Rindu sangat pada gadis itu, sudah dua bulan dia menyepikan diri. Telefon bimbit yang dulunya tidak pernah sunyi dengan panggilan dan SMS nya, kini sepi. Siapa lagi yang rajin menghubunginya kalau bukan gadis cute itu. Susah nak cari peminat fanatik seperti gadis itu. Tapi aku juga yang melukakannya. Padanlah muka aku!
Bermula daripada 'cerita bertunang' itu, ternyata Fariz berjaya membuat Melissa menjauhkan diri. Bahkan terus sepi dan langsung tidak mahu bertegur sapa dengannya apabila terserempak di jalanan. Pelakon yang hebat kau ni Fariz! Tapi..kenyataannya..hati ini pun turut sakit dan pedih!
"Bukan kau saja yang terluka Lisa, aku pun terluka..." Jerit hati Fariz.
Ternyata begitu keras hati Melissa rupanya. Tidak mahu dilabel perampas. Hingga sanggup pula, mengelak diri daripada bertembung dengannya. Fariz pula..tentulah pelakon lelaki terhebat di kala ini kerana berjaya melakonkan watak begitu baik sekali. Apakah niat Fariz sebenarnya?
Pada asalnya, Fariz cuma mahu gadis itu tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi terhadap hubungan mereka. Dengan usia yang masih muda, Fariz mahu mereka berdua berjaya dalam pelajaran. Itu niat asal Fariz.
Namun, kedegilan Melissa itu yang mahu terus menunggu menyebabkan Fariz jadi serba salah. Bukan dia tak suka, malah dia menyayangi gadis manis itu. Namun untuk serius dalam suatu perhubungan, rasanya bukanlah masa yang sesuai. Tahukah Melissa bahawa Fariz adalah satu-satunya harapan keluarganya?
Komitmen!
Itu yang tidak mampu Fariz berikan kepada gadis itu. Fariz tidak mahu Melissa terus menunggu suatu yang tak mampu Fariz janjikan. Fariz memang tidak mahu berjanji apa-apa dengan Melissa selagi belum tamat belajar.
Sebenarnya, Fariz mahu mengajak Melissa untuk sama-sama meningkatkan usaha. Tapi entah mengapa hari tu, mulut Fariz begitu cabul mereka-reka cerita tentang 'tunang palsu'. Padahal hanya Melissa perempuan yang paling rapat dengannya semenjak berada di kampus ini. Tiada yang lain, hanya Melissa!
Sekarang..adakah dia puas hati kerana gadis itu benar-benar meninggalkannya? Setiap hari Fariz rindu pada wajah redup Melissa. Setiap malam Fariz masih berharap Melissa akan call atau SMS. Apakah perasaan sayang Melissa untuknya sudah lenyap? Langsung lenyap? Adakah Melissa benar-benar membencinya lantas tidak sudi lagi memandang wajahnya?
"Melissa, aku tidaklah sekejam itu. Aku masih mahu menatap wajahmu. Aku masih mahu mendengar suara kamu. Aku masih sayangkan kamu seperti dulu, malahan perasaan sayang itu makin tebal semenjak kehilangan dirimu."
"Mengapa kau tidak mahu mengerti perasaanku. Kamu kata akan sentiasa tunggu aku, tetapi baru sekali aku menguji kamu, kamu terus berlalu tanpa memikirkan kesahihan berita itu. Di mana setia yang selalu kamu ucapkan itu?"
"Tapi..aku yang bersalah sebenarnya. Aku tidak patut melakukan sedemikian kepadanya. Dia gadis yang baik dan sentiasa menyokongku. Mengapa tega aku membohonginya? Lisa..mesti perit luka yang kau alami disebabkan lelaki tak berguna ini. Lisa, maafkan aku.."