SEPASANG mata coklat lelaki itu melihat. Senyum terukir di bibirnya. Bukannya susah untuk dia mencari sasaran yang seterusnya.
"Aku harap kau tak seperti Aina. Kau akan sayangkan aku, kan?" Hujung pisau belati itu dimainkan mengikut lengkok wajah seorang gadis yang mana poster wajahnya terlekat di dinding.
Poster beberapa orang gadis masih terlekat di biliknya dengan tanda pangkah yang besar. Gambar Aina yang sedang tersenyum menerima trofi tempat kedua juga terlekat di dinding itu.
"Ze... Zehra... a... aku... cin... cintakan kau," tergagap-gagap dia meluahkan perasaannya kepada gadis di poster itu.
Kepalanya disengetkan sedikit. Ibu jarinya diletakkan di bibirnya sebelum ibu jari yang sama diletakkan di atas gambar bibir Zehra.
"Kau akan menang, seperti Aina, Ameera, Katerina dan Alisya. Cuma kau jangan tolak cinta aku. Kalau kau terima, kau akan hidup." Dia terus bercakap dengan gambar Zehra. Hidung gadis itu sedikit pesek.
"Hidung ni, boleh dicantikkan. Hanya jadi milikku tau."
Dia mendekati poster yang mengandungi gambar Alisya. Lesung pipit gadis itu memang menarik. Dia adalah isterinya yang pertama. Gadis yang pertama dia cintai.
Alangkah bagusnya jika Alisya menerimanya. Malahan, dia sanggup berhabis duit kerana gadis itu. Alisya, dia masih ingat akan gadis itu. Permintaannya tak pernah kurang. Hari ini set barangan make-up berjenama, esok pula baju. Dia tidak kisah asalkan Alisya menjadi miliknya seorang.
"Kau tolak aku Alisya. Seperti aku, kau juga tak sempurna, tapi aku terima kau." Hujung belati yang tajam itu ditusuk ke gambar Alisya. Wajah gadis itu habis ditoreh.
"Selepas kau aku jumpa Ameera." Wajah Ameera bermain di hadapan matanya. Dia menjadi lebih berhati-hati dengan Ameera. Licik. Tiada tanda harus ditinggalkan. Jejak juga harus dipadam. Nasib baik meyebelahinya semasa pembunuhan Alisya, tunang gadis itu yang disyaki membunuhnya.
Selepas Alisya, dia ambil masa yang lama untuk melupakan gadis itu. Dia juga harus berhati-hati. Dia berpindah ke tempat lain. Di sana dia berjumpa Ameera.
"Ameera juga sama... lesung pipitnya, mata bundarnya. Memang cantik. Aku pilih dia kerana dua sebab." Lelaki itu tertawa besar. Matanya merenung tajam gambar yang tersembunyi di dalam kegelapan di belakangnya.
"Aku yang paksa dia buat operation bentukkan bibirnya tu. Aku ingat dia berbeza, tak sama macam kamu Alisya!" Dia menjerit. Hujung belatinya ditusuk ke gambar mata Ameera.
Ameera memang menolak untuk melakukan operation. Dia pula terus memujuk sehingga Ameera setuju. Ketika Ameera menjulang trofi, dia yang berbangga.
Dia masih ingat, selepas menembak Ameera tepat di dahinya, dia mengambil masa untuk memotong mayat Ameera. Beg hitam pula dibeli secara tunai di kedai.
Beg itu beg yang biasa,jadi susah sekali untuk pihak polis mencari pembelinya.
Selepas berpuas hati dengan Ameera, dia berjumpa dengan mangsa ketiga tidak lama selepas itu. Katerina.
Gadis campuran english dan melayu itu memang cantik. Lesung pipit gadis itu menjadi penyebab dia tertarik.
"Katerina ni sama macam kau Alisya. Mata duitan. Tapi aku sayangkan dia." Gambar Katerina yang sudah lusuh itu ditoreh.
Caranya sama dengan Alisya. Dia akan berkahwin dulu dengan mereka. Selepas itu, mereka akan hidup secara berasingan. Semua gadis itu sama, mahu berjaya menjulang trofi wanita tercantik dahulu. Selepas itu, pada malam pertama mereka bersama... malam pertama menjadi malam terakhir gadis-gadis itu.
YOU ARE READING
Beautiful Killer - Published
Mystery / ThrillerCantik. "Beauty lies in the eyes of the beholder," kecantikan itu terletak pada mata yang memandang. Bagaimana pula dengan kecantikan yang menjadi sumpahan? Sarah kehilangan adiknya, yang mana mayatnya ditemui di dalam sebuah beg. Bersama mayat adik...