“Hurmmm…dunia!” Dengusan dilepaskan dan akhbar di tangan terus dicampakkan ke atas meja.
Dean yang sedang leka dengan telefon bimbitnya tersentak. Kepala didongakkan. Gadis itu dipandang dengan dahi berkerut. “Apa hal?” Pelik dia tiba-tiba mood Jean berubah. Tadi elok sahaja bergelak ketawa. Tak sampai sepuluh minit dah macam orang terkena penyakit kemurungan.
“Berita dalam paper ni ha! Buat aku makin takut je nak kahwin.”
Kerutan di dahi Dean semakin berlapis-lapis. Tak faham dia. “Berita apa?” Tanyanya. Tubuh yang sedang bersandar dikerusi ditegakkan. Surat khabar yang terdampar di atas meja dikerling. Hendak diambil dan baca, malaslah dia. Lebih baik dia dengar sahaja Jean bercerita. Dia kan suka mendengar Jean menceceh. Heh!
“Statistik perceraian di Malaysia.”
Tawa kecil Dean meletus. Hurmmm…pasal itu rupanya. Tak habis-habis dengan isu yang sama. Tapi, buat apalah Jean ambil serius sangat dengan perkara-perkara sebegitu. Lumrah kehidupan bukannya semuanya indah dan mudah. Desisnya.
“Kalau dah tak ada persefahaman dan perceraian adalah jalan yang terbaik, buat apa nak terus hidup bersama lagi?” balasnya bersahaja. Wajah yang masih berkerut-kerut bingung itu terus dipandang. Jean, entah apa agaknya yang difikirkan dalam kepalanya. Kebimbangan gadis itu untuk menempuh alam rumahtangga kadang-kadang merunsingkan dia. Tak pasal-pasal dia turut terbabit sebab terpaksa memikirkan tentang perkara yang sama. Sedangkan cara pemikiran dia mudah sahaja. Kalau dia betul-betul suka akan dia pikat habis-habisan sampailah dapat. Bila dah dapat tentulah dia akan ikat kuat-kuat. Susah-susah nak dapat masakan hendak disia-siakan. Itu prinsip dialah. Orang lain punya cara pemikiran dan bentuk tindakan, dia tak ambil kisah dan peduli. Sebab itulah dia malas hendak ambil pusing kisah-kisah begitu. Buat serabut kepala dia sahaja.
“Kahwin sebab cinta tapi bila bercerai kata tak sefahaman. I cannot brain betullah.” Jean membebel lagi dan tangan dipelukkan ke tubuh.
“Jean, tak ada orang yang berkahwin untuk bercerai. Kahwin atas dasar cinta tak semestinya akan kekal bahagia sampai tua. Hidup kita ni kan banyak dugaan dan pancarobanya. Tak semua orang bernasib baik dan hidup bahagia hingga hujung nyawa,” ucap Dean meluahkan pandangannya.
“Tapi kenapa tak cuba pertahankan? Perasaan cinta yang ada tak cukup untuk memperbaiki keadaan?” Bidas Jean sedikit keras. Haih! Dia memang tak boleh terima kalau tak sefahaman dijadikan alasannya. Bertahun-tahun menyulam cinta masakan masih tiada sefahaman?
“Kadang-kadang bila ada masalah dalam rumahtangga, perasaan cinta boleh hilang ditelan masa dan yang tinggal hanyalah rasa benci. But it depends on apa puncanya. Aku yakin mereka yang dalam fasa bercerai atau telah bercerai sudah mencuba sedaya upaya mereka untuk mempertahankan rumahtangga mereka tapi dah takdir, jodoh mereka hanya sampai setakat itu sahaja. Nak buat macam mana. Lagipun kita bukannya boleh melawan takdir. Segala-galanya dah tertulis Jean,” luah Dean panjang lebar. Terasa sedikit haus, air teh o ais laici di atas meja dicapai dan dihirup. Sebiji buah laici diceduk dengan sudu dan disuapkan ke mulut.
Jean terdiam sambil memerhati setiap perlakuan Dean di hadapannya. Reaksi Dean nampak bersahaja seolah tidak terkesan langsung dengan isu yang sedang mereka bicarakan ketika itu. Lelaki extrovert seperti Dean memanglah tidak kisah dengan masalah-masalah begitu. Entah-entah Dean juga tergolong diantara lelaki-lelaki yang tak setia. Fikirnya.
Melihat Jean yang hanya diam membisu, gelas air teh o ais laici diletakkan semula ke atas meja dan dia menyambung bicara. “Lagipun Jean, bercerai bukan bermakna berakhirnya sebuah kehidupan. Kadang-kadang ianya menjadi satu titik permulaan untuk seseorang menggapai bahagia. Lagipun dalam hadis juga jelas disebut, perbuatan halal yang dibenci oleh Allah adalah talak. So, kenapa tak boleh memilih untuk bercerai kalau itu jalan terakhir yang boleh dipilih?” Kening dijungkit.
YOU ARE READING
DEAN & JEAN
Romance❤️ BLURB DEAN & JEAN ❤️ "Nama aku Wan Mohd Nasrudean. Tapi kau boleh panggil aku, Dean." - Dean "Saya Jean. Jeanelle Fitri." - Jean Perkenalan pertama ketika di University of Leicester hampir enam tahun lalu tidak terhenti di situ malah jalinan per...