Kepulangan Yang Dinanti

31 2 0
                                    

Akhirnya aku kembali bekerja setelah sekian lama menganggur. Kali ini pula sebagai security guard di sebuah lapangan terbang bandar utama. Kebetulan dalam bulan Ramadhan ini, pihak pengurusan di sana sangat memerlukan orang bagi menggantikan pekerja mereka yang berhenti kerja secara mengejut. Sebab apa tidak pula diketahui.

Aku diminta untuk melapor diri di pejabat pengurusan sana pada jam 6 petang bagi tujuan taklimat ringkas. Maklumlah shif aku bermula pada jam 7 malam. Mujur juga jarak perjalanan antara tempat kerja dan rumah sewa aku tidaklah begitu jauh, kira-kira 20 minit lebih kurang menaiki motosikal. Aku sengaja sampai awal di pejabat tersebut, kononnya untuk menunjukkan betapa komitednya aku dalam bekerja tapi rupanya ada yang lebih awal sampai daripada aku. Tak apalah, yang penting aku tiba sebelum masanya di tempat kejadian.

Teammate kerja aku pada malam ini dikatakan lebih senior dari sudut pengalaman bekerja di sini. Jadi, apa-apa berkaitan kerja dan juga perihal kawasan sekitar aku perlu rujuk mereka dahulu sebelum mengambil tindakan sewajarnya. Terdapat beberapa pos kawalan keselamatan di kawasan sebesar lapangan terbang ini. Kawasan pengawasan kami adalah di kawasan parkir kereta yang terletak agak ceruk daripada laluan orang ramai.

“Boy, kau pergilah clocking, aku malas mahu bangun. Dapat juga kau kenal-kenal orang sekeliling nanti.” Kata Abang Bad. Nadanya terdengar sinis menurut aku. Baru beberapa kali ajar aku clocking, sudah suruh aku pergi seorang diri. Aku cuba hadam maksud ‘kenal orang sekeliling’ yang disebut Abang Bad. Ternyata saat itu aku blur tak faham apa pun. Aku redha.

Mataku kerling ke arah jam dinding. 10 minit lagi menuju tepat ke jam 11 malam. Sekejap lagi boleh aku bersiap untuk laksanakan tugas aku. Aku perhatikan saja guard warganegara Indonesia sebelah Abang Bad lena terlentok di kerusi plastik. Baru dua hari bekerja, dia sudah dikira berpengalaman daripada aku? Betul-betul selesa dia di perantauan ini. Hartono nama diberi.

Aku melihat wajahku pada cermin bulat yang tergantung di tingkap sambil membetulkan topi pakaian seragam kerja aku. Lampu suluh segera dicapai dari dalam laci. Beberapa kali nafasku diambil dan dibuang, dengan harapan perasaan gemuruh aku juga turut sama terbuang. Mata terpejam kejap, sebelum nafas terakhir diambil dan dihembus keras.

“Bang Bad, aku gerak dulu ya. Pape aku roger nanti.” Aku sekadar memaklumkan kepadanya biarpun aku tahu dirinya dalam keadaan mamai ketika itu.

Aku melangkah keluar dari pos kawalan dengan hati-hati. Kiri kanan ku lihat dengan permandangan yang kosong. Sesekali terlihat juga beberapa orang sedang sibuk memunggah atau memasukkan bagasi dari kereta. Mungkin mereka baru sahaja tiba ataupun bersiap sedia untuk berlepas.

Aku menuju ke kawasan clocking pertama. Semuanya berjalan lancar sehinggalah ke kawasan clocking terakhir, sekitar kawasan parkir kereta paling hujung. Lampu di sana sepertinya tidak diselenggara dengan baik. Sekejap menyala sekejap padam. Berulang kali. Entah kenapa aku tertarik pada satu-satunya kereta yang ada di kawasan itu. Terdetik juga di hati siapa pula berani memarkir kereta semewah itu di kawasan sebegini. Acap kali juga aku membuang pandangan ke situ. Seakan ada aura yang kuat menarik anak mataku agar tetap melihat ke sana. Timbul pula perasaan seram, bulu roma di tengkuk mulai menegak. Aku dengan pantas menyelesaikan tugas terakhir dan ingin segera kembali ke pos kawalan.

Baru saja kaki ini mahu melangkah pergi, aku terdengar deruman enjin kereta dari arah belakang. Aku menoleh ke belakang. Ternyata ianya datang dari kereta BMW hitam tadi. Lampu depan kereta tersebut dibuka menyilaukan mata. Kereta itu mulai bergerak perlahan ke depan. Deruman enjin itu terdengar garang sekali seolah-olah sedang mengancam untuk menabrak aku.

Aku mulai berjalan mengundur perlahan sebelum mengambil keputusan langkah seribu. Serentak dengan itu, deruman enjin kereta kedengaran mendekat. Larianku bertambah pantas, arahnya kurang pasti. Sekitar kawasan parking itu kelihatan sama sahaja, tidak pasti mana yang tepat halanya.

Sesekali aku tertoleh ke belakang dalam larianku. Kereta itu masih bergerak mengikut arahku. Namun sedikit hairan, kerana ianya seolah mengajuk larianku. Jika aku laju maka ia akan turut laju. Jika aku perlahan, maka ia juga turut perlahan. Sehinggalah di satu simpang, aku terjatuh dan kereta itu membelok ke arah kanan, langsung menghilang. Sesegera yang mungkin aku bangkit dan mencari arah pos kawalan aku.

“Hai Boy, baru balik marathon ke?” Soal Abang Bad melihat aku tercungap-cungap di luar pos kawalan. Lencun habis baju seragam aku dibasahi dengan peluh. Aku duduk tersandar di dinding bahagian luar pos kawalan itu.

“Kau dah jumpa ‘dorang’ ek?” Abang Bad bertanya dengan nada mengejek. Dia tersengih sambil menepuk-nepuk belakang tubuhku. Dia menghulurkan sebatang rokok padaku. Aku menolaknya dengan gelengan kepala. Botol air pula dihulur dan aku sambut. Mujur juga shif aku waktu malam, dapat juga meneguk air jika dikejar begini dalam bulan puasa.

“..atau kau kena kejar kereta hitam tadi?”

Aku memandang Abang Bad, menelan baki air yang ada dalam mulut. Aku mengangguk laju.

============================

Hari ini hampir sebulan juga aku bertugas di sini. Pelbagai peristiwa aneh yang menimpa aku sepanjang bertugas sebagai security guard di sini.

Kena tindih ‘sesuatu’ ketika tidur semasa bersendirian di pos kawalan, terdengar suara anak-anak kecil bermain-main di sekitar kawasan, bertemu wanita tak berwajah muncul di pintu lif dan banyak hal yang lain lagi terjadi. Tak dapat aku kongsikan di sini.

Tapi yang pasti, pengalaman dikejar kereta BMW hitam adalah suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Bukan kerana ianya seram tetapi kerana terdapat kisah di sebalik apa yang terjadi kepada kereta tersebut.

Kereta BMW hitam itu dikatakan milik salah seorang penumpang pesawat hilang yang dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur dan mendarat di Beijing pada 8 Mac 2014 yang lalu. Pemilik berkenaan dipercayai telah memarkir keretanya di kawasan parkir itu untuk ke luar negara.

Sekiranya tragedi tersebut tidak berlaku, pemilik tersebut pasti akan kembali memandu keretanya pulang untuk bertemu yang tersayang.

Namun begitu, pengakhirannya bukanlah seperti mana yang diimpikan oleh semua terutamanya keluarga mangsa nahas tersebut.  Pesawat tersebut telah hilang secara misteri lebih dari enam tahun. Kesemua penumpang bersama kru yang berada dalam pesawat tersebut sehingga hari ini tidak dapat dikesan.

Keluarga si mangsa didakwa sengaja tidak mengalihkan kereta berkenaan kerana mereka masih menaruh harapan bahawa insan yang mereka sayangi itu akan muncul kembali. Mereka turut membayangkan suatu hari nanti si mangsa akan memandu pulang dan muncul tepat di muka pintu. Tersenyum dan mendakap cium sesama mereka seolah menyambut kepulangannya sekian lama terhenti di sebuah transit yang tidak diketahui.

Ini benar-benar sebuah kepulangan yang dinanti.

==========================

Kisah ini sekadar terinspirasi dari sebuah kisah kehilangan insan yang tersayang bersempena Syawal yang kunjung tiba kali ini.

Al-Fatihah (dibaca) buat kesemua penumpang beserta kru penerbangan Malaysia Airlines MH370. Al-Fatihah (dibaca) juga buat insan yang tersayang yang mendahului kita dalam perjalanan menuju Ilahi.

TAMAT

31 Mei 2020 | 0317h | Teratak Sentosa

N.O.O.B - Nukilan Otak Orang BaruWhere stories live. Discover now