TAHUN DUA, SEMESTER 2...
Kali ini, Melissa serumah dengan Azwa, dua orang rakan serumahnya dan tiga orang rakan sekuliahnya. Minggu pertama semester baru, Melissa cuba harungi dengan sisa-sisa kekuatan yang ada.
Entah kenapa, Melissa dilanda demam yang teruk. Lututnya juga terasa sangat sakit apabila terpaksa berjalan jauh untuk menghadiri kuliah ataupun ke kedai. Jika berjalan kaki lebih daripada 200 meter, pasti terasa lutut sangat ngilu dan seolah-olah mahu tercabut sahaja. Kadangkala terpaksa berjalan terhinjut-hinjut seperti orang yang terkehel kakinya.
Seringkali Melissa menangis sendirian. Melissa tiada kawan rapat untuk berkongsi masalah. Azwa kini lebih rapat dengan rakan-rakan yang lain. Keadaan tidak lagi sama seperti semester-semester yang lepas.
Tidak berdaya lagi menanggung kesakitan , Melissa mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Mungkin juga untuk mengurut lutut yang terasa ingin tercabut itu. Seluruh tubuh Melissa juga terasa sengal-sengal. Namun, yang paling penting ialah dia merindui keluarga di kampung.
"KURUS je mak tengok kamu ni Lisa. Kenapa, tak cukup makan ke?"
Emak bertanya sebaik sahaja Melissa duduk-duduk berehat setelah sampai ke kampung sejam yang lalu.
"Ni baru pertama kali mak cakap Lisa kurus. Sebelum ni mana ada kan."
Melissa bergurau sambil ketawa kecil.
"Sebelum ni sederhana je. Sekarang ni nampak susut. Tu yang mak tanya."
"Oo..bukan tak cukup makan, mak. Frust..frust menonggeng," gurau Melissa pada emak.
Emak tergelak sahaja kerana mungkin pada pandangannya Melissa betul-betul bergurau. Mak, anakmu ini memang tengah frust. Cinta pertama Lisa dah hancur, mak. Kata-kata itu terasa mahu sahaja diteriakkan, namun hanya senyum pahit yang tertera di wajah Melissa.
"Mak, Lisa balik ni selain nak jenguk mak dan ayah, Lisa nak mengurut, mak. Lutut Lisa ni sakit sangat. Rasa nak tertanggal. Seluruh badan pun rasa lenguh-lenguh," adu Melissa pada emak.
"Kalau macam tu, nanti mak suruh ayah kamu telefonkan Mak Munah Tok Bidan. Suruh dia datang sini. Bila kamu nak dia datang?"
"Esoklah mak. Esok tengahari. Mak, Lisa balik tak lama ni. Sebab cuti cuma Sabtu dan Ahad je tapi rasanya Lisa terpaksa minta cuti pada hari Isnin. Takut tak sempat sampai Melaka. Lisa ada 1 kelas je pada hari Isnin. Biasalah awal-awal semester ni pensyarah malas-malas je nak masuk mengajar. Kalau pensyarah malas, pelajar-pelajar apatah lagi. Malam Isnin baru Lisa naik bas balik Melaka."
MAK Munah Tok Bidan datang ke rumah keesokan harinya. Beliau merupakan bidan yang terkenal bukan sahaja di kampong itu, malahan juga kampung-kampung lain yang berdekatan. Beliau juga yang menyambut kelahiran Melissa dan adik-beradiknya.
Mak Munah memberitahu urat-urat di betis Melissa bengkak dan sudah berpintal-pintal menandakan Melissa terlalu banyak berdiri dan berjalan. Mahunya tak, semasa di Johor kerja nya memang berdiri sepanjang malam selama 12 jam. Kalau dapat duduk pun hanya kira-kira dua jam, iaitu sekejab-sekejab sementara menunggu pencetak tiba di stesen untuk diperiksa.
Namun, yang paling penting ialah rahsia yang Melissa tidak mahu emak tahu..bocor jua akhirnya. Semasa hari-hari terakhir di Johor, Melissa mengalami kemalangan yang agak ngeri. Bas yang dinaiki balik dari kerja telah terbabas dan melanggar pokok yang sederhana besar di pembahagi jalan. Melissa yang berada ditempat duduk paling hadapan tercampak ke pintu bas. Bahagian kanan dari bahu hingga lutut mengalami kesakitan dan bengkak seperti belon.
Selepas kejadian, Melissa tidak terus ke hospital walaupun dipaksa oleh rakan-rakan. Beberapa hari kemudian, apabila Melissa mula demam, barulah dia terpaksa menyusahkan Pak cik Adnan menghantarnya ke klinik.
Emak marah dengan kedegilan Melissa. Melissa cuma diam sambil tersengih. Rasa sakit pada fizikal ini tidaklah separah luka dalam hati ni mak. Luka yang dalam hati inilah penyebab kesakitan yang diluar tu. Kerana semangat untuk meneruskan kehidupan semakin pudar...