AINA berlari di dalam kepekatan malam. Tapak kakinya yang berdarah akibat tertusuk duri tadi langsung tidak dipedulikan. Dia harus lari jika ingin selamat.
Dia berhenti seketika, bersembunyi di belakang sebuah pokok yang besar.
Maafkan Aina twinnie... Aina terlalu degil, bisik hatinya.
Bunyi ranting kayu yang patah menyebabkan Aina terus menekup mulutnya. Takut sekali jika orang yang mengejarnya tadi dapat mendengar bunyi desahan nafasnya. Bunyi degupan jantungnya yang laju terasa begitu kuat sekali di telinganya.
Aina baru sahaja ingin berlari apabila sepasang tangan menarik rambutnya sehingga dia jatuh terduduk ke tanah.
"Lepaskan aku!" Tangan lelaki yang menarik rambutnya itu digigit sekuat hati.
"Arghhh... perempuan sial." Satu tamparan dihadiahkan ke pipi Aina.
Aina masih cuba melawan. Dia menumbuk muka penyerangnya. Namun lelaki itu lebih cepat. Tumbukan Aina berjaya ditepis.
"Lebih senang jika kau menyerah sahaja Aina..." Kepala Aina dihentakkan ke batang pokok yang besar.
Aina meringis kesakitan. Dahinya terasa sakit. Kesakitan yang tidak terperi itu menyebabkan pandangannya menjadi kabur.
"Kau tahu Aina... aku sangat cintakan kau." Lelaki itu duduk bersebelahan Aina. Pipi Aina yang gebu dielus lembut.
"Cinta? Jika kau cintakan aku... kau akan lepaskan aku..." Aina meludah wajah penyerangnya itu. Penyerangnya itu bukanlah orang lain, suaminya sendiri. Dia melarikan diri bersama lelaki itu ke Thailand seminggu yang lalu. Mereka bernikah di sana. Inai di jarinya juga masih merah.
Suaminya itu tersenyum. "Lepaskan kau? Mana mungkin sayang. Kita kan sudah bernikah. Hanya kematian sahaja yang boleh memisahkan kita." Tangan Aina direntap kasar.
"Nikah? Suami?" Aina tertawa kecil.
"Kalau aku tahu kebenaran kamu... kita tak akan bercinta pun. Aku tertipu... faham!" jerit Aina.
Suaminya itu tertawa besar.
"Kenapa? Sebab aku tak sempurna?" Sepucuk pistol SIG Sauer P320 dikeluarkan dari belakang poketnya. Pemegang pistol itu yang berwarna emas berkilau apabila terkena cahaya bulan.
"Kau lebih tak sempurna daripada aku Aina. Walaupun aku tak sempurna... bagai kata kau, aku tetap tidak melakukan apa-apa. Aku terima dengan hati terbuka. Bukan seperti kau. Wajah kau yang sedia cantik ni pun kau masih nak ubah." Pistol itu diacu tepat ke dahi Aina.
"Ja... jangan sayang..." rayu Aina. Matanya sudah mulai berkaca. Keberanian yang hadir buat seketika hilang apabila melihat pistol di tangan suaminya.
"Sayang? Sayang seribu kali sayang... jika kau sayangkan aku... terima aku... kau mungkin akan hidup. Tetapi kau tolak aku... cinta aku..."
Bang!
YOU ARE READING
Beautiful Killer - Published
Mistério / SuspenseCantik. "Beauty lies in the eyes of the beholder," kecantikan itu terletak pada mata yang memandang. Bagaimana pula dengan kecantikan yang menjadi sumpahan? Sarah kehilangan adiknya, yang mana mayatnya ditemui di dalam sebuah beg. Bersama mayat adik...