Dean buang pandang ke sekeliling kemudian telefon bimbit di tangan dikerling pula. Kereta Jean masih belum kelihatan dan mesej gadis itu juga tiada. Spontan itu jam dipergelangan tangan dikerling. Waktu sudah hampir menginjak ke pukul lapan malam tetapi bayang-bayang Jean masih juga belum kelihatan. Tidak terus menunggu, nombor telefon Jean didail. Senyap. Sekali lagi nombor Jean didail. Lama dia menunggu dan akhirnya panggilannya bersambut juga.
"Waalaikumsalam." Salam Jean disambut dan tubuh disandarkan ke tiang di luar pintu balai ketibaan.
"Aku dah nak sampai. Sorry, jalan jammed teruk." Belum sempat dia bertanya, Jean sudah memberikan jawapannya.
"Kau tunggu dekat luar kan? Dalam lima minit lagi aku sampai."
Klik!
Jean menamatkan perbualan mereka tanpa sempat dia berkata apa-apa. Hurmmm...Jean, bila berada di dalam keadaan kalut memang begitulah dia. Bibir terus mengukir senyum. Telefon bimbitnya dimasukkan ke dalam poket seluar dan langkah diayun ke hadapan sedikit supaya senang Jean memberhentikan keretanya. Belum sampai lima minit dia menunggu, Honda HRV berwarna merah Jean sudah berhenti betul-betul di hadapannya. Nasib baik ketika itu tidak ramai orang yang berada di situ jadi senanglah Jean melihatnya dan memberhentikan keretanya.
"Sorry Dean, ada excident tadi sebab tu lambat. Gila betul dekat dua jam sangkut dalam jammed. Naik lenguh kaki aku asyik tekan break aje." Bebel Jean bercerita tentang apa yang berlaku.
"It's okay, aku faham. Aku ingat kenapa tadi sebab lewat sangat kau sampai. Kalau setakat jammed aku tak kisah sangat tapi aku risau kereta kau rosak dekat mana-mana masa on the way ambil aku."
Jean buang sengih. "Kau nak risau buat apa? Kereta aku kan kau yang selalu hantar servis bila dah sampai masa." Dia mengingatkan dan kereta terus dipandu keluar dari kawasan lapangan terbang.
"Memanglah tapi malang tak berbau. Selalu servis pun kalau tiba-tiba nak rosak kita tak boleh kata apa juga kan?" Kening dijungkit.
"Iyalah...iyalah Encik Dean. Message received loud and clear. So, sekarang, kita nak pergi makan dekat mana? Aku dah lapar." Rungut Jean. Apa tidaknya kali terakhir dia makan adalah pagi tadi. Lunch hour pun dia tak sempat keluar sebab menyediakan dokumen untuk perbincangan dengan wakil Nutra Beauty.
"Singgah kedai mamak yang biasa kita lepak tu ajelah. Kau boleh makan nasi tumpang yang ma aku buat dekat situ."
Sengih Jean melebar. "Ma kau baik eh. Minta buat, sungguh-sungguh dia buatkan." Puji Jean.
"Buatkan untuk bakal menantu sebab itulah ma aku beria." Gumamnya perlahan.
"Kau cakap apa?" Jean memandang Dean di sebelah dengan kerutan di dahi.
"Tak ada apalah. Pandang depan masa tengah drive. Kau tu bukannya pro sangat." Dalih Dean.
Jean mencemik. Pandangannya terus dibuangkan ke hadapan. Sepanjang perjalanan dari Sepang sehinggalah ke kedai mamak favourite mereka yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, tak banyak perkara yang mereka bualkan. Dean lebih suka berdiam dan mendengar sahaja Jean menyanyi mengikut CD yang dipasangnya ketika itu. Suara Jean tidaklah sedap mana tapi dia suka saja mendengarnya. Jean, apa sajalah yang dibuatnya dia tak suka. Jean membebel pun dia suka dengar inikan pula menyanyi.
Sampai sahaja di hadapan kedai yang dituju, Jean terus memberhentikan keretanya. Mereka terus keluar dan berjalan beriringan masuk ke dalam restoran tersebut.
Sebaik duduk, Dean terus angkat tangan memanggil pelayan. Tidak lama menunggu seorang lelaki india muslim datang menghampiri mereka.
"Jean, kau nak air apa?" Jean yang sedang membetulkan duduk dipandang. Jean, walaupun dengan rambut yang diikat ala kadar begitu, tetap nampak cantik. Bukan cantik tapi perkataan yang sesuai menggambarkan Jean ketika itu adalah comel dan cute. Biasalah bila dah seharian bekerja memang begitulah penampilan Jean. Peliknya, Jean langsung tak kisah orang melihatnya dalam keadaan itu. Sesetengah perempuan seusia Jean tentu kisah kalau keluar tanpa make up atau berpenampilan tidak kemas tetapi bukan Jean. Mungkin sebab itulah dia jatuh hati pada Jean. Jean nampak jujur pada diri sendiri begitu juga bila berdepan dengan orang lain.
YOU ARE READING
DEAN & JEAN
Romance❤️ BLURB DEAN & JEAN ❤️ "Nama aku Wan Mohd Nasrudean. Tapi kau boleh panggil aku, Dean." - Dean "Saya Jean. Jeanelle Fitri." - Jean Perkenalan pertama ketika di University of Leicester hampir enam tahun lalu tidak terhenti di situ malah jalinan per...