BANGKIT dari tidur pagi itu, aku tenyeh mata berkali-kali. Pesanan WhatsApp yang dihantar dari nombor telefon yang tidak tersimpan dalam senarai pemanggil di telefonku. Tapi aku tahu milik siapa nombor tersebut sebab susunan nombornya senang diingat 3442323.
Nombor siapa lagi kalau bukan nombor Haris. Aku tahu pun sebab dia yang menghubungiku minggu lepas.
Can't sleep. Maybe I'm awake in your dream.
Euuwww!!!
Rasa nak lempar telefon ke bawah katil. Pesanan tersebut dihantar jam 2.00 pagi. Seingat aku, waktu tu aku dah lena dan tak ada pula mimpikan dia.
Tarikh kahwin kita, sebulan dari sekarang.
Lagi satu pesanan aku baca. Dihantar awal pagi ini. Sesubuh pagi.
What? Sebulan?
Aku terus terlompat turun dari katil bila otak berfungsi mencerna maklumat yang dihantar.
Ini semua kerja gila!
Tangan naik mengetuk dahi, mencari akal untuk berdepan dengan permasalahan ini. Saat itulah kedengaran suara mama memanggil namaku di luar pintu bilik.
"Ada apa ma?" soalku sebaik membuka pintu. Pagi ni tak ada kuliah. Lepas solat subuh tadi aku kembali tidur. Sekarang sudah pukul 10.00 pagi.
Mama hulurkan beberapa keping kad yang terpegang di tangannya bersama senyuman di bibir.
Aku kerut kening. Hanya memandang huluran mama tanpa bersambut. Walau tidak dinyatakan dengan suara, hati sudah dapat meneka.
"Contoh kad. Ris hantar awal pagi tadi minta Dira pilih. Lepas tu, dia minta Dira WhatsApp dia yang mana satu. Nanti dia settlekan."
"Maa..."
"Ris minta cepatkan. Dia kata dah bincang dengan Dira dan Dira setuju."
Aku besarkan mata. Tangan naik memegang dada sendiri. Ada gaya seperti mahu meletup. Tapi, sabar masih bersisa.
Haris... permainan apakah ini? Apa yang you mahu buktikan pada I?
Aku sambut jua kad di tangan mama. Walau apa masalah aku dengan Haris, mama dan yang lain tak perlu tahu.
Sebaik mama pergi dan pintu bilik ditutup, aku capai telefon dan nombor dia aku hubungi.
"I nak cakap....."
"I tengah busy." Terjahanku dia pintas pantas, terus mematikan bicaraku.
"I tak peduli you busy ke bapak busy ke!" Aku tak mahu mengalah.
Dia terus terdiam di hujung sana. Hanya desah nafas yang menampar anak telinga.
"Harisss!!" Kali ini aku terjerit kuat. Terasa mahu menangis pun ya juga.
"You tahu tak, bila you dah jadi isteri I nanti, you tak boleh bercakap kasar begini. Berdosa." Tenang-tenang saja suara Haris tapi kenapa aku rasa bagaikan sebutir bom jatuh di atas kepala?
Sedetik aku terdiam. Marah itu sifat tercela. Bukankah orang yang kuat itu adalah orang yang berjaya mengawal marahnya? Dan, aku ingin nampak kuat di mata Haris.
"I tak pernah setuju untuk kahwin dengan you apatah lagi untuk cepatkan majlis." Suaraku kembali terkawal.
"I dah tempah semuanya. Tak boleh tarik balik." Balasnya tanpa ada nada bersalah. Seolah yang bersalah dalam hal ini ialah aku.
"Apa niat you sebenarnya, Haris? Kita pun tak pernah bincang hal ni tiba-tiba you dah tempah semua benda."
"Keluarga kita dah bincang, Dira. Keluarga you kata you tak bantah."
Aku lurut rambut sendiri.
Bukan aku tak bantah tapi aku tak sempat nak cari alasan untuk membantah sebab semuanya berlaku dengan pantas. Dah la aku busy dengan study. Ingatkan semuanya masih dalam perbincangan dan tunggu aku habis belajar. Panjang sikit masa untuk aku fikir bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini.
Mana tahu tiba-tiba nak terus kahwin. Macam tak menyempat pula. Aku pun pelik dengan Haris ni. Kalau dia tu perempuan, boleh juga kata mungkin sudah mengandung dan mahu jadikan aku kambing hitam. Tapi masalahnya dia tu lelaki. Peliknya juga dia tu memang sejak perempuan keliling pinggang. Kenapa aku juga yang nak dipaksa jadi isteri dia?
"I memang nak ajak you bincang tapi you macam tak boleh dibawa berbincang. Call pun tak berjawab." Haris pulangkan paku buah keras.
Dan..aku tak tahu nak jawab apa. Memang aku tak jawab panggilannya selepas pertemuan minggu lepas. Aku fikir, dia faham yang aku memang tak mahu. Dan selepas dia diam, aku fikir dia akan mengalah.
Rupanya sangkaanku silap. Dia bukan mengalah tetapi membuatkan aku hilang daya untuk berbalah.
"I tengah sibuk Dira. Kalau tak ada apa-apa, I nak putuskan talian. Kita jumpa nanti."
"I tak nak kahwin dengan you!." Hampir terjerit aku meluahkan ayat tersebut. Ayat yang entah kali ke berapa aku ulang dan ulang.
"Dah terlambat Dira. Kalau you nak batalkan juga, kita jumpa di mahkamah."
Wah! Ini sudah lebih. Takkan nak batalkan majlis pun harus melangkah ke mahkamah? Gila ke apa dia ni?
Kali ni, aku terus terdiam. Sekali lagi, dia menang.
"Kita tak pernah bercinta, bagaimana nak kahwin?" Aku pusing jalan cerita. Tapi fokusnya tetap sama. 'Kami tak sepatutunya kahwin.'
"You boleh ajar I cara bercinta lepas kahwin." Tenang saja suaranya, tanpa nada dan tanpa rasa. Macam asam pedas yang tak ada asam dan tak ada cili.
Aku sedut nafas dalam-dalam. Bagaimana nak ajar orang cara bercinta sedang aku sendiri belum pernah jatuh cinta?
"Soal baju dan persiapan, umi akan uruskan. You cuma perlu bawa badan saja." Haris bersuara lagi setelah lama aku terdiam.
"Harisss..."Aku cuba lembutkan suara. Mana tahu kalau-kalau boleh memujuk dia untuk berkompromi.
"Dira, lepas kahwin nantilah kalau you nak goda I pun. Sekarang ni, I kat tempat kerja."
Cis! Memang tepat kena atas muka.
'Tapi Haris, you jangan perasan ya, Sebab I tak teringin pun nak goda you. Mamat Indon yang kutip derma untuk tabung masjid tu lagi mengujakan kalau nak dibandingkan dengan you.' Aku berkata sendiri dalam hati.
Perbualan aku tamatkan tanpa ucap salam. Geram punya pasal.
Seketika merenung skrin telefon yang kelam, aku cuba hubungi Abang Ikmal. Mahu mengadu kerana aku yakin hanya dia yang boleh memahami apa yang aku rasa. Mahu meminta tolong juga supaya dia bercakap dari hati ke hati dengan Haris.
Aku percaya hanya Abang Ikmal yang boleh handle lelaki yang bernama Haris Aryan itu.
Pun begitu, talian langsung tak dapat ditembusi. Bukan sekali malah berkali-kali aku mencuba namun gagal. Sudahnya, aku tertidur kembali.
YOU ARE READING
ASALKAN DIA BAHAGIA 2019
RomanceDunia ini bukan hanya untuk kita dan hidup ini, bukan hanya untuk ketawa gembira. Payahnya menjadi seorang Adira Imani apabila dia 'harus' mengahwini Haris Aryan demi 'membawa pulang' Ikmal Reza. Kerana dia hanya si anak pungut, perkataan akur itu...