BAB 8

1.1K 17 0
                                    

DATIN MARIA mendekati Zarief yang asyik termenung jauh di tepi kolam renang. Dulang berisi bubur jagung kegemaran anak tunggalnya diletak atas meja berdekatan tempat Zarief duduk.

"Rief, are you okay?"

Tangan Datin Maria singgah di bahu Zarief membuatkan Zarief segera menoleh. Ternyata dia terkejut dengan sapaan itu.

"Mummy." Zarief cuba tayang senyum semanis mungkin walaupun hatinya sedang gundah-gulana.

"Rief ada masalah ke?" soal Datin Maria setelah mengambil tempat duduk di sebelah Zarief.

Matanya terus memaku wajah anak tunggal kesayangannya itu.

"Tak adalah, mummy."

Zarief menarik nafas perlahan. Masih berusaha menyembunyikan rasa hati. Dia sendiri pun tak sedar sudah berapa lama dia dalam keadaan begitu.

"Betul ni, Rief tak ada apa-apa masalah? Jangan-jangan Rief ada masalah dengan teman-teman wanita Rief tu?" duga wanita anggun itu.

Datin Maria merenung wajah Zarief membuatkan Zarief kembali memandang kolam renang yang ada di hadapan. Biasanya waktu petang begini Zarief akan menghabiskan masa dengan berenang. Tapi sejak kebelakangan ini, dia sudah tak ada mood untuk aktiviti itu.

"Itulah, mummy tak suka Rief ada ramai teman wanita. Nanti timbul masalah. Rief juga yang susah hati," komen Datin Maria lagi bila tiada sebarang kata keluar dari mulut Zarief.

"Mummy ni, suka tuduh Rief ada ramai teman wanita. Mummy ingat Rief ni playboy ke?"

Zarief memandang wajah Datin Maria. Dia tidak suka dengan komen mummynya itu.

"Dah itu yang selalu mummy dengar. Kawan-kawan mummy pun sibuk tanyakan mummy pasal tu," tutur Datin Maria.

"Itulah orang perempuan, tak kira muda atau tua, suka sangat nak ambil tahu hal orang lain. Apa salahnya kalau masing-masing jaga hal sendiri? Jaga rumah tangga dan jaga suami. Tak adalah rumahtangga tu berantakan atau lebih teruk lagi, suami cari perempuan lain. Nanti tak pasal-pasal menangis tak berlaku. Baru padan muka!"

Zarief mendengus kasar. Dia paling tak suka bila orang sibuk nak ambil tahu hal dirinya.

Datin Maria tergelak kecil.

"Mummy, Rief cakap benda serius mummy boleh gelak pulak."

Mencerlung mata Zarief memandang wajah mummynya.

"Kawan-kawan mummy tu semuanya sibuk nak ambil tahu pasal Rief sebab mereka berkenan nak jadikan Rief menantu mereka. Pening kepala mummy nak jawab pertanyaan mereka. Maklumlah, anak bujang mummy ini kan kacak orangnya. Mestilah ramai peminat."

Datin Maria tetap mengukir senyum membuatkan Zarief turut mengukir senyum.

"Tengoklah Rief ni anak siapa. Anak mummy kan?"

Zarief mengenyit matanya membuatkan Datin Maria gelak ceria.

"Serius ni, mummy nak tahu. Betul ke Rief ni ada ramai teman wanita?"

Kali ini suara Datin Maria kembali serius. Dia pun risau juga kalau khabar angin tentang anaknya itu benar. Saban hari dia diajukan dengan pertanyaan begitu oleh kawan-kawannya.

Dia sendiri pun hairan, kenapa anaknya menjadi sasaran bahan bualan dan umpatan mereka sedangkan dia sendiri tak pernah nampak perempuan mana yang selalu mendampingi Zarief atau dikelek Zarief ke mana-mana.

PALING AKU CINTAWhere stories live. Discover now