami memandangkan apartmen tersebut kekurangan petak parkir.

Kadang-kadang dia berasa pelik dengan sikap mementingkan diri di kalangan penduduk. Sepatutnya tidak menarik brek tangan supaya kereta boleh dialihkan. Ini akan memudahkan kenderaan yang terhalang keluar dari petak parkir.

Miya sendiri tidak pasti sampai bila masalah double parking ini akan berakhir. Mujur dia menyewa di apartmen yang memiliki petak parkir sendiri. Malah siap berbumbung lagi!

Sebaik memasang lampu dan terpandang jam dinding yang menghampiri pukul tujuh pagi, kelam-kabut dia masuk ke bilik air. Bagaimana boleh terlambat bangun ni? Omelnya sendiri.

Miya hanya mandi ala kadar sahaja dan segera mengambil wuduk. Usai bersolat dan berdoa, dia pantas bersiap untuk ke pejabat. Pagi ini dia ada mesyuarat di Seremban. Dia juga perlu sampai awal dan singgah di pejabat terlebih dahulu sebelum ke sana.

Setelah memastikan tudung bawalnya dipin kemas, Miya mencapai beg tangan dan beg kerjanya di meja solek. Kemudian menekan punat di tombol pintu lalu menutupnya. Ketika membuka beg tangannya, baru dia perasan dia telah tertinggal sesuatu.

"Alamak!" Miya menepuk dahi.

Kunci tiada dan tertinggal dalam rumah. Tadi dia terlupa hendak check. Kini dia terperangkap antara pintu utama dan gril.

Relaks Miya. Dia memujuk diri sendiri sambil cuba membuka pintu menggunakan kad yang ada dalam dompetnya. Berkali-kali juga dia mencuba, namun masih gagal. Padahal, ini bukan kali pertama dia tertinggal kunci dan jadi MacGyver.

Sepuluh minit telah berlalu dan dia sudah mula berpeluh. Mesyuarat di Seremban pada pukul 10.00 nanti dan dia akan ke sana bersama Tuan Arash. Pasti dia kena tegur andai lambat tiba di pejabat. Sudahlah ini kali pertama dia diminta menggantikan Encik Haziq untuk menghadiri mesyuarat itu. Kalau dia pergi sorang-sorang, tidak kisah sangat sebab tidak melibatkan orang lain.

Kini matanya melilau dan amat mengharapkan kelibat jirannya. Malangnya tiada sesiapa yang kelihatan melalui koridor menuju ke lif. 'Aduhai... takkanlah hari ini mereka tidak bekerja?' gerutunya.

Akhirnya dia terpaksa menghubungi Suria untuk membantunya. Harapannya cuma satu, semoga wanita itu sudah sampai ke pejabat. Miya memang ada menyimpan kunci pendua di laci mejanya. Hanya Suria seorang yang tahu di mana dia sorok kunci rumahnya.

"Helo, apasal call aku pagi-pagi ni?"

"Aku tertinggal kunci rumah. Sekarang terperangkap dalam sangkar sempit ni," adu Miya yang kesal dengan kelalaian diri.

"Housemate kau mana?"

"Dia balik kampung. Sampai ofis nanti, tolong ambil kunci pendua rumah aku tu. Sebelum datang sini, kau bagitaulah kat sesiapa yang kau terpaksa ke rumah aku." Miya memang sudah terdesak meminta pertolongan.

"Aku memang nak bantu kau, tapi masalahnya tak boleh!" balas Suria pula.

"La... kenapa pulak?" Miya berasa amat hampa kerana tiada siapa lagi kawannya yang boleh dia harapkan untuk membantunya.

"Kau lupa ke yang hari ni aku bercuti? Ni dah lepas tol Jalan Duta," jelas Suria yang dalam perjalanan ke Tapah, menuju ke rumah mak mentuanya.

"Habis tu, macam mana sekarang ni?" Miya sudah mati akal.

"Kau kena tunggu staf lain masuk ofis, kemudian baru mintak tolong kat dia orang."

"Aduhai... pagi ni aku ada meeting dengan Tuan Arash. Dokumen ada kat aku. Ni mesti kena bambu kalau lewat sampai ofis."

Akad Dua HatiWhere stories live. Discover now