BAB 6 & 7

3.8K 227 123
                                    

BAB 6

"ADAKAH kau masih mahu menyertai kumpulan?"

"Ya. Aku mahu." Dalam keadaan melutut, Kai menjawab. Setegas mungkin. Bodohlah dia jika dia menjawab 'tidak'. Pertama, kerana memang ini yang dia mahu. Kedua, kerana menjawab 'tidak' cuma akan membawa mati. Dia sudah berada di separuh upacara kemasukan, sudah tahu terlalu banyak tentang upacara ini dan siapa yang terlibat. Berpatah balik pada saat ini bermakna mencari maut.

Lelaki separuh umur di hadapan Kai, mengangguk puas hati. Dialah heung chu, orang yang bertanggungjawab dalam mana-mana ritual bagi kumpulan kongsi gelap. Berada di tangga kedua dalam hierarki organisasi kongsi gelap.

Upacara bersambung lagi. Rambut Kai dipotong pendek dan disikat elok-elok. Sesudah itu, wajahnya dibasuh. Kai pernah mendengar, bahawa ritual ini diadakan sebagai tanda membuang zaman silamnya dan membasuh apa-apa emosi yang masih bersisa dalam hati. Selesai membasuh muka, Kai menanggalkan baju dan seluarnya. Digantikan dengan satu jubah labuh berwarna putih. Sehelai kain warna merah diikat di sekeliling kepala. Selain itu, dia juga diminta memakai satu pasang sandal yang diperbuat daripada jerami. Sepanjang upacara berlangsung, satu sajak ritual dibaca oleh orang-orang lain yang mengelilingi.

Dia kemudiannya dibawa ke hadapan sebuah altar, sambil memegang sembilan helai lalang panjang. Kai memerhati heung chu meletak sehelai kertas kuning ke dalam bekas kemenyan yang berada atas altar. Sajak ritual dibaca lebih kuat. Dengan setiap satu verse, Kai dan beberapa rekrut lain bangkit meletak satu lalang ke dalam bekas kemenyan yang sama. Dua batang lilin diperbuat daripada kayu dibakar, semakin banyak sajak dibaca dan kemudian, sebatang lilin merah diletak. Sebuah jug perak dan tiga cawan jed dipersembahkan. Sesudah itu, ketiga-tiga batang lilin dinyala. Yang terakhir, ialah lilin merah.

Upacara diteruskan lagi. Kali ini, tiga puluh enam sumpah kongsi gelap dibaca. Inilah saat penentuan dan paling penting dalam upacara. Yang perlu diingat oleh setiap satu rekrut yang ada. Melanggar mana-mana satu dalam tiga puluh enam sumpah ini, mengundang pelbagai balasan. Kai dengar semuanya. Kebanyakannya berakhir dengan kematian.

Tidak boleh membocorkan rahsia kumpulan. Jika buat demikian, mati.

Tidak akan merampas harta 'adik beradik' yang lain. Jika buat demikian, mati.

Tidak akan menjadi penyebab kepada ketidakharmonian antara 'adik beradik' dengan menyebarkan khabar angin tentang mereka. Jika buat demikian, mati.

Tidak akan menjalinkan hubungan dengan isteri kepada 'adik beradik' yang lain. Jika buat demikian, mati.

Ah, ada macam-macam lagi. Kai dengar sambil menanti semuanya habis disebut. Selesai mengangkat sumpah, tiba masanya untuk mereka memeterai sumpah setia mereka kepada kumpulan. Jari tengah setiap rekrut yang ada, dicucuk dengan jarum. Darah yang keluar dititiskan ke dalam sebuah mangkuk yang mengandungi wain. Sesudah itu, kertas kuning yang tergantung di pintu masuk dewan dibakar. Abunya ditambah ke dalam wain. Campuran tersebut dirasai dengan menggunakan jari yang dicucuk tadi dan diminum oleh rekrut hingga kering. Seekor ayam jantan yang tersedia, kemudian disembelih di hadapan semua orang. Satu sumpahan dibaca. Jika ada sesiapa di antara mereka yang melanggar janji sumpah setia mereka, dia akan berkongsi nasib yang sama dengan ayam jantan tersebut. Setelah itu....

Prang!!!

Mangkuk kosong tadi dipecahkan. Sebagai simbol kematian bagi sang pengkhianat.

Setelah lima jam lamanya, upacara akhirnya berakhir. Seperti rekrut-rekrut yang lain, Kai kekal memapar wajah tenang sepanjang upacara berlangsung. Namun, otaknya memateri setiap satu wajah yang ada. Terutama sekali...

CODE NAME COBRA (Published)Where stories live. Discover now