Bab 19 - Tertulis

5.3K 379 102
                                    

NUR membatu. Hans menunggu. Nur menunduk, memandang pada makanan di hadapan mata. Hans pula memandang pada Nur yang hanya nampak mata.

Kawan-kawan yang lain memandang mereka. Berdebar menanti reaksi Nur. Pertemuan semula atau reunion ini sengaja dirancang oleh rakan-rakan. Masing-masing baru tahu kisah Hans dan Nur.

Dua orang manusia pelik yang memiliki rasa cinta tetapi tidak pernah walau sekali pun menzahirkannya. Lebih pelik bila masing-masing sanggup melepaskan rasa dengan menerima orang lain sebagai pasangan mereka.

"Maaf, Hans." Nur tolak bekas cincin baldu biru di hadapan Hans.

"Tapi, kenapa Nur?"

"Tak ada sebab untuk aku menerima."

"Aku? Tak cukup ke, 'aku' sebagai sebab?"

Nur menggeleng.

"Nur ... kita sama. Sama-sama kehilangan. Sama-sama rasa kosong. Salah ke, kalau kau terima aku? Kita bukan baru nak berkenalan. Kita dah lama kenal. Dah tahu hati budi. Dan, aku tahu yang kita serasi."

"Maaf, Hans. Aku ..."

"Aku perlukan seorang teman. Aku tak boleh hidup seorang, Nur."

Kata-kata Hans itu mengingatkan Nur pada kata-kata arwah suaminya.

"Abang tak boleh hidup seorang. Abang dah biasa ada Nur. Di antara kita, andai Tuhan nak cabut nyawa, biarlah Tuhan cabut nyawa abang dulu. Abang tahu, Nur mampu hidup tanpa abang."

Sama! Nur tarik nafas, dalam.

"Cari orang lain, Hans. Kawan-kawan kita masih ada yang anak dara. Pilih mereka untuk dijadikan teman hidup kau. Bagi peluang untuk mereka rasa hidup berumahtangga."

"Mereka bukan kau, Nur."

Nur tarik nafas. Matanya hanya menunduk. Tidak langsung mengangkat muka memandang Hans.

Mana nak sangka. Hidup Nur dan Hans boleh sama. Selang beberapa tahun selepas pemergian suami Nur, Hans pula kehilangan Sara. Sara meninggal ketika bersalinkan anak ketiga. Anak yang kemudiannya turut pergi bersama si ibu kerana lahir tidak cukup bulan.

Nur baru tahu. Baru hari ini tahu selepas setahun perkara itu berlalu.

Patutlah Intan kata banyak perkara yang berubah. Banyak berita yang di luar pengetahuan Nur. Sejak Nur block nombor Hans; sejak Nur hentikan hubungan dengan kawan-kawan melalui media sosial; sejak Nur hanya berada di lingkungan hidup sendiri, sejak itu juga rupanya Hans keseorangan.

Sama seperti Nur.

"NUR, kenapa kau buat dia macam tu?" Malam itu bertalu-talu rakan-rakannya bertanya. Akhir sekali, Nur matikan telefon. Dia memang tak boleh terima Hans. Entah kenapa dia rasa, dia seolah-olah mengkhianati perasaan sayangnya pada arwah suami jika dia terima lamaran Hans.

Hans tak rasa begitu, kah?

Telefon di bilik hotel berdering. Bercantum kening Nur. Dicapainya telefon, lalu dilekap di telinga.

"Nur ..."

Hans!

Nur hanya diam. Nak letak, tak sampai hati.

"Kenapa off telefon?" suara Hans tegas. Tidak langsung sama semasa Hans lamar Nur di meja makan tadi.

"Jangan sebab tadi, Nur off telefon. Bahaya. Kalau ada apa-apa kecemasan, macam mana? Macam mana anak-anak nak reach Nur, kalau telefon Nur off? Fikir panjang. Jangan ikut perasaan."

Nur terdiam.

"On balik telefon tu. Saya dah beritahu kawan-kawan kat grup jangan kacau Nur. Assalammualaikum." Hans letak telefon.

Nur terkaku.

'Kenapa ...' Otak Nur beku tiba-tiba.

Satu - Hans bersuara tegas.

Dua – Hans bahasakan dirinya 'saya'.

Ketiga - Hans kisahkan anak-anak.  Bukan anak dia, tapi anak Nur.

Sebaik tersedar, cepat Nur hidupkan kembali telefonnya. Memang ada banyak missed call. Alhamdulillah bukan daripada anak-anaknya, tetapi daripada rakan-rakan mereka dan juga Hans!

ESOKNYA, di meja makan, Hans tiada. Rakan-rakan pun layan Nur macam biasa. Bertegur-sapa, bergurau-senda, tanpa ada yang menyebut lagi tentang Hans dan Nur. Masing-masing seolah-olah sudah melupakan apa yang berlaku malam tadi.

Nur memerhati sekeliling. Memang betul Hans tak ada.

"Hans dah balik ke KL." Intan yang membawa sepiring nasi goreng duduk di sebelah Nur.

Nur mengangguk.

"Ni, dia minta aku bagi pada kau." Intan menghulur sekeping surat pada Nur. "Bacalah."

Nur buka sampul putih di tangan. Mata memandang ke wajah Intan. Dua tiga orang rakan mereka juga memandang pada Nur. Menanti reaksi Nur terhadap surat Hans.

Assalammualaikum Nur,

Aku minta maaf. Terima kasih sebab jadi kawan baik aku selama ini tanpa orang lain tahu yang kita berhubungan dalam diam.

Dan, maaf sebab sekarang semua orang dah tahu yang kita sebenarnya punya rasa yang sama tetapi tidak terzahir. Aku tak mampu simpan lagi, Nur. Cukuplah dengan kesakitan bila aku terus-terusan memendam. Aku memang dah lama sukakan kau, Nur.

Cuma, sebab aku ego. Aku takut nak mengaku. Sebab, setiap kali aku cuba, kau seolah-olah menolaknya. Aku tidak pernah kena reject. Aku yang banyak kali reject orang. Kau sahaja perempuan yang pernah reject aku setiap kali aku uji kau dengan perasaan. Walaupun aku tahu, dalam penolakan kau itu, kau sebenarnya sayang.

Kau lihat aku terlalu sempurna sehingga kau tak yakin yang di dalam hati aku punya rasa yang sama seperti kau, kan Nur? Kau fikir aku hanya bermain. Tapi, tak Nur.

Sebelum aku tutup mata, aku ingin buat pengakuan.

Aku, Hans Zulkifli sebenarnya menyayangi Nur Najwa dalam diam. Sayang yang lebih daripada seorang kawan.

Terima kasih di atas persahabatan yang dasar sebenarnya adalah cinta yang tidak ketahuan.

Jaga diri Nur.

Hans Zulkifli.

MALAM itu sebaik mereka semua pulang ke rumah masing-masing, notifikasi bertalu masuk. Hans Zulkifli disahkan terbabit dalam kemalangan maut.

Nur Najwa pula ditemui oleh anak-anaknya dalam keadaan bersujud, di sepertiga malam tanpa nyawa.

Hans dan Nur.

Ditakdirkan bertemu untuk merasa cinta tanpa ikatan perkahwinan.

Rasa yang cuba dipadam kerana tidak percaya, tetapi masih bersisa hingga ke hujung nyawa.

TAMAT.

Psst:  Selepas bab ini, ada bonus chap.

Hans & Nur (Completed)Where stories live. Discover now