Cuti akhir Semester 1 tiba. Malam tadi Melissa telah meminta Fariz menghantarnya ke Melaka Sentral. Dia hanya memberi jawapan INSYAALLAH. Walaupun tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi, Melissa tetap berharap dia akan dapat berjumpanya untuk kali terakhir sebelum cuti bermula.
Melissa pandang tiket bas ke Kota Bharu di tangannya. Fariz sanggup susah payah membeli tiket bas untuknya dan tidak mahu pula mengambil duit apabila dia menghulurkannya. Jadi, takkan nak menghantarnya ke Melaka Sentral Fariz tidak boleh?
Melissa renung jam di lengan kiri. Sudah pukul 6 petang. Bas akan bertolak pukul 8 malam namun dia masih belum dapat menghubungi Fariz. Telefon bimbitnya seolah-olah dimatikan. Melissa gelisah. Bimbang juga jika berterusan menunggu Fariz, dia pula tidak dapat datang, terlepas pula bas.
Melissa bergegas membimbit beg pakaian dan menggalas beg sandang menuju ke perhentian bas di hadapan hostel. Tidak lama kemudian, bas yang ditunggu tiba. Melissa melangkah menaiki tangga bas dan mencari tempat duduk kosong. Empat puluh lima minit kemudian, bas sampai di Melaka Sentral. Dia duduk di bangku tempat menunggu bas.
Hati masih mengharap Fariz akan tiba atau sekurang-kurangnya dapat dihubungi. Lama Melissa berteleku di situ, langsung tidak menghiraukan hingar-bingar sekeliling. Tiba-tiba terasa ada air hangat mengalir di pipi. Bodohnya aku menunggu buah yang tak gugur! Bodohnya aku menunggu dengan penuh keyakinan bahawa dia akan tiba walaupun nyata hampa. Teringat 3 baris lagu dari drama Korea, You're Beautiful.
Tanpa keyakinan, aku menunggu cinta,
Tanpa keyakinan, aku derita kerana cinta,
Jiwaku meninggalkanku, akulah si bodoh...
Selepas menempuh perjalanan yang panjang, akhirnya sampai juga Melissa ke kampung halaman yang sangat dirinduinya. Suasana rumah pagi itu agak hening walaupun kesemua empat orang adiknya tidak bersekolah.
Pagi itu dapatlah Melissa merasa Nasi Goreng air tangan Mahani. Ayah pula selepas mengambil Melissa di simpang jalan tadi, terus turun ke ladang. Kebiasaannya ayah akan bersarapan pagi di kedai kopi ditemani rakan-rakannya. Di situ mereka akan berbual-bual pelbagai perkara.
Emak pula awal-awal pagi telah pergi membawa lembu-lembu kesayangannya ke padang ragut. Lembu-lembu itu nanti akan ditambat di situ sehingga petang. Emak juga akan datang menjenguk dan memberi lembu-lembu itu minuman pada waktu tengahari.
Selepas bersembang dengan adik-adiknya, mata Melissa mula rasa mengantuk. Melissa menarik kusyen besar di ruang tamu dan terus melelapkan mata. Dia terjaga saat telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada SMS masuk. Dalam keadaan mamai, Melissa mencapai telefon dan membuka untuk membaca SMS itu.
'Minta maaf tak dapat hantar awak semalam. Saya sampai Kota Tinggi lewat petang semalam. Saya balik kampung. Awak dah sampai kampung kan.'
Melissa mengetap bibir menahan geram. Kenapalah mamat ni tak bagitahu awal-awal nak balik kampung. Jika Melissa tahu tak adalah dimintanya hantar ke Melaka Sentral. Nak marah pun rasa macam dah tak guna.
'Tak apalah. Saya tak tahu pun awak nak balik kampung juga sebab awak tak beritahu pun. Kalau saya tahu saya takkan minta awak hantar. Anyway, thanks la sebab masih sudi hantar mesej beritahu. Tentu saya dah ganggu dan bazirkan masa awak!'
Butang send ditekan. Biarkan Fariz tahu sakit juga hati ini. Aku menangis dekat Melaka Sentral tu, ada dia tahu? Sebaknya menyintai orang yang macam tunggul kayu ni! Melissa membebel seorang diri.
'Ganggu tu tak de lah tapi sekarang ni saya baru balik dari ladang kelapa sawit. Tolong mak.'
Melissa membaca ayat yang ditaip Fariz. Bagusnya Fariz ni. Iya, dia memang bagus. Tapi lelaki itu tidak pernah kot memandangnya lebih dari seorang kawan. Sedih betul rasanya!
'OK. Saya nak rehat dulu. Lain kali kita SMS lagi.'
Butang send ditekan lagi untuk menamatkan sesi bermesej-mesej itu. Sebelum Fariz tamatkan dan Melissa sakit hati, biar dia pula yang tamatkan dulu," fikir Melissa ketawa sendiri.
Melissa menunggu hampir lima minit namun tiada balasan dan mengertilah bahawa Fariz sudah benar-benar menamatkan 'chatting' mereka. Tidak dapat dipastikan dia marah atau memang itu yang dimahukannya. Yelah, aku ni memang selalu jadi pengacau hidup dia! Melissa mengetap bibir geram!