"Yesssss!!!" Jerit Jean sambil melompat gembira mendengar berita yang disampai Dean sebentar tadi. Kalau memeluk Dean tidak salah, tentu tubuh tegap Dean sudah dibawa ke dalam pelukan agaknya. Gembira dia bukannya kerana dia ada bahagian untuk projek tersebut tetapi kerana usaha dan penat lelahnya terbayar. "So sekarang kita dah tak perlu balik lambat lagi kan?" Tanyanya.
Dean menggeleng. "Tak." Balasnya sepatah.
"Best nya. Bolehlah aku tidur awal malam ni. Yes!" Jean bersuara ceria.
Dean tergelak kecil. Gelihati melihat reaksi gadis itu.
"Oh ya Dean, our holiday is on right?" soalnya apabila teringat apa yang pernah Dean janjikan sebelum itu. Tidak sabar rasanya dia hendak menikmati keindahan pantai.
Dean buang senyum dan mengangguk. "Jadi. Nanti kita bincang dengan yang lain-lain." Jawabnya juga dengan nada ceria. Sungguh, hilang rasa lelahnya sebaik perjanjian dengan Dato' Sri Hani selesai ditandatangani satu jam tadi. Sebelum perjanjian ditandatangani, memang tidak tidur lena dia dibuatnya. Maklumlah, dalam dunia pernigaan yang penuh dengan permainan politik, macam-macam boleh berlaku. Sedangkan nasi yang hampir tersuap ke dalam mulut pun boleh jatuh inikan pula kontrak yang belum pasti lagi.
"Great!" Jean angguk bersetuju dan duduk semula.
Melihat Jean yang sudah duduk ditempatnya, Dean berdeham. Teringatkan hadiah yang dia belikan untuk Jean dua minggu lepas, spontan itu beg sandangnya yang diletakkan di atas meja Azie dicapai. Baru sahaja kotak berwarna putih yang disimpan di dalam beg itu ingin diambil, hati rasa ragu-ragu dam Jean dikerling sekilas. Haih! Kalau Jean tanya hadiah itu untuk apa, jawapan apa yang perlu dia beri? Mengenali Jean, dia tahu gadis itu bukannya jenis senang berpuas hati dengan jawapan yang ala kadar. Beri hadiah harijadi pun bermacam-macam soalan yang Jean tanya. So, patutkah dia beri hadiah itu kepada Jean sekarang? Tapi, sampai bila hadiah tersebut perlu dibawa ke hulu ke hilir begitu? Hati berbisik resah.
Beri saja Dean. Kalau Jean tolak pun sekurang-kurangnya kau dah bagi. Hati berbisik lagi. Dengan helaan nafas panjang, kotak putih itu segera dicapai lalu dikeluarkan dari dalam beg. "Untuk kau," ucapnya selamba dan kotak tersebut diletakkan di atas meja Jean.
Jean tercengang. Bulat matanya memandang Dean sebelum pandangannya beralih ke arah kotak putih yang tertulis Pandora di atas meja. "Apa ni?" Dia buat-buat tanya padahal diluar kotak sudah jelas ditulis PANDORA. Dengan riak bersahaja, kotak tersebut dicapai dan diperhati.
"Entah. Aku jumpa dekat bawah tadi. Rasanya ada orang buang. Dari dibiar macam tu lebih baik aku ambil dan bagi kau," jawab Dean semakin selamba dan terus buka langkah menuju ke biliknya. Berdiri di hadapan Jean lama-lama nanti semakin banyak pula soalan dari mulut bertih jagung Jean.
Jean mencemik. Dean dikerling. Kalau nak menipu pun agak-agaklah. Tak ada orang yang akan buang barang berharga macam ini. Tidak terus duduk ditempatnya, Jean bingkas bangun dan terus berjalan menuju ke bilik Dean.
"Thank you," ucapnya sambil menggoyang-goyang kotak di tangan. Dengan sengih lebar di bibir, kotak itu terus dibuka. Sebaik terpandangkan seutas gelang dengan tiga biji charm berbentuk hati, Dean dipandang semula. Terkebil-kebil matanya memandang lelaki itu.
Dean berdeham. "Kenapa?" soalnya cuak.
"Kau yang pilih ke ni?"
"Tak. Ada sorang ah soh yang tolong pilihkan," tipu Dean. Nafasnya dihela dan pandangan dikalihkan ke arah lain. Tiba-tiba pula dadanya berdebar dan dia jadi malu untuk membalas renungan dari sepasang mata cantik Jean.
Senyum di bibir Jean melebar. Kalau itu yang dijawab sudah pastilah maksudnya adalah sebaliknya. "Cantik dan aku suka," pujinya. Gelang tersebut terus dikeluarkan dari kotaknya lalu kotak tersebut diletakkan di atas meja Dean. Dia terus berjalan menghampiri tempat duduk Dean.
YOU ARE READING
DEAN & JEAN
Romance❤️ BLURB DEAN & JEAN ❤️ "Nama aku Wan Mohd Nasrudean. Tapi kau boleh panggil aku, Dean." - Dean "Saya Jean. Jeanelle Fitri." - Jean Perkenalan pertama ketika di University of Leicester hampir enam tahun lalu tidak terhenti di situ malah jalinan per...