INGAT lagi abang Ai Zack? Abang yang banyak membantu Nur semasa Nur menjalani latihan amali/ internship? Abang yang begitu mengambil berat tentang keselamatan Nur? Ramai yang fikir, Nur akan berkahwin dengan abang Ai Zack, tetapi bukan.
Kenapa ya? Bonus chap 1 ini akan merungkai kisah Nur dan abang Ai Zack. Kira-kiranya ini adalah flashback semasa Nur sedang menjalani internship. Selamat membaca!
***
"INI untuk Nur. Makan. Jangan sibuk sangat buat kerja tu. Dan, jangan beritahu pada sesiapa, saya yang beri biskut ini pada Nur."
Dipandangnya sebungkus biskut Chipsmore di atas meja, Nur tersenyum. Dia faham. Abang Ai Zack tidak mahu orang salah sangka. Abang Ai Zack hanya anggap Nur sebagai adik. Lagipun, abang Ai Zack ada seseorang yang abang Ai Zack suka di dalam pejabat ini.
"Nur ada tanya dia tak?"
"Ada. Dia kata, dia tak ada siapa-siapa yang special lagi."
"Dia ada suka siapa-siapa tak?"
Nur renung muka abang Ai Zack. Serba salah untuk Nur berlaku jujur. Kejujuran seringkali menyakitkan. Nur tidak mahu abang Ai Zack terasa hati. Abang Ai Zack baik. Tapi, abang Ai Zack juga perlu dihidangkan dengan hakikat sebenar. Selebihnya patut berserah pada Tuhan. Jika benar, Qistina itu jodoh abang Ai Zack, tentu akan berjodoh juga walau Qistina tidak memilih abang Ai Zack.
"Nur, kenapa pandang saya macam tu?"
"Nur serba salah nak cakap."
"Cakap sahaja, Nur. Abang tak kisahlah. Kenapa? Dia dah ada pilihan hati?"
Nur angguk perlahan, sebelum kemudian menggeleng.
"Yang mana satu ni, Nur? Ya atau tidak?"
"Ya, dia ada lelaki pilihan. Tapi ... lelaki itu tidak benar-benar wujud."
"Maksud Nur?"
"Dia ... nak cari calon suami seorang doktor." Perlahan suara Nur. Takut jika kata-kata itu menyentap tangkai hati abang Ai Zack. Abang Ai Zack bukan doktor. Hanya seorang juruteknik biasa.
Abang Ai Zack diam tidak beriak, sebelum berlalu meninggalkan Nur. Tersayat hati Nur. Memang itu yang Qis beritahu padanya. Nur tidak pandai berbohong. Andai abang Ai Zack fikir yang Nur sengaja mencipta cerita, abang Ai Zack boleh bertanya sendiri hal tersebut pada Qis. Tidak perlu melalui Nur.
Sejak itu, Nur sudah jarang nampak abang Ai Zack.
Sedih?
Ya. Sikap abang Ai Zack, tidak lebih, tidak kurang sama sahaja dengan sikap Hans. Menjauhi dia bila kedua-dua mereka itu mempercayai sesuatu yang tidak langsung benar.
Dua lelaki yang berbeza, yang hadir dalam hidup Nur, melayannya sebegini kejam. Tidak mengapa. Nur tidak pernah mengharap apa-apa yang lebih selain daripada hubungan kawan. Lagi pula, Nur pun tidak lama di sini. Nur akan menamatkan internship tidak lama lagi.
***
HARI ini, hari terakhir Nur sebagai internship dan akan menyambung pengajian semula. CEO Nur, Ir. Izhan minta penyelia Nur adakan jamuan perpisahan. Ada sedikit makan-makan dan cenderahati yang disampaikan.
"Tak mahu minta kerja di sini ke, Nur?" Ir. Izhan bertanya sebaik Nur selesaikan ucapan selamat tinggal.
Nur menggeleng dengan senyuman terlukis di wajah.
"Kenapa? Sebab saya garang ke?" Ir. Izhan bercanda.
Nur ketawa. "Bukan, Tuan. Bukan sebab itu. Nur ada satu semester lagi sebelum tamat. Nur tak nak fikir tentang kerja lagi."
"Oh, macam itu. Saya doakan semoga Nur cemerlang. Kalau perlukan recommendation, boleh je contact saya. Saya dapat maklum balas daripada kebanyakan staff, kerja Nur cemerlang."
"Terima kasih, Tuan."
Ir. Izhan tinggalkan Nur di pantry. Rakan-rakan lain masih asyik menghabiskan makanan. Tidak menoleh pada Nur yang tercegat di sinki.
"Nur ..."
Nur menoleh. Abang Ai Zack!
"Ya?"
"Dah nak pergi, ya? Cepat betul masa ... Tak sangka hari ini hari terakhir Nur di sini."
Nur hanya melayang senyum.
"Terima kasih, sebab jadi kawan saya. Jujur saya suka berkawan dengan Nur. Saya minta maaf jika sikap saya menyinggung hati Nur."
"Nur yang patut ucap terima kasih pada abang. Abang banyak tolong Nur. Jaga Nur sepanjang Nur practical di sini. Nur pun minta maaf sebab ..."
Abang Ai Zack tersenyum kelat. "Saya yang tidak sedar diri. Dan, saya lukakan Nur hanya kerana perkara remeh macam ini. Nur tidak salah."
Nur mengangguk. Suasana jadi sunyi.
"Nur, kalau ..."
"In-shaa-Allah, Nur akan jemput abang kalau Nur kahwin nanti."
Terdiam abang Ai Zack dengan kata-kata Nur. Hanya helaan nafas diikuti senyuman tipis dihadiahkan buat Nur. "Jaga diri."
"Abang pun sama. Kalau kahwin, jangan lupa jemput Nur."
Sekali lagi. Kata-kata Nur yang biasa itu dirasakan berbisa. Tetapi ditelan juga dengan segaris senyum.
"Nur ..."
Langkah kaki Nur terhenti. Ditoleh, memandang pada abang Ai Zack.
Diam. Hanya satu pandangan. Hanya segaris senyuman.
Nur membalas dengan senyuman juga sebelum mengucapkan selamat tinggal.
YOU ARE READING
Hans & Nur (Completed)
Teen FictionHans dan Nur Cerita pendek buat mengisi ruang masa. Cerita yang bahasanya santai dan bersahaja. Berbeza. Kawan dengan perasaan yang tak ketahuan.