PENAT! Majlisnya walau tergesa-gesa, tetap juga meriah. Ramai yang hadir adalah keluarga serta kenalan kedua-dua belah pihak termasuklah kawan-kawan Haris. Hanya rakan-rakan aku saja yang tidak dijemput.
Sebabnya, aku tak mahu seorang pun di kalangan teman-temanku yang tahu. Jadinya, yang hadir semua teman-teman Haris saja. Tapi, dia heret aku pusing dewan berkenalan dengan kenalannya.
"Dira..." Suara umi buatkan mataku yang kuyu kembali segar.
Selepas majlis, Haris paksa aku ikut dia balik rumah dia. Perangai memang betul-betul macam nazi. Semua nak aku ikut dia saja.
"Pergilah naik atas rehat Dira. Muka tu dah letih sangat umi tengok."
Aku yang sedang duduk rehatkan kaki di kerusi yang terdapat di ruang dapur rumah besar ini terus bangkit berdiri.
Tadi lepas solat maghrib berjemaah ramai-ramai, Haris menghilang bersama papanya dan beberapa orang saudara mara dia yang singgah sebelum pulang ke rumah masing-masing.
"Tak payah tunggu Ris, dia masih sembang lagi tu." Sambung mertuaku.
"Yalah. Dira naik dulu ya, umi."
Apabila umi mengangguk, Kaki terus melangkah keluar dari ruang dapur tapi tidak pula menuju ke atas. Entah kenapa gatal saja mahu menjenguk ke luar.
Dari muka pintu utama, tak kelihatan Haris dan papanya. Hanya ada beberapa orang kaum kerabat yang masih bersembang sambil minum. Yalah! Mungkin lama tak jumpa. Waktu kenduri beginilah boleh berkumpul.
Aku atur langkah menjenguk ke pintu sebelah kanan pula. Banglo ni, gila punya besar. Kalau main sorok-sorok pun, satu hari takkan jumpa.
Berdiri di pintu menuju ke taman mini, telingaku terdengar suara orang bercakap-cakap. Perlahan aku menghampiri untuk mendengar. Macam suara bapa mertuaku.
"Siapa dia sebelum ni tak penting. Yang penting siapa dia bila jadi isteri kita." Memang suara bapa mertuaku.
Bercakap dengan siapa?
Melalui celahan daun pintu, aku lihat bapaa mertuaku sedang berdiri selari dengan Haris yang berdiri berpeluk tubuh. Haris Aryan yang kini sudah berstatus suami pada seorang Adira Imani.
"Selepas ni papa nak Ris tumpukan pada syarikat dan rumah tangga. Tak ada lagi enjoy dan perempuan sana sini."
"Pa... kawan saja tak salah, kan?" Haris menjawab.
Nafas aku tarik panjang. Memang betul tekaanku, dia memang kaki perempuan. Tak berubah sejak dulu.
"Memang tak salah. Tapi kalau berdua antara lelaki dan perempuan tu, orang ketiga ialah syaitan dan janji syaitan ialah akan sentiasa menghasut anak adam sehingga tersesat. Papa bimbang jika Ris tersilap langkah. Nafsu lelaki walaupun satu, kuatnya mengalahkan sembilan nafsu perempuan."
"Insya Allah tak, pa." Haris berjanji.
"Yang akan membuatkan seseorang lelaki itu kuat dan berjaya dalam hidup ialah perempuan dan yang mampu membinasakan lelaki dalam sekelip mata juga perempuan. Dira itu walaupun keturunannya kita tak tahu, papa yakin dia perempuan baik-baik yang mampu menjadi isteri yang menyenangkan suami. Jaga dia selayaknya."
"Baik, pa." Kepala Haris terangguk beberapa kali.
Cuma itu yang aku dengar sebelum langkah aku undur ke belakang. Sebabnya, dadaku tiba-tiba jadi sebak mendengar bicara bapa mertuaku.
YOU ARE READING
ASALKAN DIA BAHAGIA 2019
RomanceDunia ini bukan hanya untuk kita dan hidup ini, bukan hanya untuk ketawa gembira. Payahnya menjadi seorang Adira Imani apabila dia 'harus' mengahwini Haris Aryan demi 'membawa pulang' Ikmal Reza. Kerana dia hanya si anak pungut, perkataan akur itu...