Bab 2

3.8K 56 0
                                    

ISNIN pagi kelas batal. Naura ajak aku ke Maybank Bandar Baru Bangi. Mulanya malas nak pergi sebab aku nak terus balik saja. Sejak aku dengar perancangan mama, hatiku memang tak pernah pandai bertenang.

Tapi, memandangkan Naura tak ada kereta dan berharap sangat aku dapat menghantarnya, aku pergi juga.

Lepas Naura selesai urusan di kaunter, aku dahului langkahnya keluar dari bank.

Pun begitu, langkahku mati di depan pintu sebaik pandanganku menangkap kelibat seseorang di hujung kaki lima bank tersebut.

Haris?

Ya! betul, itu Haris. Walau aku lama tak jumpa dia, gaya dan rupa dia tak pernah berubah. Sedang berdiri dengan sebelah tangan menyeluk kocek seluar. Nampak kacak walau tanpa tie, hanya berkemeja dengan lengan sudah berlipat hingga ke siku.

Rasanya kali terakhir aku jumpa dia ialah tahun lepas, hari raya. Waktu itu keluarganya mengadakan jamuan raya dan kami sekeluarga ke rumahnya di Country Heights. Itu pun, hanya melihat dari jarak jauh.

Dia sedang bercakap-cakap dengan seorang lelaki India. Di sebelahnya berdiri seorang wanita cantik bergaya. Mungkin sedang berbicara hal bisnes kerana ketiganya berwajah serius.

"Jom!" suara Naura mengejutkan aku

Serentak itu, kepala Haris berpusing dan pandangan kami bersatu. Tapi, hanya sedetik dan Haris kembali mengalihkan pandangan ke arah lelaki di depannya.

Aku tarik tangan Naura untuk pergi. Dalam kepala aku terfikir, Haris memang tak kenal aku atau sengaja buat-buat tak kenal? Mustahil Haris tak tahu apa-apa tentang kami sebab kata mama seminggu yang lepas, Haris setuju dan aku juga 'harus' setuju.

Memandu pulang setelah menghantar Naura ke kampus UKM semula, aku masih memikirkan tentang pertemuan tadi. Mungkinkah Haris tak perasan aku atau mungkin juga Haris sengaja buat tak kenal?

Motif? Aku sendiri kurang pasti.

Tiba di rumah, aku disambut oleh mama dengan senyuman lebar. Kata orang, senyum sampai ke telinga.

"Awal balik?"

"Kelas Batal, ma."

"Oh! Kalau cepat tadi boleh jumpa dengan Datin Maria."

Aku tak jadi masuk ke rumah. Mendengar nama Datin Maria, langkahku terus mati. Buat apa Umi Haris datang ke sini pagi-pagi begini?

"Mmm... mama tak keluar ke?" Aku alih topik bicara. Selalunya waktu-waktu begini, mama sudah tiada di rumah, mesyuarat dan pelbagai aktiviti amal untuk memenuhi waktu terluang.

"Belum sempat keluar, Datin Maria call cakap nak datang. Tu yang tak jadi keluar." Mama tarik tangan aku masuk ke rumah, menuju ke sofa dan duduk bersamanya.

Kemudian, mama tunjukkan aku sebentuk cincin berhias dua biji permata ruby yang di susun bersilang dan diikat diamond di tepinya.

Cantik!

Belum sempat aku bersuara bertanya, mama sudah pun menyarungkan cincin tersebut ke jari manisku dan memang ianya betul-betul saiz jariku, seolah diukur-ukur.

"Ni cincin tanda dari Haris. Datin Maria hantar tadi."

Aku terus kaku. Betul ke ini dari Haris? Atau Datin Maria sengaja mereka cerita? Kalau benar dari Haris, kenapa selama seminggu setelah kata setuju aku berikan, lelaki itu langsung tidak mencariku? Atau paling tidak menghubungiku bertanya sepatah?

ASALKAN DIA BAHAGIA 2019Where stories live. Discover now