:
Bab 1 – Warkah Kasih Ariyana
Takdir bukanlah kebetulan, bukan pula sekadar nasib.
Takdir adalah permulaan sebuah kehidupan.
Permulaan sebuah kedukaan.
Permulaan sebuah kisah.
Permulaan sebuah cinta.
Dan ini adalah kisah...
Warkah Kasih Ariyana
Hari yang dinanti akhirnya tiba buat seorang insan yang bakal bergelar isteri. Nur Ariyana Natasya menanti detik bersejarah dalam hidupnya — sebuah titik mula ke arah kehidupan baru.
Kehidupan yang kononnya penuh dengan kebahagiaan. Namun realitinya, rumah tangga bukan sekadar impian manis. Ia mungkin menjadi permulaan kepada satu episod duka.
Ariyana sabar menanti. Wajah putihnya berseri dalam suasana tenang. Bibir lembutnya dioles perlahan oleh jurusolek yang tekun menjalankan tugas. Ariyana diam — cukup memudahkan kerja jurusolek itu.
“Isha, kau ada nampak Naqi tak?” soal Ariyana kepada sepupunya yang juga sahabat baiknya.
“Naqi? Housemate Azril tu kan?” jawab Nisya, mengangkat kening.
“Ya, housemate Azril,” balas Ariyana sambil mengangguk.
“Dia dah sampai. Ada kat bawah,” ujar Nisya lagi.
“Kenapa kau tanya pasal dia?” Nisya menyambung soalan.
“Macam ni… Aku call dan mesej Azril, tapi tak berbalas. Risau pula. Tapi kalau Naqi dah ada, mungkin Azril pun dah nak sampai.”
Kerisauan jelas tergambar di wajah Ariyana. Sejak kebelakangan ini, sikap Azril agak berubah — makin dingin menjelang hari bahagia mereka.
Azril merupakan penyelia di sebuah syarikat pembuatan kenderaan. Seorang yang disenangi pekerja, kerana sikapnya yang mesra dan profesional.
“Babe, jangan risau ya. Insya-Allah Azril sampai kejap lagi. Kakak dia dan family dah ada pun,” pujuk Nisya, cuba menenangkan.
Ariyana berada dalam fasa genting — saat yang mencemaskan bagi mana-mana bakal pengantin. Semua akan menjadi tenang, jika lafaz akad berjaya diungkap.
“Assalamualaikum…” suara imam kedengaran dari ruang hadapan rumah. Beberapa ahli keluarga segera menyambut kedatangan imam dan jemaah masjid yang datang untuk menyaksikan majlis akad nikah.
“Silakan masuk, imam,” pelawa Tuan Fauzi, ayah Ariyana, seorang pegawai polis yang sedang menunggu masa bersara.
“Ini ke pengantin lelaki?” usik imam sambil bersalaman dengan Anaqi, rakan serumah Azril.
“Eh, bukan saya lah imam!” jawab Anaqi, disambut gelak tawa ringan tetamu.
“La… saya ingatkan kamu tadi pengantin lelaki,” balas imam sambil tersenyum.
Mereka berbual sementara menanti pengantin lelaki. Topik bertukar-tukar — dari isu masyarakat ke politik dan agama. Imam bijak memimpin perbualan, tetapi Tuan Fauzi tampak resah. Dia kerap menatap jam. Sepatutnya majlis telah selesai sejam lalu. Tapi Azril masih belum muncul.
Puan Zaharah, ibu Ariyana, turut gelisah. Naluri keibuannya tidak tenang. Ariyana satu-satunya anak perempuan — segala usaha dan kasih dicurahkan kepada anak itu. Dia tidak mahu Ariyana terluka di hari bahagianya.
Perlahan, Puan Zaharah menghampiri suaminya yang masih berbual dengan imam dan tetamu.
“Abang, ke sini sekejap,” panggilnya perlahan. Tuan Fauzi memberi isyarat dan bangkit ke arah isterinya.
“Kenapa, Zah? Nampak cemas aje.”
“Abang, sekarang dah 12.30. Azril masih tak muncul. Tadi saya nampak kakak dia, sekarang pun dah tak nampak. Saya risau, bang… takut majlis ni tak jadi.”
Tuan Fauzi terus mengeluarkan telefon, cuba menghubungi Azril. Gagal. Nombor-nombor keluarga Azril juga tidak dijawab. Dia mula cemas, bersandar di kerusi makan. Songkok ditanggalkan. Sesuatu perlu dilakukan sebelum keadaan bertambah buruk.
“Isha, Fina! Tolong panggil ibu. Azril tak datang lagi. Aku call pun tak dapat. Semua nombor family dia pun tak jawab. Aku risau… something jadi kat mereka,” luah Ariyana perlahan. Wajahnya jelas menunjukkan kerisauan. Nafasnya turun naik, namun dia masih cuba bertenang.
Nisya segera turun memanggil Puan Zaharah. Ariyana terus mencuba menghubungi Azril — tetap sia-sia.
Puan Zaharah naik ke bilik sambil memegang tangan Ariyana. Pandangannya lembut. Ariyana tidak mampu menahan sebak. Air mata mula mengalir membasahi pipi.
Perasaannya bercampur-baur — risau jika sesuatu menimpa Azril, dan takut jika Azril memilih untuk tidak hadir.
“Isha, tadi aunty nampak Naqi kat bawah, kan?” soal Puan Zaharah.
“Ya aunty. Dia ada dengan uncle,” jawab Isha.
“Boleh panggil dia sekejap? Mana tahu Azril ada hubungi dia.”
Puan Zaharah cuba menenangkan keadaan. Genggaman tangannya pada Ariyana semakin erat.
“Tuan Fauzi, agak-agak lama lagi ke pengantin lelaki nak sampai?” soal imam.
“Saya cuba hubungi, tuan imam… sekejap ya,” balas Tuan Fauzi yang semakin gelisah.
Tetamu mula resah. Ada yang berbisik, ada yang mempersoalkan ketidakhadiran keluarga Azril.
“Naqi, kamu ada hubungi Azril?” soal Tuan Fauzi.
“Ada, uncle. Tapi tak jawab. Semua media sosial saya cuba, tetap tak dapat,” jelas Anaqi. Dia kelihatan resah.
“Uncle pun risau… Azril senyap, tak ada khabar. Call pun tak dapat,” luah Tuan Fauzi.
Tiba-tiba Nisya muncul.
“Pak Long, sorry ganggu. Ariyana panggil Anaqi. Dia dah risau sangat sebab Azril senyap dari semalam.”
“Hmm, tak apa. Anaqi, naiklah dulu. Cuba tenangkan dia. Bacakan ayat-ayat sikit untuk redakan dia. Uncle nak minta anak buah cari Azril.”
Anaqi mengangguk dan segera naik ke bilik Ariyana. Dia mengetuk pintu perlahan. Nisya dan Hafina menyambutnya.
“Yana, kenapa panggil aku?” tanya Anaqi.
“Naqi, kau ada call Azril tak? Dah tiga jam ni. Dia sepatutnya dah sampai.”
“Aku call, mesej, WhatsApp — semua tak berbalas. Bluetick je.”
Wajah Anaqi jelas menunjukkan rasa kecewa dan marah. Dia tahu perangai Azril yang nakal, tapi tak sangka hari penting ini dijadikan permainan. Namun dalam hatinya masih ada harapan, agar Azril muncul jua...
Bersambung...
ANDA SEDANG MEMBACA
𝙒𝙖𝙧𝙠𝙖𝙝 𝙆𝙖𝙨𝙞𝙝 𝘼𝙧𝙞𝙮𝙖𝙣𝙖
RomanceTakdir bukanlah kebetulan mahupun nasib. Tetapi takdir adalah permulaan sebuah kehidupan. Permulaan sebuah kedukaan. Permulaan sebuah kisah. Permulaan sebuah cinta. Dan Ini adalah kisah Warkah Kasih Ariyana ................................. Hari yan...
