Dua tahun kemudian...
MENGENANGKAN arwah nenda, air mata Zarief pasti akan mengalir tak kira masa. Sejak kecil, dia begitu manja dengan kedua nendanya, Tan Sri Tengku Zainal Abidin dan Puan Sri Tengku Badariah.
Berbeza sekali dengan TJ. TJ memang tidak rapat dengan nenda mereka dari kecil sampai sekarang.
"Rief, bila dah besar nanti, jadilah anak yang boleh membanggakan kedua ibu bapa. Jadilah manusia yang berguna dan disayangi semua orang."
Itu antara nasihat daripada Tan Sri Tengku Zainal Abidin yang Zarief sentiasa ingat.
"Nenda, kenapa begitu cepat nenda pergi tinggalkan Rief? Rief sayangkan nenda."
Potret wajah almarhum Tan Sri Tengku Zainal Abidin yang sedang mengukir senyum menjadi tatapan Zarief. Baru dua bulan dia bekerja di TZA Holdings, dia sudah kehilangan nendanya. Kerana nendanya juga dia pulang ke Malaysia.
"Rief, aku nak ucapkan takziah atas pemergian nenda kau. Aku tahu betapa kau sayangkan dia. Aku pun turut rasa kehilangan dia kerana aku pernah kenal dia dan pernah bermanja dengan dia," ujar Ziddan yang baru muncul.
Ya, dia dan Ziddan berkawan rapat sejak kecil. Hubungan mereka baik kerana Ziddan selalu datang ke rumahnya untuk bermain kalau ada kelapangan. Papa Ziddan bukan sahaja kenalan nenda dan daddynya, malah merupakan peguam untuk keluarga dan juga TZA Holdings.
Mereka juga bersekolah di sekolah yang sama, malah melanjutkan pelajaran di universiti yang sama. Pendek kata, semuanya hampir sama. Cuma bila Zarief mula rapat dengan Tajul dan Iskandar, hubungan mereka berdua sedikit renggang.
Malah, mereka hampir terputus hubungan bila Zarief mengambil keputusan menyambung MA di luar negara atas sebab-sebab yang tidak dinyatakannya. Hanya Zarief dan nenda sahaja yang tahu.
"Rief, jom temankan mummy makan. Dah banyak hari mummy tengok Rief tak berselera nak makan."
Datin Maria menghampiri Zarief yang sedang termenung di balkoni biliknya.
"Mummy makanlah dulu. Rief tak selera nak makan."
Zarief memberi alasan.
"Sayang, don't give up. Almarhum nenda pasti tak suka tengok Rief macam ni. Lemah dan pasrah. Sayang kena kuat. TZA Holdings dan daddy amat perlukan Rief," pujuk Datin Maria lagi.
Dia tak tega melihat keadaan Zarief selepas kematian nendanya.
"Rief tak ada mood nak buat apa-apa. Selama ini hanya nenda yang selalu memberi sokongan kepada Rief," adu Zarief menahan sebak.
Air mata yang bergenang di kelopak matanya segera diseka dengan tangan.
Datin Maria mengeluh perlahan melihat betapa susut tubuh anak bujangnya sejak sehari dua ini. Malah, sudah seminggu Zarief tidak ke pejabat. Sejak ketiadaan nendanya. Dia bimbang kalau keadaan ini berterusan, pasti Zarief akan jatuh sakit.
Sebelum ini Zarief sentiasa mendapat sokongan daripada Tan Sri Tengku Zainal Abidin dalam apa jua yang dilakukan. Nendanya juga orang yang paling berhak dan berkuasa bila melibatkan TZA Holdings.
Namun, sejak Tan Sri Tengku Zainal Abidin tidak sihat, Datuk Tengku Ramzani diberi mandat untuk membuat keputusan kerana beliau memegang jawatan sebagai CEO. Ini amat tidak disenangi oleh Datuk Tengku Rashidi.
"Apa kata Rief kahwin?"
Tiba-tiba meletus cadangan itu dari mulut Datin Maria.
"Kahwin?"
"Ya, kahwin. Mummy rasa inilah masa yang sesuai untuk Rief fikir soal kahwin."
Datin Maria memandang satu-satunya zuriat yang dia ada.
Zarief menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Rief tak ada calon, mummy. Macam mana Rief nak kahwin sekarang?"
Zarief tergelak kecil.
"Mummy bukan suruh Rief kahwin sekarang, tapi mummy nak Rief bersedia. Apa kata mummy carikan calon isteri untuk Rief? Okey tak?"
Bibir Datin Maria mula mengorak senyum.
"Tak payahlah mummy." Laju Zarief menolak rancangan mummynya itu.
"Dulu Rief bagi alasan masih muda, nak sambung belajar, nak kerja sebelum fikirkan soal kahwin. Sekarang, semua tu Rief dah alami. Apa lagi yang Rief nak fikirkan? Rief masih fikirkan wasiat nenda?"
"Ya. Wasiat nenda cukup penting untuk masa depan Rief dan juga TZA Holdings," ujar Zarief.
"Tapi, macam mana Rief nak tunaikan wasiat tu? Bukan mudah sebab kita tak tahu apa yang berlaku dalam tempoh dua tahun ni," tutur Datin Maria, mengenangkan wasiat yang ditinggalkan Tan Sri Tengku Zainal Abidin untuk Zarief.
"Sebab itu Rief akan kahwin bila Rief mampu tunaikan wasiat nenda. Rief yakin, nenda tahu apa yang dia buat untuk Rief," ujar Zarief lagi.
"Baiklah. Kalau dah itu kehendak Rief, mummy akan terus menyokong Rief. Mummy tak nak tengok Rief sedih macam ni. Rief kena bangkit dan berusaha untuk tunaikan wasiat tu. Yang penting, Rief kena bagi mummy dan daddy cucu yang ramai supaya rumah ini jadi meriah."
Zarief tergelak kecil. Namun, dalam masa yang sama dia berfikir, mampukah dia tunaikan wasiat itu? Macam mana kalau dia gagal?
Pasti TZA Holdings akan jadi milik Datuk Tengku Rashidi dan TJ.
TJ menghempas kasar punggung di kerusi. Hatinya masih lagi sakit mengenangkan wasiat Tan Sri Tengku Zainal Abidin yang dibaca oleh Datuk Hilman Khusyairi selaku wakil peguam lelaki itu bulan lepas.
"TJ, papa tak nak TJ kalah di tangan Zarief. Kali ini TJ mesti menang. Dan papa harap papa mampu mengambil alih jawatan CEO daripada Tengku Ramzani tidak lama lagi."
Datuk Tengku Rashidi mula menyimbah api ke dada anaknya membuatkan wajah TJ makin merah. Rahangnya bergerak-gerak. Tangannya pula dikepal kemas.
"Betul, papa. Kali ini TJ tak nak kalah di tangan Zarief lagi. Selama ini, semua keistimewaan jadi milik dia sedangkan TJ yang lebih berhak sebab TJ ni cucu sulung almarhum nenda."
Giginya diketap rapat menandakan hatinya benar-benar rasa tak seimbang.
Datuk Tengku Rashidi mengangguk perlahan. Bibirnya mula mengorak senyum. Impian itu sudah lama ingin dicapai. Namun, sampai saat ini belum berjaya. Tapi, dia tidak akan lepaskannya begitu sahaja. Dia akan berpuas hati sekiranya TZA Holdings menjadi miliknya.
Datuk Tengku Rashidi sudah lama mengidamkan jawatan itu, tapi jawatan itu diberikan kepada Datuk Tengku Ramzani secara mutlak. Itu yang buat dia betul-betul tidak berpuas hati.
TJ mengukir senyum. Dia sendiri sudah membayangkan dirinya berkuasa di TZA Holdings. Malah, dia sudah memasang angan untuk berada di kerusi milik Zarief.
"TJ ingat apa yang almarhum nenda perlukan sebagai bukti untuk buat TJ menerajui TZA Holdings suatu hari nanti?"
Datuk Tengku Rashidi menepuk bahu TJ membuatkan senyuman TJ semakin lebar.
"Ya. TJ akan bertindak segera untuk tunaikan wasiat nenda tu," balas TJ penuh semangat.
"Sebenarnya banyak cara yang boleh kita gunakan. Yang penting, kita kena cepat bertindak. Ingat TJ, dua tahun adalah tempoh yang cukup lama untuk kita merancang. Papa yakin dan percaya, lambat-laun TZA Holdings akan jatuh ke tangan kita," ujar Datuk Tengku Rashidi lagi.
Itu yang menjadi motif utama mereka.
"Betul tu. Tempoh dua tahun bukannya lama. Macam-macam boleh jadi. Sebelum kita ambil apa-apa tindakan, apa kata malam ni kita celebrate. Nanti kawan TJ akan perkenalkan 'barang baik' untuk kita malam ni."
"I like it. You are the best!"
Datuk Tengku Rashidi menepuk bahu TJ. Sudah terbayang sesuatu yang indah yang bakal dia nikmati malam nanti.
Bibir TJ kembali mengorak senyum.
YOU ARE READING
PALING AKU CINTA
RomanceTajuk: PALING AKU CINTA Penulis: AZIEANA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-59-2 🍀Untuk melanggan http://www.wasap.my/+60132588069 WWW.DEARNOVELS.MY