Bab 1

4.6K 65 0
                                    


HARIS!!

Memang itu nama yang aku dengar mama sebut.

"Datin Maria dah setuju. Dato' Hijaz pun sokong kita satukan Adira dengan Haris." Suara mama masuk ke telingaku. Walau tempat aku berdiri agak terlindung, setiap patah yang diucap masih jelas.

Siapa lagi anak Datin Maria dan Dato' Hijaz kalau bukan Haris Aryan? Tapi kenapa tiba-tiba saja? Tak ada ribut atau taufan, tiba-tiba mama dan abah bercerita tentang perkahwinan aku dan lelaki itu.

Tahukan mama yang aku tak pernah suka dia? Sejak dulu, sejak kami sama-sama di bangku sekolah, tidak pernah terdetik di hatiku untuk cuba jatuh cinta pada dia.

Walau ketika itu ramai pelajar perempuan terkejar-kejar mahu mendapatkan perhatian dia, aku pula tarik handbreak kuat-kuat.

Bukan sebab dia tak kacak. Tidak! Dia memang layak digelar lelaki idaman malaya. Keturunan baik-baik, ada harta dan rupa. Ada gaya dan aura. Pendek kata, dia ada segalanya.

Ya! Haris Aryan itu lelaki yang punya segalanya. Dan kerana 'segalanya' itulah aku tak berani walau hanya untuk menjeling ke arahnya. Aku tak berani walau hanya untuk menyimpan secebis rasa suka terhadapnya.

"Inah, awak dah tanyakan Dira ke?" Suara abah membalas.

Mereka berdua tak sedar, aku sedang berdiri di balik dinding menuju ke ruang rehat keluarga.

"Alaaa.. Dira tu anak yang baik bang. Inah percaya dia akan setuju saja apa jua perancangan kita." Penuh yakin mama membalas.

Betul, aku anak yang tak pernah membantah. Tapi untuk sebuah perkahwinan yang menentukan masa depan, adakah aku juga harus akur tanpa bantahan?

"Tapi Inah, Dira tu masih belajar. Tak boleh ke tunggu dia habis belajar dulu." Abah seperti tidak bersetuju.

"Bang... kalau tunggu Dira habis belajar, lagi dua tahun. Maknanya lagi dua tahunlah Ikmal tak akan balik Malaysia."

Abang Ikmal? Apa kaitannya Abang Ikmal tak mahu balik Malaysia dengan rancangan 'penyatuan' ini? Dan..kenapa harus melibatkan Haris?

Aku jadi makin teruja untuk tahu rahsia yang tersembunyi. Memasang telinga penuh hati-hati agar tidak terlepas walau sepatah perkataan.

"Ikmal tu anak kita bang. Anak kandung kita. Abang tak rasa apa-apa ke bila anak kandung sendiri terpaksa hidup jauh dari kita hanya sebab mereka dua beradik bukan mahram?."

Oh! Aku mula faham. Ya! Walau aku dan Abang Ikmal digelar adik beradik tapi hakikat yang satu itu tidak mampu diubah. Kami bukan mahram. Aku hanya anak pungut yang ditemui di depan pintu masjid. Bukan darah daging Puan Zarinah dan Tuan Bahktiar.

Kerana leka dengan kasih sayang melimpah ruah keluarga ini, aku lupa tentang hal yang satu itu. Walau aku ditatang bagai minyak yang penuh, kenyataan tetap takkan berubah.

"Dan Kalau dia balik pun, dia akan cari rumah lain. Tak selesa tinggal sebumbung dengan Dira, katanya." Bicara mama seterusnya buat aku urut dada.

"Saya tak sanggup bang. Dah terlalu lama dia pergi. Sambung belajar dan sekarang sambung kerja di tempat orang." Suara mama bersambung lagi dan abah berterusan diam.

"Mulanya saya tak fikir tentang semua tu. Tapi bila Ikmal cakap begitu, saya rasa dah tiba masanya saya carikan calon suami untuk Dira. Lepas kahwin, dia pasti akan ikut suami dan Ikmal sudah tidak ada alasan untuk tidak balik tinggal bersama kita. Bolehlah bantu abang di pejabat."

ASALKAN DIA BAHAGIA 2019Where stories live. Discover now