Bab 3

168 11 0
                                    

"So, macam mana dengan konsep yang aku proposed ni? Kau nak aku ubah apa-apa tak?" Beberapa keping kertas A4 yang sudah tidak teratur disusun semula. Komputer ribanya yang masih terbuka terus dimatikan. Sambil membetulkan duduk, Mirzan yang sedang menelek satu lagi naskah proposal yang sudah dibukukan diperhati.

Mirzan menggeleng. "Nope, I think this one is much better than the previous one. I love this one more," jawabnya lalu proposal di tangan ditutup dan diletakkan ke atas meja. "Dan aku rasa rekaan dan konsep ni sesuai dengan produk yang akan syarikat aku pasarkan."

Mendengar jawapan Mirzan, Dean hela nafas lega. Nampaknya tidak sia-sia dia bersengkang mata semalaman untuk menyiapkan proposal tersebut. "Kalau kau rasa konsep ni dah okey, nanti aku akan come out dengan final draft sebelum kita proceed dengan tindakan seterusnya," balasnya.

"Okey tapi kau kena siapkan sebelum akhir bulan ni. Maknanya kau cuma ada masa kurang dari dua minggu untuk submit complete proposal sebelum final meeting dengan bos aku." Mirzan mengingatkan.

"Sure, no problem Mir. Aku akan speed up benda ni. Once dah ready I'll give you a call for final discussion," ucap Dean berjanji. Bukan senang untuk syarikat kecilnya menerima projek besar begitu jadi dia kenalah berusaha lebih sikit. Nasib baiklah Mirzan, pengurus pemasaran syarikat Nutra Beauty & Femme itu adalah kawan baiknya ketika di sekolah menengah dahulu jadi mudahlah urusan mereka. Kalau tidak entah ada peluang atau tidak untuk dia dapat projek tersebut. Maklumlah syarikat kecil dia manalah dikenali lagi. Kata orang masih bertatih lagi dalam bidang pengiklanan yang dipelopori oleh syarikat-syarikat ternama. Apabila sesekali mendapat peluang begitu, dia kenalah berusaha dua kali ganda untuk meraih kepercayaan klien terhadap keupayaan syarikatnya.

"Please make sure proposal kau tu nanti follow standard yang syarikat aku tetapkan Dean sebab Dato' Sri tu cerewet sangat orangnya. Silap sikit aje pun nanti habis semua kau kena ubah. Nanti yang susahnya aku jugak. Maklumlah bos perempuan, kau faham-faham ajelah," pesan Mirzan sambil ketawa kecil.

Faham maksud sahabatnya itu, Dean ikut ketawa. "Aku akan buat yang terbaik. Don't worry," ucapnya berjanji.

Mirzan mengangguk. Dia tahu Dean seorang yang sangat commited dengan kerjanya jadi tidak sedikit pun dia risau akan hal tersebut. Lagipun setakat hari ini semua iklan-iklan yang dikeluarkan oleh syarikat Dean disukai ramai. Lihat sahajalah iklan hari raya dari salah satu syarikat telekomunikasi yang dibuat oleh syarikat Dean tahun lepas bukan main mendapat pujian ramai lagi. Mungkin sebab itulah bos besar syarikatnya berminat menggunakan khidmat syarikat Dean sebaik dia mencadangkannya.

"Okeylah stop cerita pasal kerja. Naik mua aku. Hari ni saja tiga appointment aku kena hadap. Penat nak mampus weiii. Nasib baiklah dengan kau boleh jumpa dekat kedai kopi aje so tak adalah jammed kepala otak aku ni," ucap Mirzan cuba menukar topik perbualan mereka. Tali lehernya terus dibuka lalu kotak rokok di dalam poket kemejanya dikeluarkan. Kotak rokok tersebut dibuka lalu sebatang rokok dicapai dan diletakkan di balik bibirnya. Mancis di dalam poket seluar diambil pula dan hujung rokok tersebut terus dibakar.

Dean ketawa dan mengangguk sahaja. Faham benar dia dengan kesibukan Mirzan. Maklumlah jawatan sahabatnya di syarikat Nutra Beauty & Femme itu bukan calang-calang. Malas hendak menambah tekanan kepada sahabatnya itu, dia hanya membiarkan sahaja Mirzan berehat dan menikmati rokok di tangan.

"Dean, apa kata kita pergi mancing dekat Kuala Rompin weekend ni. Boleh juga release tension. Lagipun dah lama kita tak mancing. Kita ajak Zali dengan Ghani sekali. Aku dengar sekarang musim udang dekat sana," tiba-tiba Mirzan bersuara setelah lama berdiam. Rokok yang sudah habis dihisap dicucuk-cucuk ke dalam bekas abu.

Teruja mendengar cadangan Mirzan, Dean mengangguk. "Macam okey jugak tu."

"Kalau okey, nanti aku call Zali dengan Ghani."

Baru sahaja dia ingin bersetuju, tiba-tiba dia teringatkan janjinya dengan papa Jean dan cepat-cepat Dean menolak. "Allah, sorry Mir, lupa pulak aku weekend ni aku ada projek sikit dengan papa Jean. Lain kalilah kita pergi."

"Hurmmm...sebab Jean lagi." Mirzan tergelak dan kepalanya digeleng. "Dah lebih enam tahun Dean, kau dengan Jean, takkan tak ada plan nak kahwin? Nak tunggu sampai bila?" Dean dipandang dengan senyuman.

Dean turut tersenyum dan tubuh disandarkan ke kerusi. "Kau ni, ke situ pulak. Aku dengan dia kawan ajelah."

"Kawan? Mati hidup semula pun aku tak percaya kau cuma anggap dia sebagai kawan. Tak ada orang sanggup buat macam mana kau buat pada Jean tahu tak? Sanggup tangguh balik Malaysia dan kerja dekat UK sana semata-mata nak tunggu Jean habiskan study. Balik Malaysia terus buka syarikat sendiri dan ajak dia kerja sekali. Padahal kau ada peluang lain yang lebih baik. Aku tahu sebabnya kau nak Jean ada dekat dengan kau kan? Lagi satu, cara kau layan dan ambil berat tentang dia pun tak macam kawan, Dean. Ingat aku buta ke tak nampak semua tu?" Tempelak Mirzan dengan senyuam nipis di bibir. Tak mungkin Dean tidak tahu tentang perasaannya sendiri atau Jean sudah ada pilihan lain sehingga Dean terpaksa beralah? "Ermmm...Atau Jean sebenarnya dah ada kekasih lain?" Tanya Mirzan apabila dia tiba-tiba terfikirkan tentang itu.

Dean tergelak dan kepalanya digeleng.

"Habis tu apa masalahnya? Aku rasa kalau kau nak kahwin dengan dia, anytime je orang tua dia setuju. Peliknya, walau pun kau baik dengan orang tua Jean tapi kau langsung tak buka langkah dan ambil peluang yang ada. Atau kau memang nak tunggu Jean disambar orang?" Mirzan jungkitkan kening.

"Ada perkara kita tak perlu terburu-buru Mir. Kata orang, takkan lari gunung dikejar. Lagipun, jodoh pertemuan itukan Allah dah tentukan. Kalau Dia memang dah tentukan Jean jodoh aku, cepat atau lambat, bersatu juga kami nanti," Balas Dean tenang.

Mirzan geleng kepala. Tak faham betul dia apa yang ada dalam kepala Dean. Dia tahu Dean bijak orangnya tapi takkan dalam hal yang berkaitan hati dan perasaan Dean jadi bodoh?

"Ermmm...dah lebih enam tahun Dean bukan baru setahun dua. Gunung memang tak lari Dean tapi kita cakap tentang orang dan orang itu perempuan. Perempuan itu pulak cantik orangnya. Orang yang cantik ni ramai yang suka. Bila ramai yang suka tentulah dia ada lagi banyak pilihan. Bila dah banyak pilihan, kau tentu dia dah tak pandang. Faham?" Bedilnya geram. Haih! Dia pula yang hilang sabar melihat riak bersahaja Dean.

"Jangan risau. Buat masa sekarang, keadaan masih terkawal lagi." Dean membalas dengan senyuman. Selagi Jean ada depan mata, selagi itulah dia masih ada peluang dan ruang. Sebab itulah dia tak beri Jean kerja dengan orang lain. Biar Jean ada aje dekat dengan dia.

"Confident level kau memang tinggi. Aku salute tapi kalau dalam diam dia ada lelaki lain, salam takziahlah untuk kau," seloroh Mirzan sambil ketawa kecil.

"Kalau betul dia dah ada boyfriend tentu aku dulu yang akan tahu. Aku kenal sangat Jean tu macam mana."

"Hurmmm...ikut kaulah jangan nanti bila dah melepas, dok menangis dekat bucu katil. Aku gelakkan aje." Ejeknya.

Tawa Dean terhambur lepas. "Itu kejam namanya kawan," selorohnya dengan tawa yang masih bersisa. Dokumen di atas meja dikemaskan lalu dimasukkan ke dalam beg kerjanya. Komputer riba turut dicapai dan turut dimasukkan ke dalam beg yang sama.

"Selagi peluang tu ada, for sure aku tak akan sia-siakan tapi tindakan tu biarlah sesuai dengan keadaan," ucapnya tiba-tiba.

Akhirnya Mirzan mengangguk mengalah. "Kau lebih tahu apa yang terbaik untuk diri kau. Sebagai kawan, aku cuma mengingatkan aje."

"Aku tahu dan terima kasih Mir. Cuma aku minta, jangan berhenti mendoakan yang terbaik untuk kawan kau ni." Sengihnya.

"Insya-Allah Dean. Bak kata si bijak pandai, you deserve all good things life has to offer,"

Mendengar jawapan sahabat baiknya itu, Dean hanya senyum sahaja dan kepalanya dianggukkan sedikit. Amin...amin...amin untuk doa kau, Mir. Bisiknya dalam hati.  

DEAN & JEANWhere stories live. Discover now