"SAYA nak jumpa awak. Dah lama kita berkawan dalam telefon sahaja. Tak adil untuk saya sebab awak je yang kenal saya, saya pulak tak kenal awak."
Bicara Fariz malam itu benar-benar menyesakkan dada Melissa. Bagaimana jika Fariz tidak berkenan dengan rupa parasnya lantas meninggalkannya untuk selamanya? Jika begitu, Melissa sanggup menjadi rakan telefonnya untuk selamanya. Melissa resah.
"Tapi, saya tak lawa. Saya takut awak lari nanti."
Akhirnya Melissa meluahkan apa yang terbuku di hati.
"Kenapa awak takut jumpa saya ni? Awak tak ada hidung, tak ada mata ke?"
"Memanglah ada. Tapi tak la mancung mana, mata pula kecik sikit. Macam mata awak. Ada kawan cakap saya macam minah Thai sikit."
Melissa sengaja buat lawak bagi menutup debaran di hati.
"Baguslah. Kita mata sama-sama sepet. So, apa masalahnya? Tolonglah, jangan terus seksa hidup saya macam ni. Setiap hari saya tertanya-tanya siapakah awak. Walaupun saya gembira dapat call dari awak, tapi kadangkala saya terseksa juga..."
"Maafkan saya awak kalau awak terseksa dengan saya. Silap saya sebab su.."
Opsss...mana boleh cakap dulu..nanti dia reject camana?
HARI yang dinanti-nantikan tiba jua. Hari itu, Melissa memakai baju kurung berwarna biru tua berbunga-bunga kuning dan bertudung kuning lemak ketam. Kelasnya sudah selesai untuk hari itu kerana hari Selasa sememangnya dia tiada kelas petang.
Pukul 1 petang, Melissa sudah tiba di Restoren Redzuan. Dia mencari sebuah meja kosong dan duduk di situ. Buku teks Web Development dan Mathematics for Computer Science diletakkan di atas meja.
Melissa menunggu dengan dada yang penuh dengan debaran. Nasib agak baik kerana restoren tersebut tidaklah sesak seperti selalu. Melissa memerhatikan sekeliling. Tiada seorang pun yang dia kenal. Baguslah, setidak-tidaknya dia selamat daripada usikan, terutama kawan-kawan sekelas.
Tiba-tiba orang yang ditunggu muncul dengan memakai T-Shirt berkolar, warna biru muda. Matanya melilau sekeliling. Melissa mengangkat tangan. Fariz menghampiri. Melissa senyum kepadanya. Dia membalas.
"Awak...kan.."
Fariz dengan suara separuh berbisik bertanya kerana tidak mahu di dengar orang-orang di dalam restoren itu.
"Ya..saya."
Melissa menjawab dengan tersipu-sipu.
Fariz mengambil tempat di kerusi sebelah Melissa. Meja yang mereka duduki adalah berbentuk empat segi dan hanya muat untuk 4 buah kerusi sahaja.
"Saya Fariz..awak dah kenal. Sekarang saya nak tahu nama awak."
Fariz masih nampak gelisah walaupun cuba berlagak macho.
"Nama saya Melissa. Awak ada kelas ke lepas ni?"
"Ada. Pukul 3. Awak?"
"Dah habis dah. Tadi padat."
"Jom makan. Saya breakfast roti je pagi tadi."
"OK."
Melissa bangun membontoti Fariz ke tempat lauk-pauk yang disediakan. Dia hanya mengambil nasi bersama tiga hirisan daging masak kicap dan sayur campur. Mereka bergerak ke kaunter pembayaran. Apabila Melissa menghulurkan duit untuk membayar makanannya, Fariz lebih pantas daripadanya menghulurkan duit kepada jurukira yang berada di kaunter. Melissa mengucapkan terima kasih.
Mereka berdua kembali duduk di tempat tadi. Fariz membaca doa makan dan Melissa mengaminkannya. Sambil menyuap makanan ke mulut, mereka berbual-bual. Melissa yang menyedari masa untuk 'bersama' Fariz tidak banyak, cepat-cepat menghabiskan makanan. Begitu juga Fariz. Selepas membasuh tangan di sinki yang disediakan, mereka kembali ke tempat duduk tadi dan bersedia untuk berbicara dengan lebih selesa.
"Saya rasa saya ingat awak. Yang paling saya ingat, dua kali. Pertama, dengan Azwa dan sekali lagi dengan Fairuzah. Camana diorang tu boleh jadi kawan awak ek?"
Fariz memulakan perbualan setelah berada dalam keadaan yang selesa untuk berbual.
"Awak ingat ek..hmm..mereka berdua memang kawan saya. Fairuzah, kawan sebilik, Azwa kawan sekelas dan orang pertama jadi kawan saya kat sini."
"Saya tengok OK je awak. Kenapa malu nak jumpa saya?"
Dia mengambil buku teks Mathematics for Computer Science yang berada di depan Melissa.
"Pinjam kejap ya."
Dia mencapai bekas pensel miliknya dan mengeluarkan sebatang pensel. Melissa tertanya-tanya apa yang ingin dilakukannya. Fariz membuka halaman buku teks itu dan mencari halaman yang kosong. Dengan menggunakan pensel, dia mencoretkan sesuatu.
Melissa cuba meninjau namun Fariz seolah-olah cuba menyorokkan dari pandangan Melissa. Fariz menghulurkan buku itu kepada Melissa semula. Melissa membelek halaman yang telah dicoret Fariz, teruja ingin mengetahui apa yang telah dicontengnya.
'NICE TO MEET U, LISA!
Di bawah ayat tersebut ada tertera tandatangan Fariz. Melissa tersipu malu. So sweet!!!"