BAB 3

1.5K 26 1
                                    

ZARIEF muncul semula di ruang makan selepas Eisya selesai menyediakan sarapan.

"Encik, saya dah siapkan sarapan. Jemputlah makan," pelawa Eisya yang sedang berdiri di tepi meja makan.

Eisya merenung seketika wajah Zarief yang nampak segar selepas mandi. Rambut yang masih basah dan sedikit berjuntai di dahi nampak begitu mempesonakan pada pandangan Eisya.

Kali ini dia sudah mengenakan baju tanpa kolar dan seluar pendek paras lutut. Haruman lelaki itu benar-benar menusuk ke hidung membuatkan hati Eisya kembali tak tenang. Memang haruman dan aura lelaki. Gaya maskulin.

Zarief sengaja berdiri di sebelah Eisya yang sedang menuang air Milo di dalam cawan.

"Hmm, smells good. I like it."

Zarief berbisik perlahan di tepi telinga Eisya membuatkan Eisya terpinga-pinga kerana terkejut. Tangannya tiba-tiba menggigil. Eisya mendongak kepala. Wajah Zarief menjadi tatapan matanya.

"Awak jangan salah faham ya. Saya cakap pasal roti bakar ini. Baunya harum. Nampak sedap dan menyelerakan."

Zarief tergelak kecil melihat wajah Eisya yang sudah bertukar warna.

"Oh..."

Eisya tersipu malu dan pura-pura menyusun pinggan dengan kemas walaupun sudah kemas. Saja nak menghilangkan rasa berdebar mendengar gelak Zarief tadi.

"Duduklah, temankan saya sarapan," ajak Zarief, terus menarik kerusi buat Eisya.

"Erm..." Eisya menggaru-garu kepalanya. Tiba-tiba rasa segan dengan tindakan Zarief.

"Tak apalah, encik. Encik makanlah dulu ya. Saya nak siapkan kerja dekat dapur. Kalau encik nak makan berteman, apa kata encik kejutkan kawan-kawan encik."

Eisya menolak ajakan itu.

"Saya tak nak ganggu mereka berdua tidur." Zarief memberi alasan.

"Kalau macam tu, encik makanlah dulu. Saya nak habiskan kerja saya dekat dapur. Lepas tu saya akan balik."

Sekali lagi Eisya memberi alasan sebelum mengatur langkah ke ruang dapur.

"Please..."

Eisya tergamam bila tangannya disambar Zarief.

"Tolong temankan saya sarapan."

Zarief pamer muka minta simpati.

"Tapi, saya dah sarapan tadi dekat rumah."

Eisya tetap menolak ajakan itu. Segan betul nak makan berdua dengan tuan rumah.

"Just for a minute, pleaseee..."

Zarief mengedip-ngedipkan matanya, memujuk agar Eisya menerima ajakannya.

"Tapi, saya nak siapkan kerja kat dapur." Eisya makin rasa tak selesa.

"Yang tu boleh dibuat kemudian."

Zarief tetap memujuk. Masih mengharap Eisya menemaninya.

"Encik..." Eisya makin serba salah.

"Siapa nama awak?"

Zarief tidak ambil peduli penolakan itu.

"Eisya," beritahu Eisya dengan perasaan segan.

"Eisya. Hmm, cantik nama tu. Macam orangnya."

Zarief mengukir senyum manis. Matanya tepat memandang wajah Eisya.

Eisya tunduk. Segan nak berbalas pandang dengan Zarief. Hatinya dah mula rasa tak seimbang. Entah kenapa dia rasa senang dengan pujian itu. Kembang sekejap hatinya.

"Eisya..."

Panggilan Zarief membuatkan Eisya memandang wajah lelaki itu.

"Awak tahu tak yang awak ni comel sangat? Buat saya tak nak lepaskan awak."

Zarief tiba-tiba mengenyit mata nakal.

Hati Eisya kembali tak keruan. Rasa serba tak kena. Kenapalah lelaki ni suka bikin hatinya penasaran sejak dari awal lagi?

"Pleaseee..." Sekali lagi Zarief cuba memujuk serta mempamerkan wajah maco.

Eisya kembali menelan liur. "Tapi encik..."

Eisya makin dilanda rasa serba salah.

"Tak ada tapi, tapi. Saya takkan benarkan awak keluar dari rumah ini selagi awak tak temankan saya makan. Agaknya awak suka kalau saya kurung awak di sini?"

Zarief merenung wajah resah Eisya. Sengaja menggertak gadis itu.

"Baiklah. Saya temankan encik sarapan. Tapi, sekejap saja tau. Saya kena bersihkan ruang dapur sebelum saya balik. Lagipun, saya risaukan mak saya di rumah. Dia masih tak sihat."

Eisya terpaksa mengalah. Memang Eisya bimbangkan keadaan emaknya yang asyik batuk sejak beberapa hari ini. Sebab itu dia mahu segera balik awal.

Zarief pamer senyum manis kerana berjaya membuat Eisya menemaninya.

"Selamat pagi."

Tiba-tiba wajah Tajul muncul di ruangan itu membuatkan Zarief pamer muka tak selesa. Sapaan Tajul tidak dijawab. Wajah Tajul juga tidak dipandang.

Eisya pula terus bangkit dan berdiri di sisi meja.

"Kenapa awak bangun? Kita belum sarapan lagi."

Zarief terkejut dengan tindakan Eisya.

"Erm, kawan encik dah bangun. Nanti dia akan temankan encik sarapan."

Eisya pamer wajah lega.

"Apa yang dah berlaku ni? Siapa pula gadis ni? Macam mana dia boleh ada kat sini?"

Tajul terpinga-pinga. Wajah Eisya dan Zarief dipandang silih berganti.

"Saya ke dapur ambilkan cawan kosong."

Eisya terus berlalu pergi untuk memberi ruang kepada Zarief berterus terang.

"Bro, bukankah gadis tadi tu..."

Tajul memandang wajah Zarief seolah-olah mahu menyatakan sesuatu. Tapi pada masa yang sama, Eisya muncul. Cawan kosong segera dituang Milo panas dan diletak di hadapan Tajul.

Tajul tidak mempedulikan Eisya, sebaliknya dia sibuk berbalas mesej di telefonnya.

"Wau, macam meriah saja pagi ni. Kita ada pelayan rupanya."

Iskandar muncul bersama senyuman lebar. Wajah Eisya ditenungnya seketika dengan dahi berkerut.

"Rief..." Iskandar memandang Zarief.

Iskandar turut mempamerkan reaksi yang sama seperti Tajul tadi.

"Duduk. Tak payah banyak cakap." Zarief memberi arahan tegas.

Iskandar akur. Kerusi di sebelah Tajul ditarik dan dia segera melabuhkan punggungnya.

"Boleh cik buatkan roti bakar untuk saya? Saya rasa yang ni dah sejuk," pinta Tajul.

Pinggan yang berisi roti bakar disentuh dengan tangan.

"Boleh, nanti saya buatkan."

Eisya mengukir senyum sebelum berlalu ke dapur untuk melakukan kerjanya.

"Eh, kau nak pergi mana?"

Tajul mengangkat mukanya bila Zarief bangkit dari kerusi.

"Aku nak pergi ambil air kosong."

Zarief memberi alasandan terus beredar ke dapur meninggalkan Tajul dan Iskandar.

PALING AKU CINTAWhere stories live. Discover now