Bab 2

173 9 0
                                    

“Lia, dari tadi abang tengok awak asyik tenung jam aje, kenapa?” Encik Jamilul kerutkan dahi. Buku di tangannya ditutup dan isterinya yang kelihatan resah dan gelisah itu dipandang. Dia sendiri pun ikut resah melihat reaksi isterinya sejak tadi sehingga terganggu pembacaannya.

“Jean…” Puan Kamalia melepaskan keluhan. Sekali lagi jam didinding dikerling.

“Ha! Kenapa dengan Jean?” Sebaik nama Jean disebut, dahi Encik Jamilul turut berkerut.

“Dah dekat pukul sebelas malam dah ni tapi anak dara abang tu masih belum balik lagi. Selalunya dia tak pernah lewat macam ni,” ucapnya resah.

“Mungkin dia kerja lebih masa agaknya tu. Lia bukan tak tahu Jean tu kan jenis yang kuat kerja. Kalau tak pun tentu dia keluar dengan kawan-kawan dia,” Encik Jamilul cuba menenangkan.

“Biasanya kalau dia kerja lebih masa atau hendak ke mana-mana, dia akan telefon Lia beritahu. Ni senyap aje. Call tidak, mesej pun tidak.” Puan Kamalia mengeluh perlahan.

“Kalau dah risau sangat kenapa tak call aje dia. Jadi tak payahlah Lia tertanya-tanya macam tu.”

“Hurmmm…Lia tak naklah ganggu dia, bang. Takut pulak kalau-kalau dia tengah drive.” Puan Kamalia terus berdiri dan kepala dijengahkan ke luar melalui tingkap di ruang tamu. Walau pun dia tahu dia tidak akan dapat melihat apa-apa dari dalam tetap juga pandangannya dibuangkan ke situ.

“Lia pandang apa tu? Kalau dia balik tentu ada bunyi kereta dia. Apa kata Lia call aje dia.” Suruh Encik Jamilul lagi. Melihat keadaan isterinya itu dia juga turut merasa tempiasnya. Hati yang sedari tadinya tenang tiba-tiba ikut resah gelisah. Mulalah kepala memikir yang bukan-bukan.

Akur, akhirnya puan Kamalia mengangguk. Langkah terus dibuka menuju ke arah meja console yang diletakkan di kaki tangga. Baru sahaja gagang telefon ingin dicapai, terdengar kuat bunyi kereta Jean memasuki garaj rumah dua tingkat tersebut. Spontan itu nafasnya dihela lega. “Dah sampai pun,” ucapnya perlahan lalu pandangan dibuangkan ke pintu.

“Hurmm…Lia aje yang risau sangat.” Encik Jamilul buang sengih.

“Tentulah risau bang. Jean tu anak dara kalau anak teruna Lia tak kisahlah sangat.”

Baru sahaja Encik Jamilul ingin membalas kata-kata isterinya, dia terdengar daun pintu dikuak. Kepalanya dipalingkan memandang ke arah pintu. Puan Kamalia turut memandang ke arah yang sama.

Jean yang baru melangkah masuk tercengang dan terpinga-pinga apabila melihat reaksi kedua-dua orang tuanya. “What?” Soalnya dengan dahi berkerut seribu. Kedua-duanya dipandang silih berganti.

“Kenapa balik lewat? Jean buat mama risau.” Puan Kamalia terus bersuara dan mula buka langkah menuju ke ruang tamu semula.

Jean buang sengih. “Ada kerja yang nak kena siapkan ma. Urgent,” jawabnya lalu daun pintu ditutup dan dikunci.

“Boleh tak kalau balik lewat call mama dulu? Janganlah buat mama risau,” bebel puan Kamalia tetapi dengan nada suara yang terkawal. Itu bukan pertama kali dia memesan tetapi sudah acap kali dan Jean pula bukannya pernah mendengar kata.

Sengih Jean melebar dan buka langkah menuju ke ruang tamu. Begitulah mama, walau sedang marah suaranya sangat dijaga. Tak pernah lagi dia mendengar mama terjerit-jerit atau memaki hamun tidak tentu hala ketika marah. Mungkin sebab itulah agaknya papa terlalu sayangkan mama. Bukan macam dia yang sukar diduga anginnya. Macam yang Dean pernah kata, mood dia ada dua musim. Kadang sejuk dan kadang ribut. Tapi dia berani moody dengan Dean aje sebab hanya Dean yang pandai mengawal emosi dia.

Sebaik mamanya dihampiri, beg tangan dan beg komputer ribanya diletakkan di atas meja kemudian dia terus duduk. “Sorry ma, busy sangat sampai tak sedar dah lewat. And sorry sebab tak call dan buat mama risau,” sengihnya dan tubuh puan Kamalia dipeluk sayang.

DEAN & JEANWhere stories live. Discover now