BAB 1

13.2K 442 194
                                    

"DAMN. That's my new car," gerutu Kai dari celah dada yang termengah-mengah. Sakit matanya melihat Chevrolet Camaro yang baru sahaja dua bulan dibeli, tetapi kini sudah hampir lunyai dikerjakan oleh beberapa orang lelaki yang muncul tiba-tiba tadi. Sewaktu dia baru pulang dari kelab, dan mahu naik ke rumahnya. Belum sempat dia keluar kereta, ada dua buah kereta lain yang datang menghadang. Kemudian, orang-orang di dalamnya keluar membawa besi dan batang besbal. Mereka menyerbu dan...

Prang!!!

Cermin depan keretanya dihentak kuat. Tidak pecah. Tetapi cukup untuk membuatnya retak seribu. Kai cuma mampu melihat dari dalam. Terkejutnya bukan kepalang. Ini kereta baru dia!!!

Tidak cukup dengan itu, mereka menyerang dari tepi pula. Habis kedua-dua belah pintunya dihentak dan ditendang. Dia menekup kepala kuat-kuat. Reaksi spontan mahu melindungi diri. Tidak terlindung mana pun. Kerana dia akhirnya diseret keluar. Entah macam mana, dia juga tidak sedar. Yang pasti, dia baru sahaja terlepas daripada mereka. Itu pun setelah berhempas pulas melawan.

Lalu, di sinilah dia. Bersembunyi di sebalik salah satu tiang di kawasan parkir kereta. Mengintai kereta baru dari celah-celah tiang, dan merasai betapa sadisnya keadaan dia sekarang. Huwaa! Kereta baru dia!!

"Cari dia! Cari dia sampai dapat!!!"

Secepat kilat, Kai menyembunyikan semula dirinya balik tiang. Telinganya dengan jelas mendengar bunyi derap kaki yang kelam-kabut, berselang-seli dengan tempikan lantang. Walau tidak ingin, dia mula terbayangkan sang pemilik suara itu.

Lelaki tinggi dengan badan tegap, dan tatu di lengan. Muka boleh tahan, tetapi itulah...garang sangat.

"Dai-lo! Sana!!!"

Kai tersentak. Spontan, dia mengeluarkan kepala. Tepat bertentang dengan beberapa kepala lain. Semuanya merenung kepadanya.

Lambat-lambat, Kai bangkit dari cangkungan, keluar dari tempat persembunyian dan kemudian...

"Oh, you found me." Dia menyengih sambil melambai tangan.

"Tak guna!" Lelaki tinggi bertatu tadi mencarut dan menyerbu ke hadapan. Anak buahnya mengambil tindakan sama.

Kai tidak menunggu lama. Dia mengangkat langkah dan menyambung larian yang tadi terbengkalai. Kakinya berdesup di celah-celah kereta yang tersusun. Sekejap dia ke kiri, sekejap dia ke kanan. Sengaja mahu mengelirukan orang-orang di belakang. Ada beberapa kali, dia melompat dan melongsor atas but kereta. Tetapi setiap kali itu, kesakitan di bawah rusuknya rasa semakin mencucuk. Ngilu berdenyut-denyut. Kai tahankan sahaja, dan terus memecut. Namun...

"Kau fikir kau boleh lari?"

Dia kini berada dalam kepungan. Elok-elok di tengah laluan kereta, dikelilingi... Satu, dua, tiga... enam orang lelaki.

Kai menegakkan tubuh. Namun tangan kanannya memegang bawah rusuk kiri. Aduh, pedih sungguh!

"Aku bukan mahu lari." Dia menjawab selamba.

Lelaki tinggi bertatu menyengetkan bibir. Ada gelak sinis yang keluar.

"Bukan mahu lari? Habis tu, tadi apa?"

"Nak selamatkan diri daripada serangan kau orang semua."

Kali ini, lelaki tinggi bertatu ketawa pula. Terbahak-bahak. Anak-anak buahnya berpandangan sesama sendiri, sebelum mengambil tindakan serupa.

Kai menyelit sama. Ketawa olok-olok, sambil matanya meliar mahu cari ruang untuk bolos. Sampai di tengah-tengah antara lelaki satu dan dua, dia nampak peluang. Berdesup Kai ke sana. Baru dia mahu bolos, belakang badannya terasa dihentak. Dia tersodong ke hadapan. Hampir-hampir jatuh mencium lantai, namun dengan pantas dia mengimbangkan badan. Secepat itu juga, dia berpusing ke belakang dan menyambut sebelah kaki yang hampir melibas kepalanya. Kaki itu, dia bawa ke kepala lutut dan dihentak kuat-kuat.

CODE NAME COBRA (Published)Where stories live. Discover now