BAB 1

2.8K 41 2
                                    

DENGAN mengenakan baju-T lengan pendek, seluar panjang warna hitam dan rambut diikat satu, Eisya melangkah ke banglo mewah yang tersergam indah di tepi pantai yang menjadi bualan orang kampung sejak ia wujud kerana reka bentuknya yang sangat eksklusif.

Sebaik sahaja sampai di pintu pagar, Eisya menarik nafas seketika.

"Hmm, mewah betul banglo ni. Bertuahlah aku kalau dapat tinggal dalam rumah banglo besar dan mewah macam ni," desis Eisya dengan rasa kagum melihat reka bentuk banglo itu dari luar.

Pagarnya pun dah buat dia terpegun. Belum tengok isi dalamnya lagi. Pasti akan buat dia tambah terpegun.

Semua orang kampung sedia maklum banglo mewah yang mula siap dibina sejak setahun lalu adalah milik pasangan suami isteri yang berasal dari Kuala Lumpur. Sengaja mereka membeli tanah dan membina banglo di sini sebagai tempat untuk merehatkan minda bila sesekali datang bercuti di kampung yang berdekatan dengan persisiran pantai ini.

Memang cantik pemandangan sekitar banglo ini. Sayang seribu kali sayang kerana hanya sesekali sahaja keluarga mereka datang bercuti. Itu pun dalam sehari dua sahaja. Lepas itu, banglo ini ditinggalkan tanpa penghuni.

Oleh sebab itu, Mak Biah, emak Eisya, diamanahkan untuk menjaganya. Tambahan pula, rumah Mak Biah yang paling dekat dengan banglo ini. Tapi, nak kata dekat sangat tu tak adalah. Kena juga berjalan kaki dekat satu kilometer.

Sekali lagi Eisya memandang pintu pagar rumah banglo itu. Kemudian dia memasukkan tangan dalam poket seluar dan mengeluarkan anak kunci pagar. Tanpa berlengah, kaki kanan melangkah masuk dengan penuh debar.

Matanya melilau melihat persekitaran banglo. Memang cantik landskapnya. Siap dengan gazebo dan juga kolam renang. Tersenyum lebar bibir Eisya melihat kawasan sekitar banglo itu.

"Eh, kereta siapa pula ni? Takkanlah mereka tinggalkan rumah siap dengan kereta? Bukan sembarangan kereta. Ini kereta mewah, BMW. Kalau kena curi ke atau rosak nanti, macam mana? Mak aku juga yang kena bertanggungjawab. Atau tuan rumah ini dah datang awal?"

Eisya mula menggaru kepala. Tetapi bila tengok pada persekitaran, macam tak ada orang pun. Hati mula resah dan takut.

"Tadi mak cakap, anak tuan banglo ni nak datang esok. Mesti esoklah dia datang kut."

Eisya mula membuat rumusan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Mak Biah sebentar tadi.

"Eh, apa pula aku melalut ni? Kalau cepat aku siapkan kerja, cepatlah aku boleh balik. Tak ada gunanya aku nak melepak lama-lama kat banglo orang."

Eisya membuka pintu dengan kunci yang diberikan oleh Mak Biah. Dengan lafaz bismillah, dia memberi salam dan mula melangkah masuk dengan hati-hati.

"Wau, cantik! Terbaik. Kalaulah rumah aku esok-esok macam ni, kan bagus." Eisya mula berangan sambil mengukir senyum lebar.

Rambang matanya melihat perhiasan dan perabot yang ada. Kalau tadi dia kagum dengan persekitan luar rumah banglo, kini dia lebih kagum melihat hiasan dalamannya. Melilau matanya melihat segala perhiasan dan susun atur dalamannya.

Memang betul-betul cantik, mewah dan elegan.

"Hmm, sayangnya... Rumah banglo macam ni punya cantik, jarang tuan rumah nak duduk. Agaknya rumah dia dekat Kuala Lumpur lagi cantik."

Hati Eisya tak habis-habis memuji.

"Okey, perkara pertama aku perlu buat ialah melangkah ke ruang dapur, tengok apa yang ada."

Laju langkah Eisya menuju ke ruang dapur. Peti sejuk menjadi destinasi utama. Memang betul, sudah banyak bahan basah telah tersedia. Beras dan bahan asas yang lain juga sudah ada.

PALING AKU CINTAWhere stories live. Discover now