Bab 5

3.3K 45 1
                                    

BANGKIT semula, waktu zohor sudah hampir ke penghujung.

Ya Allah! Lamanya aku tidur. Sejak dulu, perangaiku memang begini. Kalau orang lain stres tak lena tidur, aku stres tidur lebih lena.

Turun ke bawah setelah menunaikan solat zohor, aku dengar suara orang bercakap-cakap di ruang makan. Suara lelaki!

Siapa?

Takkan papa dan balik? Masih awal lagi ni.

Langkah kakiku perlahan menuju ke ruang tersebut dan, sekujur tubuh lelaki yang sedang elok duduk di meja makan sambil bercerita dengan mama buatkan mataku terlupa untuk berkelip.

Mama yang terlebih dahulu nampak kelibatku terus melambai.

"Dira...."

Terus saja lelaki yang duduk elok di kerusi membelakangiku berpaling sebelum sempat aku melarikan diri.

Arrgghh!! Aku tutup kepala dengan tangan sebelum berlari laju naik ke atas mencari tudung. Aku tak bertudung dan dia sudah melihat rambutku.

Turun ke bawah semula, langkahku mati di tengah ruang menuju ke meja makan. Haris yang sedang melangkah keluar dari ruang itu juga turut terhenti. Tapi hanya seketika sebelum dia meneruskan langkah tanpa sikit pun memandang ke arahku.

"Tadi kata sibuk." Aku bersuara tanpa menoleh ke arahnya.

Melalui ekor mata, aku nampak dia berundur dan berdiri selari dengan kedudukanku yang sedang berdiri menghadap ke arah dapur.

"Yang sibuknya tadi. Sekarang dah tak sibuk." Dia bersuara tanpa menoleh.

Aku berpaling ke arahnya. Namun, dia tetap tegak berdiri memandang lurus ke depan.

"Anak dara tak elok tidur siang." Kali ini baru dia berpaling dan sebuah senyuman dihulurkan tapi, aku langsung tak ada hati nak balas senyumannya.

"Lagi satu, rambut you tu, tolong jaga untuk suami saja." Dia terus berlalu sehabis menuturkan ayat tersebut.

Eh? Dia sebut suami ke tadi?

Aku pantas berpusing memandang langkahnya yang teratur menuju ke pintu utama. Dulu, ketika zaman kanak-kanak dulu, dia memang sudah terbiasa datang dan lepak-lepak di rumah ini kerana dia memang rapat dengan Abang Ikmal.

Cuma selepas abangku yang satu itu ke asrama penuh selepas PMR dan keluarga dia juga berpindah ke daerah lain, Haris sudah jarang ke sini. Dulu rumah keluarganya sederet saja dengan rumah keluargaku.

Langkah pantas aku atur mengekori langkahnya menuju ke pintu. Aku masih tak puas hati, masih mahu bergaduh dnegannya.

"Assalamualaikumm..." Tiba-tiba ada suara memberi salam dan kelihatan langkah Haris terhenti di muka pintu, seolah terkejut memandang tetamu yang muncul.

Tapi, aku macam kenal dengan suara tersebut. Pantas aku berlari anak menjenguk di belakang Haris.

"Abangggg!" Aku terus terjerit tatkala melihat lembaga manusia yang berdiri di muka pintu.

Tak peduli dengan Haris yang berdiri tegak di tengah-tengah, aku tolak tubuhnya ke tepi dan melompat keluar. Lengan Abang Ikmal menjadi sasaran cubitanku.

"Tak cakap nak balik. Saja buat orang susah hati. Call banyak kali tak dapat." Sambil membebel, jemariku ligat mencubit lengannya.

"Aduhhhh! Sakitlah sayang oiii..." Abang Ikmal pula ligat menepis.

ASALKAN DIA BAHAGIA 2019Where stories live. Discover now