JARI-JEMARINYA menyentuh setiap buku yang tersusun cantik di rak buku. Wajah seorang gadis berkaca mata terbaring di atas katil sambil membaca buku terbayang di mata Sarah. Gambar mereka sedang memeluk satu sama lain terhias di bingkai. Wajah gadis yang memeluknya disentuh dengan hujung jarinya.
Sarah mengambil tempat duduk di atas kerusi di meja solek yang sudah lama tidak terusik. Gincu merah yang terjatuh diangkatnya. Penutupnya dibuka. Gincu yang sentiasa menjadi minat adiknya. Warna merah darah ini sering menjadi pilihan adiknya untuk mewarnai bibirnya apabila dia keluar.
"Aina... kakak rindukan kau twinnie." Mata Sarah mulai berkaca apabila kenangan bersama kembarnya itu hadir di kotak memorinya.
Dia dan Aina adalah kembar seiras. Wajah mereka dan juga ketinggian mereka adalah sama. Selain itu, tiada persamaan antara mereka berdua. Aina lebih bersifat kewanitaan dan cantik. Oleh kerana itulah adiknya itu sering mengambil bahagian di dalam pertandingan ratu cantik. Selalunya adiknya itu akan mendapat tempat kedua atau ketiga.
"Kau sanggup buat pembedahan menyantikkan bibir demi nak memenangi pertandingan tu... walau kakak tegah, bukan?" Dia bertanya dengan gambar adiknya.
Dia masih teringat enam bulan lalu, semasa penemuan mayat yang disumbat ke dalam beg itu dipaparkan di dada televisyen.
Flashback.
"Penemuan tiga buah beg yang berisi mayat wanita yang dipotong telah menggemparkan penduduk bandaraya Ipoh," kata wartawan yang sedang berada di kawasan kejadian.
Sarah yang sedang mencetak iklan tentang kehilangan adiknya itu terus berdiri tegak. Butang suara alat kawalan televisyen itu ditekan. Dia mahu mendengar setiap butir kata wartawan itu dengan jelas.
"Seorang kanak-kanak dilaporkan lemas semasa sedang bermandi-manda bersama kawan-kawannya di tasik di belakang saya." Wartawan itu menunjukkan tasik di belakangnya.
"Mayat kanak-kanak itu ditemui tidak jauh dari tempat dia dilaporkan lemas. Namun, seperti yang anda lihat di belakang saya, para penyelam sedang mengeluarkan beberapa beg dari dasar tasik ini."
Sewaktu itu, imej sebuah beg hitam ditunjukkan di kaca skrin televisyen. Sarah terus terduduk. Entah mengapa hatinya berdegup kencang apabila pandangannya jatuh kepada beg hitam itu. Dia terasa bagaikan punyai kaitan dengan beg tersebut. Nama Aina terus terdetik di hatinya. Dia menggeleng laju.
Mimpi yang menghantuinya selama enam bulan lalu kembali ke kotak ingatannya. Mimpi yang mana Aina sedang lemas dan meminta tolong darinya.
Setiap malam dia akan bermimpi tentang Aina. Malahan, kini dia punyai perasaan pelik apabila melihat beg hitam itu. Hatinya terus berdoa agar Aina masih hidup. Bukan mayat Aina di dalam salah satu beg tersebu.
Bukan Aina... dia cuba menidakkan bisikan hatinya. Namun lebih kuat dia menafikannya, lebih kuat hatinya mengatakan bahawa mayat yang disumbat di dalam beg itu adalah Aina.
Flashback tamat.
"Sepatutnya kakak sudah tahu yang kamu..." ketukan di pintu bilik menyebabkan Sarah menoleh. Perlahan ibunya memasuki bilik yang dahulunya milik Aina.
"Sarah... kita kena kemas bilik adik. Tiada gunanya kita menyimpan kenangan dia sekiranya itu boleh melukakan kita."
"Sarah tak mahu ibu... biar la bilik Aina begini." Lirih sahaja suara Sarah. Dia tidak mahu mengosongkan bilik adiknya walaupun dia tahu Aina tidak mungkin akan kembali. Sekurang-kurangnya jika dia rindukan Aina, bilik ini boleh dikunjungi.
"Kakak tak boleh terus begini... pembunuh adik pun su..."
Jeritan Sarah mengunci terus mulut ibunya.
YOU ARE READING
Beautiful Killer - Published
Mystery / ThrillerCantik. "Beauty lies in the eyes of the beholder," kecantikan itu terletak pada mata yang memandang. Bagaimana pula dengan kecantikan yang menjadi sumpahan? Sarah kehilangan adiknya, yang mana mayatnya ditemui di dalam sebuah beg. Bersama mayat adik...