Homestay Seri Delima

18 1 0
                                    


Nama aku Liza. Aku merupakan seorang wanita yang punyai kerjaya dalam bidang fesyen. Namun begitu, aku tetaplah seorang wanita biasa sepertimana wanita kebanyakan di luar sana.

Aku mempunyai sebuah butik pakaian ternama yang terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur. Butik aku sering menerima tempahan dari pelbagai latar belakang pelanggan. Tidak kira sederhana atau kaya, tua atau muda, artis atau rakyat biasa semuanya tidak terkecuali. Tambahan pula, tiba saat-saat begini dalam bulan Ramadhan. Maka berpusu-pusulah pelanggan datang menempah pakaian khusus untuk hari raya kelak.

Walaubagaimanapun, untuk tahun ini aku menyerahkan segala tugas tempahan ini kepada rakan kongsi aku, Zura untuk diselesaikan. Sudah aku jelaskan kondisi semasa soal diri dan keluargaku. Mujur saja dia memahaminya dan berlapang dada untuk menggalasnya.

Dan aku pula punyai misi tersendiri yang perlu diselesaikan segera.

=====================

Homestay ini aku perhatikan suram keadaan luarnya. Mungkin juga kerana terdapat hanya satu sahaja lampu jalan yang berfungsi. Kiri dan kanan homestay itu ku lihat dipenuhi semak samun dan juga beberapa jenis pokok herba yang ditanam. Berhadapan homestay itu pula adalah hutan di mana tidak pula ku ketahui setebal mana dan apa isinya. Jiran sebelah rumah kiri dan kanan pula jauh sedikit jaraknya menambahkan lagi kesuraman yang ada.

Terasa sunyi pula setelah abang Grab tadi beransur pulang. Berkali-kali juga aku cuba menghubungi pemilik homestay memaklumkan keberadaan aku di situ. Namun jawapan yang diterima adalah tetap sama iaitu ‘OTW’. Kad perhubungan abang Grab tadi aku perhatikan. ‘Arman Hadi’ namanya. Sedap juga. Aku tersengih sendiri.

Dalam penantian, sengaja aku membuka permainan aplikasi yang ada sekadar mengisi suasana suram yang ada. Sedang dalam leka, mataku seakan terpandang satu bayang kecil seolah sedang mengintai aku di tepi dinding rumah berhampiran semak samun. Sekali lagi aku cuba teliti kawasan tersebut, bayangan itu hilang.

Mujur juga tidak lama kemudian pemilik homestay itu tiba di situ. Berulang kali dia memohon maaf atas kelewatannya. Serba salah pula aku rasa bila dia berkelakuan sedemikian.

Syukur akhirnya aku berjaya memasuki homestay tersebut dan bermalam dengan aman.

=====================

Homestay Seri Delima. Demikianlah nama homestay yang diduduki ketika ini. Ianya merupakan sebuah rumah teres satu tingkat yang dibina atas tanah kepunyaan pemilik homestay. Segala kemudahan serta kelengkapan cukup memuaskan hati seorang pelanggan.

Namun begitu, baru ku sedar bahawa terdapat sebuah bilik stor yang dibina asing daripada rumah ini. Tambahan pula, ianya sedikit tersorok ke belakang sebalik semak itu. Sedikit sebanyak mengundang rasa tidak enak setiap kali aku ke dapur. Terasa seakan-akan terdapat satu suara yang memanggil-manggil namaku untuk ke sana. Cepat-cepat aku selesaikan urusan di dapur dan terus ke ruang tamu biarpun ianya berlaku di siang hari. Meremang !

Kadangkala juga aku sering tercium bau hapak seolah rumah ini membela kucing. Namun tiada pula  kelihatan walau seekor kucing berada sekitar dalam mahupun luar rumah. Aku sering semburkan minyak wangian aku sekelilingku bagi menghindari bau-bauan yang kurang menyenangkan.

Hari pertama aku di rumah ini, ‘mereka’ sudahpun menunjukkan tanda-tanda bahawa ‘mereka’ itu tetap wujud meskipun bulan Ramadhan. Namun aku mengabaikan perasaan kurang senang itu dengan melakukan aktiviti-aktiviti lain khususnya untuk melunaskan misi aku ke kampung ini.

Sedang asyik aku melayan media sosial di sofa, aku terdengar kucing mengiau. Ianya terdengar dekat. Bingkas aku bangun dari baringku, perhatikan sekitar ruang tamu sekiranya kucing itu benar ada. Terbongkok-bongkok aku meninjau di bawah sofa dan juga meja.

N.O.O.B - Nukilan Otak Orang BaruWhere stories live. Discover now