Bab 18 - Diuji (Edited)

3.4K 242 20
                                    

HANS memerhati. Nur menjauhkan diri. Dalam grup WhatsApp juga Nur menyepi. Hanya membalas bila Nur rasa nak balas. Nur jauhkan diri dari segala media sosial. Malah panggilan telefon juga.

Nur ingin menyendiri, dengan Tuhan. Sebulan. Dua bulan. Masuk bulan ketiga Nur sudah boleh berjumpa dengan orang ramai. Wajah Nur tenang. Tetapi perjumpaan Nur dengan mereka harus ditemani oleh anak-anak.

Anak-anak jadi kekuatan Nur.

"Takziah."

Nur senyum. Angguk.

"Kau okay?" Kawan-kawan bertanya. Soalan yang sama. Berulang, setiap kali mereka berjumpa. Di mana-mana. Di majlis apa juga.

"Alhamdulillah." Sepatah. Kemudian, hanya senyum sebagai jawapan seterusnya jika mereka ingin teruskan cerita yang sama.

***

SATU hari.

Jam tiga pagi.

Telefon Nur bercahaya.

Ada mesej yang masuk.

Nur abaikan. Dia sedang tenggelam dalam pengaduan dengan Tuhan. Depan orang, Nur tunjuk wajah tabah. Hati kuat, tak goyah. Tapi, depan Tuhan ... Nur hamburkan semuanya. Nur rindu. Rindu sangat-sangat pada suaminya, Arif Ikhwan.

Arif dah tinggalkan Nur. Arif pergi mengadap Tuhan. Terlalu awal bagi Nur untuk hidup berseorangan.

Setiap kali Nur rasa kosong, rasa sunyi ... Nur ambil wudhu'. Nur solat taubat. Nur baca Quran. Quran sahabat Nur.

Kata orang berilmu, untuk mengukur ketenangan hati, ukurlah dengan kekerapan kita membaca Al-Quran. Orang yang membaca Al-Quran, hatinya lebih tenang.

Usai mengadu pada Tuhan, usai mendapat ketenangan, Nur capai telefon. Bukan satu mesej yang diterima. Tetapi lebih daripada tiga.

Hans!

Nur hela nafas. Di saat dia kehilangan Arif, Hans terus mendekat. Ya, memang Hans kawan Nur dunia akhirat. Tetapi, jika Hans itu perempuan, Nur tidak kisah. Malah, Nur mengalu-alukan untuk dia datang dalam hidup Nur saat Nur rasa kosong dan hilang. Tetapi, tak boleh!

Hans itu lelaki. Walau solo pun, Nur tidak akan cari Hans untuk kongsikan masalah. Apatah lagi bila Hans itu beristeri. Nur tidak mahu mengundang fitnah. Nur baca mesej Hans.

+Assalammualaikum. Nur okay?

+Hans kat hotel. Outstation.

+Kita masih kawan, kan?

Oh, outstation. Maksudnya, masa Hans hantar mesej ini, dia hanya seorang diri. Sara tidak ada bersama. Patut berani.

Nur padam semua mesej Hans. Nur capai bantal. Nur baring atas sejadah dengan tubuh masih dibaluti telekung. Tangan menggentel biji tasbih. Nur beristighfar. Air mata meleleh.

'Nur rindu abang ...'

SETAHUN selepas pemergian Arif, Nur mula menulis. Nur ingin menambah pendapatan keluarga. Tidak boleh hanya bergantung dengan hanya satu kerja. Nur perlu mula buat sesuatu sebelum umur bersara. Nur juga mula buat frozen food untuk dijual di kalangan kawan-kawan.

Nur nak kumpul duit untuk biaya diri dan anak-anak. Nur juga nak menyimpan untuk pergi haji. Perancangan untuk ke Mekah bersama arwah suami tidak kesampaian.

Arif meninggal dalam tidur. Jantungnya gagal berfungsi. Waktu itu Nur kejut Arif untuk solat Tahajud. Tetapi sekujur tubuh kesayangannya hanya kaku. Nur nanar. Pergi cara begitu buat Nur hilang arah tuju. Terlalu mengejut!

Hans & Nur (Completed)Where stories live. Discover now