BAB 2

5.3K 345 306
                                    

SUNGGUH! Ini bukan apa yang dia jangkakan. Langsung tidak. Fikirnya, dia bakal berdepan dengan seorang lelaki yang menakutkan. Sang ketua kepada lelaki tinggi bertatu. Manusia yang mampu menentukan hidup matinya hanya dengan satu patah perkataan. Namun, yang ada di hadapannya kini ialah...

Seorang wanita.

Berwajah cantik. Manis dalam persalinan cheongsam serba putih, dengan sulaman benang keemasan. Ada corak bunga dan naga yang menghiasi. Dia duduk elok dekat meja rendah, yang letaknya betul-betul di tengah antara mereka berdua. Di atas meja tersebut, kelihatan sebuah cerek, dua buah teko, dua cawan kecil dan beberapa objek lain. Yang Kai tidak tahu namanya, tetapi dia tahu bahawa semua itu adalah unsur-unsur dalam seni teh Cina.

Kai kembali memberi perhatian pada wanita dekat meja. Rambutnya kemas disanggul pada bahagian bawah kepala. Ada cucuk sanggul dengan hujung berbentuk bunga orked yang melekat di situ. Warna putih keemasan, secocok dengan cheongsam yang dipakai. Cheongsam yang dikenakan itu pula, berlengan pendek dan boleh tahan ketat menampakkan bentuk badan. Letak duduknya dalam keadaan postur tubuh yang menegak, berserta kepala yang juga menegak ke hadapan. Riak mukanya tenang, dengan kelopak mata yang sesekali berkelip lembut.

Anggun.

Hanya sepatah kata itu yang terlintas dalam fikiran Kai. Dalam ramai-ramai perempuan yang pernah dia jumpa seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat wanita seanggun ini. Dia harus akui itu.

Tanpa mempedulikan Kai, wanita tersebut mengambil teko pertama dan menuang isinya ke dalam teko kedua yang lebih kecil. Semerta, satu bau wangi menjamah hidung Kai. Mengertilah dia, dari mana datangnya bau yang sebelum ini dia hidu. Isi dalam teko kedua tadi, kemudiannya dibuang ke dalam sebuah mangkuk sederhana kecil. Kai pernah mendengar, dalam pao cha iaitu seni teh Cina, air teh pertama yang meresap keluar dari daun perlu dibuang. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Tidak pernah berminat untuk tahu pun.

Masih dengan riak muka tenang yang sama, wanita itu mengambil cerek dari tepi dan menuang air panas ke dalam teko pertama. Kepul-kepul asap keluar dari celah penutup.

"It's Bai Mu Dan."

"Huh?" Kai tersentak.

"Nama teh ni. Bai Mu Dan a.k.a White Peony. Kau tahu, teh jenis ini antara yang paling berkualiti tinggi. Diperbuat daripada pucuk daun muda yang masih lagi terlindung dalam hao dan juga dua daun selepas tu. Oh, in case kau tak tahu, hao ialah satu lapisan jaringan warna silver yang melindungi pucuk daun teh." Panjang lebar wanita itu menerangkan, sambil menuang teh dari teko pertama tadi, masuk ke dalam teko kedua.

Teko pertama diletak ke tepi. Dia angkat pula teko kedua. Isinya dituang ke dalam dua cawan kecil. Melebihi separuh, dia berhenti dan meletak semula teko. Cawan pertama, dia tolak kepada Kai.

"The first one always goes to the guest."

Kai tidak menyambut.

Senyuman halus terukir di bibir wanita tersebut, sebelum dia mengambil satu lagi cawan dan membawanya ke mulut. Matanya terpejam sedikit saat menghirup isinya masuk ke tekak. Usai meletak cawan semula ke atas meja, dia menengadah kepada Kai.

"See, aku tak letak racun dalam ni."

Kai tidak berkata apa-apa. Tetapi dia bergerak ke hadapan.

"Biar aku cuba faham apa yang tengah berlaku sekarang," ucap Kai sebaik duduk dekat meja. Bertentang si wanita anggun. Tangan kanannya kemudian diangkat dan dituding ke arah pintu yang terkatup di belakang.

"Lelaki tinggi bertatu kat luar tu, bawa geng dia hancurkan kereta kesayangan aku, kemudian heret aku ke sini, semata-mata sebab nak aku..."

Kai mengecilkan mata ke arah wanita di hadapannya.

CODE NAME COBRA (Published)Where stories live. Discover now