"HIYARK!" satu tendangan padu dilepaskan di udara. Selepas kakinya diletakkan di lantai, dia mengambil satu langkah ke belakang seperti yang ditunjukkan oleh jurulatih.
"Tengok saya buat!" jerit jurulatih lelaki yang berbadan sasa itu. Dia menunjukkan satu lagi langkah. Tangannya disilangkan dan satu tendangan padu dilepaskan.
Sarah terus sahaja mengikut langkah yang baru sahaja diajar.
"Sarah," tegur Jurulatih Tae Kwan Do, Irfan selepas kelas tamat hari itu.
"Awak dah mahir sebenarnya. Setahu saya awak pernah wakili Negeri Perak dulu, bukan?"
Senyum Sarah hilang. Dia menyangka tiada siapa akan mengenali dia sebegitu.
"Ya. Saya lebih suka begini. Sekurangnya ada aktiviti mengisi masa lapang saya."
Jurulatihnya itu tersenyum hambar. Manakan dia lupa gadis di sebelahnya itu. Suatu ketika dulu, dia juga pernah mewakili negerinya.
"Awak tak ingat saya? Kita pernah jumpa lama dahulu. Sewaktu itu awak mungkin baru tiga belas tahun," soal Irfan cuba memgembalikan memori lalu.
"Mungkin. Maaf, saya tak ingat." Dahi Sarah berlapis cuba mengingati wajah lelaki itu, menempatkannya di satu ruang memori.
"Awak lawan dengan adik saya. Ingat? Farisya? Awak sebabkan dia kalah buat kali pertama." Bibir Irfan menipis saat dia tersenyum kecil.
"Awak abang Farisya? Saya ingat. Marah sungguh awak hari tu. Bergaduh dengan jurulatih awak."
"Hari ni pula saya jurulatih awak. Boleh balas dendam kekalahan adik saya." Kening Irfan terjungkit.
Wajah Sarah berubah warna. Dendam?
"Saya bergurau je. Kisah zaman masih remaja tu," luah Irfan. Kedua tangannya diangkat naik ke atas bila menyedari wajah pucat Sarah.
Nafas lega diambil bila Sarah tersenyum hambar.
"Tiada kaitan dengan awak coach. Perkataan dendam tu membuatkan saya teringat kisah lama." Sarah mengambil begnya dari lokar selepas mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakannya.
"Awak sedar tak yang rumah saya bertentangan dengan rumah sewa awak?"
Langkah Sarah terhenti seketika. Jadi sebab itulah wajah jurulatihnya bagai pernah dilihat sebelum ini.
"Ohh, patutlah wajah coach macam pernah nampak."
"Selepas kelas, panggil saya Irfan sahaja. Mari saya tumpangkan awak."
Sarah menolak dengan alasan dia harus ke tempat lain.
"Saya tak makan orang, Sarah. Rumah kita tempat yang sama. Mari saya tumpangkan." Irfan masih memujuk Sarah.
"Saya memang mahu ke tempat lain. Lain kali sahaja, ya?" Sarah mengelak.
Sarah mahu ke sebuah dewan di bandar Alor Setar. Melalui temannya dia mengetahui bahawa pertandingan ratu cantik bakal diadakan di sana minggu hadapan. Alangkah bagusnya jika dia mendapat tempat sebagai krew belakang pentas.
Setelah beberapa bulan, dia membuat kaitan antara pembunuhan Aina dengan wanita yang lain. Semuanya pernah satu ketika dahulu mendapat tempat kedua dalam semua pertandingan yang mereka sertai.
Selain itu, semuanya juga pernah pada satu ketika membuat pembedahan, mencantikkan lagi wajah mereka.
Fail hijau yang diletakkan di dalam begnya dikeluarkan dan dibelek. Satu demi satu gambar diperhati. Selepas beberapa bulan membuat penyelidikan, dia dapat mengumpulkan gambar beberapa pemenang tempat kedua ratu cantik.
YOU ARE READING
Beautiful Killer - Published
Mystery / ThrillerCantik. "Beauty lies in the eyes of the beholder," kecantikan itu terletak pada mata yang memandang. Bagaimana pula dengan kecantikan yang menjadi sumpahan? Sarah kehilangan adiknya, yang mana mayatnya ditemui di dalam sebuah beg. Bersama mayat adik...