Anaqi

56 6 1
                                        


---Bab 3

"Aku dah agak... mesti dia buat kerja bodoh ni lagi." Anaqi menahan marah. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia cari Azril sekarang juga. Penumbuknya sudah lama menanti wajah sahabat itu.

Dia menarik nafas panjang, menahan bara yang sedang marak di dada. Tanpa sepatah kata, Anaqi melangkah keluar, meninggalkan Ariyana yang masih teresak dan keluarga yang bungkam dalam kekalutan. Tuan Fauzi mengambil telefon dari tangan Anaqi dengan perlahan.

"Uncle... saya nak solat kejap. Dah masuk Zohor." Ucap Anaqi perlahan. Wajahnya kelihatan malu dan tertunduk. Mana tidaknya—sahabat serumah, sahabat karib, sanggup mempermalukan keluarga pada hari sebesar ini.

"Baiklah. Solat saja di bilik sebelah," balas Tuan Fauzi, suaranya sugul. Dia melabuhkan punggung di kerusi di sisi isterinya, di tepi katil Ariyana. Puan Zaharah, dengan tangan lembut, cuba menenangkan anak perempuannya yang masih dibalut kebingungan dan sedih.

"Budak ni memang nak aku kerjakan. Dia ingat anak kita ni apa, patung mainan? Boleh buang sesuka hati?" Tuan Fauzi meluahkan kemarahannya yang ditahan sejak tadi.

Dia kemudian terdiam. Wajah Ariyana direnung dalam-dalam. Ini pertama kali dalam hidupnya, maruah keluarga mereka tercalar sebegini. Apa silapnya? Di mana agaknya mereka terlepas pandang?

---

Sementara itu, Nisha yang masih bingung, menuruni tangga untuk bertemu ayahnya—adik kepada Tuan Fauzi, Tuan Ikhmal.

"Papa... macam mana ni?" soalnya, matanya masih merah menahan tangis.

"Papa pun tak tahu nak kata apa, Isha. Azril betul-betul tak bagi alasan ke kenapa dia batalkan pernikahan ni?" tanya Tuan Ikhmal.

"Tak. Dia langsung tak cakap. Tak jawab pun. Sekarang macam mana?" suara Nisha makin cemas.

"Nisha naik dulu. Cuba cakap dengan kawan baik dia tu... Anaqi. Papa naik kejap lagi, nak bincang dengan Pak Long kamu."

---

Di bilik solat, Anaqi sedang sujud di rakaat terakhir. Nisha berdiri di belakang, menunggu dia selesai. Pandangannya jatuh pada tubuh lelaki itu yang tenang bersolat—seolah satu-satunya orang waras yang tinggal hari ini.

Anaqi bukan jenis yang banyak cakap. Seorang pendiam, selamba, tidak terikat dalam hubungan cinta mana-mana wanita. Tapi dia aktif dalam dunia fotografi dan sukan ekstrem—hidupnya ringkas, tidak rumit.

"Anaqi... sekarang macam mana?" soal Nisha setelah Anaqi memberi salam.

"Imam dah balik, kan?" tanya Anaqi sambil melipat sejadah.

"Dah. Tapi dia cakap kalau jadi juga pernikahan, dia akan datang semula. Tapi lewat sikit lah," jelas Nisha.

"Aku pun tak pasti, Nisha. Tapi aku tak boleh lama. Malam ni aku ada job lain," katanya sambil memeriksa beg kameranya. Anaqi mahu saja terus pulang. Bukan dia tak simpati, tapi dia tak mahu campur urusan keluarga yang bukan miliknya.

Kalau majlis ini berjalan seperti dirancang, dialah jurugambar upacara. Azril sendiri yang mahukannya. Tapi kini semua itu tinggal kenangan.

---

Di ruang bawah, perbincangan semakin tegang.

"Esok resepsi, abang long. Kalau batalkan saat akhir, satu kampung malu. Azril tu betul tak nak datang ke?" tanya Tuan Ikhmal, wajahnya serius, bengis.

"Tadi abang long call. Kakak dia jawab. Dia cakap... anggap saja tak ada jodoh. Tapi abang long rasa... macam ada benda yang disembunyikan Azril tu," luah Tuan Fauzi, menahan kecewa.

"Jawapan bodoh. Dah buat silap, boleh pula salahkan takdir," balas Tuan Ikhmal tajam.

---

Di bilik atas, Ariyana diam tak bersuara. Kepalanya di riba Puan Zaharah. Tangisannya sudah kering, hanya bekas air mata di pipi. Crown pengantin sudah ditanggalkan, dan Puan Zaharah berkali-kali memujuk agar dia menanggalkan tudungnya, tapi Ariyana enggan. Dia masih menaruh harapan. Meskipun rapuh.

Tiba-tiba, pintu diketuk perlahan. Susuk tubuh berdiri di muka pintu. Mata Puan Zaharah memandang—ia wajah yang biasa dilihat. Tapi bagi Ariyana, itu satu tanda. Petanda dari langit.

Di saat hatinya koyak, dia berdoa. Mohon agar Allah hantarkan sesiapa pun yang sudi menyelamatkan maruah dan perkahwinannya. Dan sesiapa pun yang datang, jika dia bersedia menikahinya—Ariyana akan terima. Demi menjaga maruah.

Ariyana bangun dari riba ibunya. Puan Zaharah membiarkan. Dia tahu anaknya sedang mencari kekuatan.

"Yana... aku nak balik dulu. Aku minta maaf dengan apa yang jadi. Aku tak sangka Azril sanggup buat macam ni. Aku harap kau kuat." Suara Anaqi tenang.

Dia menunduk sedikit, ingin berlalu.

"Tapi... Yana yakin kau kuat. Ingat satu perkara—tak ada apa pun yang Allah bagi, melainkan ada sebab. Allah sebaik-baik perancang." Anaqi terus bergerak ke pintu.

Dan saat itu...

"Ya Allah... adakah dia..." bisik Ariyana dalam hati.

Kemudian...

"Naqi... kahwin dengan aku."

Anaqi tersentak.

"Hah, Yana?" Puan Zaharah menjerit kecil, terkejut.

"Yana... aku tahu kau kecewa. Tapi jangan buat keputusan dalam keadaan macam ni," balas Anaqi perlahan.

Ariyana bangun. Dia melangkah dan menahan Anaqi dari pergi.

"Anaqi... hanya kau yang boleh selamatkan perkahwinan ni," katanya sambil memegang lengan baju Anaqi. Matanya merenung dalam—renungan wanita yang terluka, merayu dalam maruah.

Anaqi menarik kerusi, duduk menghadap Ariyana. Puan Zaharah diam. Dia tahu, ini bukan masa untuk ibu bersuara. Ini masa untuk lelaki itu beri jawapan.

"Yana... aku tahu kau sangat kecewa. Tapi keputusan yang kau buat sekarang... mungkin kau akan sesal nanti. Kau kena tahu, aku bukan orang yang patut kau jadikan jalan keluar."

Anaqi merenung wajah Ariyana. Dan buat pertama kali, dia melihat wanita itu bukan sekadar puteri kayangan yang dikenali Azril, tetapi seorang perempuan yang sedang berperang dengan kehancuran.

"Kalau aku terima pun, kau akan hidup dalam bayang keputusan yang kau buat waktu kau terluka. Dan aku... aku tak nak jadi 'pak sanggup'."

Ariyana tunduk. Tapi hatinya tetap merintih. Satu pengharapan terakhir... mungkin satu jalan baru akan terbuka.

---

𝙒𝙖𝙧𝙠𝙖𝙝 𝙆𝙖𝙨𝙞𝙝 𝘼𝙧𝙞𝙮𝙖𝙣𝙖Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang