"MAK, kalau ada sesiapa datang cari Eisya, cakap Eisya tak ada."
Eisya menitip pesanan sambil menyembunyikan wajahnya yang bengkak akibat menangis tadi. Bimbang kalau Mak Biah dapat menghidu sebarang perubahan pada wajahnya. Pasti banyak soal jawabnya.
Berkerut dahi Mak Biah mendengar kata-kata Eisya. "Eh, ada sesiapa yang nak cari Eisya ke?"
Mata Mak Biah tepat memandang wajah Eisya yang cuba disembunyikan daripadanya.
Eisya jadi penasaran. Dia sudah tersasul memberi peringatan kepada Mak Biah sebentar tadi.
"Err..." Eisya menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Eisya, Eisya ada sembunyikan sesuatu daripada mak ke? Mak nampak mata Eisya bengkak, macam baru lepas menangis."
Mak Biah meneliti wajah anak gadisnya.
Eisya mula telan liur. Otaknya ligat mencari alasan. Dalam masa yang sama, terdengar seseorang memberi salam. Mereka berdua saling berpandangan dan wajah Eisya kembali pucat.
"Mak, ingat ya. Kalau ada sesiapa yang tanya pasal Eisya, cakap Eisya tak ada."
Sekali lagi Eisya memberi peringatan semasa emaknya melangkah ke pintu.
Mak Biah menggeleng perlahan. Hati tuanya mula mengesyaki ada sesuatu yang berlaku pada anak gadisnya itu. Apa agaknya?
Eisya mengintai di sebalik pintu dapur. Perasaan debar dan takut sudah bercampur aduk.
"Assalamualaikum, Mak Biah." Sekali lagi kedengaran salam diberi.
"Waalaikumussalam. Oh, kamu Leman. Apa hal?"
Eisya sudah mampu menarik nafas lega. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi.
Mak Biah masih lagi tergelak-gelak semasa masuk semula ke dalam rumah.
"Leman datang bagi duit nasi lemak semalam. Dia suruh mak sampaikan salam rindu buat bakal isteri dia."
Tanpa sempat ditanya, terus Mak Biah bersuara sebaik sahaja dia menjenguk ke dapur.
"Mak ni..." Mulut Eisya sudah muncung panjang.
Mak Biah tergelak lagi. Lupa terus apa yang ingin ditanyakan tadi.
"Assalamualaikum."
Sekali lagi terdengar salam diberikan. Bergegas Mak Biah ke muka pintu setelah memandang wajah Eisya yang kembali pucat.
"Waalaikumussalam."
"Mak Biah."
"Oh, Encik Zarief."
Zarief mengukir senyum.
Eisya yang ada di dalam rumah sudah tidak tahu nak buat apa. Kalau diikutkan, nak saja dia keluar ikut tingkap sebab tidak mahu bersemuka lagi dengan Zarief.
"Mak Biah apa khabar?"
Ramah Zarief menegur sambil merenung wajah wanita berusia lewat 40-an itu.
"Baik, alhamdulillah." Mak Biah mengukir senyum.
"Apa hal Encik Zarief datang ke rumah Mak Biah ini? Ada perkara penting yang nak diberitahu ke?"
Mak Biah memandang pelik wajah anak muda kacak itu. Tak pernah-pernah datang ke rumahnya, tiba-tiba boleh muncul pula hari ini.
"Ermm, tak ada hal penting pun. Saja datang nak tanya khabar. Dengarnya Mak Biah tak berapa sihat. Betul ke?"
Zarief cuba bersikap tenang.
YOU ARE READING
PALING AKU CINTA
RomantikTajuk: PALING AKU CINTA Penulis: AZIEANA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-59-2 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 WWW.DEARNOVELS.MY