Lagu 'Something Big' nyanyian Shawn Mendes berdering kuat memekik gegendang telinga. Penggera yang disetkan pada pukul 9:30 pagi itu tepat berbunyi pada waktunya. Ia berjaya mengejutkan Kai bangun untuk bersiap pergi ke kuliah.
Penggera yang masih berbunyi di telefon bimbitnya dimatikan. Kai menggosok mata sambil mengeliat perlahan sebelum bangun dari katil. Dia memandang katil sebelah. "Wah, awal landlord dah keluar harini."
Selimut yang berkedut itu dilipat kemas. Cadar katil ditegangkan hingga rapi. Bantal dan bantal peluk dikibas sebelum menyusunnya cantik pada kedudukan asal.
Mata Kai terpandang bahagian katil Kath. Bersepah! Kai nak tolong kemaskan katil Kath tapi dia risau kena maki pula nanti sebab menceroboh kawasan dia. Jadi Kai pura-pura tidak nampak katil yang bersepah itu.
Kai pergi ke luar beranda menghirup udara pagi sambil mengeliat kecil. Dia menggoyang-goyangkan pinggangnya dan membuat senaman badan ringkas. Terlihat beberapa pelajar dari blok kediaman depan sedang berjalan keluar untuk ke kuliah dengan memayungkan diri mereka. Ya, cuaca Malaysia memang panas! Payung itu adalah sangat diperlukan.
Tuala yang tergantung pada penyangkut baju biru di beranda itu dicapai. Barangan mandi di bawah katil diambil. Sepasang matanya sekali lagi mencuri pandang katil Kath.
"Haih..." rengus Kai.
Kai meletakkan semula tualanya di atas katil dan barangan mandinya di atas lantai. Kaki dan tangannya automatik membuat kerja pengemasan dan pembersihan pada katil Kath. Bagaimana dia mengemas katilnya, begitu jugalah kaedah yang sama dia gunakan untuk mengemas katil Kath. Kai cuma berharap 'landlord' itu tidak bising kerana dia telah menceroboh kawasannya. Kai hanya berniat baik. Dia bukanlah seorang yang perfectionist tetapi matanya cuma sakit apabila melihat keadaan yang bersepah atau tidak tersusun sebegitu.
*****
Geng 3A, yang terkenal dengan kenakalan mereka kerana suka mengusik orang yang lalu-lalang. Ajib, Aman, dan Ah Peng baru selesai kuliah pagi. Sebelum menunggu kuliah petang bermula, mereka akan datang melepak dulu dekat lobi kolej. Makanan untuk makan tengahari sudah mereka bungkus siap-siap dari kafe kolej. Senang cerita, mereka akan duduk di lobi itu mengacau orang sambil makan. Perkara itu sudah ibarat hobi buat mereka.
"Eh, eh, eh..." Ajib pura-pura longlai terjatuh di depan sekumpulan pelajar perempuan 'hot' yang lalu di lobi.
"Weh, kau okay tak?" Aman dan Ah Peng pura-pura panik dan cuba membantu Adi untuk bangun.
"Ouch! Badanku lemah dipanah cinta." Mereka bertiga mengekek gelak hingga suasana lobi bergema.
"Eeee... jijiklah!" kata salah seorang dari pelajar perempuan itu lalu mereka beredar dari situ.
Malangnya pada ketika itu, Kai pula yang lalu. Kai terlupa mengalihkan basikalnya di depan blok semalam. Dia membiarkan basikalnya itu terparkir di depan pejabat kolej. Nak atau tidak, dia terpaksa melalui lobi untuk ke parkir pejabat kolej dan mengambil basikalnya untuk ke kelas. Malang lagi nasibnya kerana bertembung pula dengan Geng 3A.
"Oh, oh, oh, stop! Stop!" Ajib menghalang laluan Kai.
"Kenapa?" tanya Ah Peng.
"Hati aku sakit," jawab Ajib sambil memegang dadanya.
"Kenapa?" tanya Ah Peng lagi.
"Ada perempuan lagi handsome daripada aku!" Ajib memukul dadanya bertubi-tubi.
"Wah! Kacau lah macam ni!" Aman pura-pura marah.
"Are you a Mr. or a Miss?" perli Ah Peng.
Kai mengenakan kemeja merah Cotton On corak kotak-kotak dan jeans high rise stove pip jenama Re/Done. Dia memakai kasut Adidas Falcon. Topi Ring Peaceminusone digantung pada beg galasnya. Lihat dari gaya pemakaiannya, mereka dapat menilai yang Kai adalah seorang yang mementingkan gaya dan fesyen.
YOU ARE READING
Mungkin Keliru
RomanceKatherine terkejut ketika dia mengetahui bahawa roommate barunya, Kyla (Kai), mempunyai karakter seperti tomboy. Semakin dia mengenali Kai, Dia merasakan Kai punyai daya atraktif tersendiri. Katherine mula tertanya-tanya apakah dia sudah menyulam pe...