Adiwira

6 0 0
                                    

| LATAR MASA SEKITAR TAHUN 90-AN |

Aku berlari-lari gembira menuruni bukit yang curam itu. Setiap inci bukit itu sudah kuhafal bentuknya. Kakiku yang kecil ini membawaku ke tempat-tempat yang selamat, menghindari lopak-lopak serta duri-duri pohon semalu. Aku terus melompat-lompat, menggayakan beberapa aksi dari adiwira yang pernah ku tonton suatu ketika dahulu. Mulutku tidak habis-habis muncung, menyebut beberapa 'trademark' daripada adiwira tersebut. Sesekali berlagak kuat, tidak ada salahnya kan?

"Engkau nak ke mana?" Tiba-tiba aku terhenti. Aksiku yang gah tadi terhenti. Tercari-cari pemilik suara yang menegur tadi.

"Cis, budak ni pula." Aku mendesis, perlahan.

"Kau nak apa, Petak?" soal aku. Kenapa namanya Petak? Usahlah ditanya.

"Aku nak ikut!"

"Ah! Tak boleh! Menyibuk je.."

Aku teruskan langkah, bergerak ke depan tanpa mempedulikan Petak. Muncung mulutku dipasang semula dengan bunyi-bunyian dari babak filem adiwira.

"Aku peduli apa! Aku tak ada kawan."

Aku membeliakkan mata dengan geram. Tangan mula mencekak pinggang.

"Eh, aku tak nak kau ikut. Tak faham bahasa? Pergilah main dengan orang lain." Aku masih lagi bercekak pinggang, ala-ala seorang diva pula.

Aku mencabut selipar nipisku dari kaki lalu dihentak-hentakkan ke atas batu, membuang debu tanah yang melekat.

"Eeee.. busssuk! Selipar kena tahi ayam. Kena tahi!"

Petak yang dari tadi terkebil-kebil, memerhatikanku menjerit keseronokan membalas dendam. Dia mula berlari, seolah bau busuk tahi itu mengejarnya dari belakang. Hidungnya dikepit, mengejek aku.

"Bongok punya Petak. Muka dia yang macam tahi!"

Selipar nipisku kini beralih tempat bersuci pula, dari atas batu ke atas rumput. Dikesatnya berkali-kali sehingga yakin tahi itu hilang dari tapak selipar itu. Berulang kali ku melihat, memastikan ianya benar-benar hilang, sebelum aku hampir termuntah tatkala cuba menghidunya sendiri di hidung.

Aku meneruskan langkah, meluncur laju turun ke kaki bukit. Aku harus lekas sebelum matahari tunduk bersembunyi di sebalik bukit sana. Aku tak mahu kakiku luka akibat tersadung batu dalam gelap.

"Wak, minta coklat Adiwira satu." Aku dengan bangganya mengeluarkan dua syiling besar, dengan tanda lima puluh sen setiap satu dari kocek seluarku. Akulah gadis paling bertuah hari ini, punyai coklat termahal dalam kampung ini.

Wak Karto menghulurkan coklat dengan senyuman.

"Wah, banyak duit Wani hari ni ya? Jualan kuih hari ini laku? Habis?"

Soalan ramah Wak Karto itu, aku tinggalkan tanpa jawapan. Coklat di atas meja itu dicapai lalu aku keluar dari kedai runcit itu.

"Kongsi dengan adik-kakak tau! Jangan makan sorang!" Jerit Wak Karto. Aku peduli apa?

Aku mahu menikmati coklat itu seorang diri di celah dahan pokok mangga sambil merenung koleksi gambar adiwira-adiwira yang dikumpulkan selama ini. Di sini lah aku selalu duduk berjam-jam sambil menghayunkan kaki, berangan menjadi seorang adiwira. Aku memejamkan mata, menggigit setiap inci coklat itu sedikit demi sedikit perlahan-lahan. Nikmat. Ini tidak boleh dikongsikan sama siapa pun. Petak tak boleh tahu, apatah lagi adik-beradikku yang lain.

"Cis! Bunyi apa di bawah ni?" Nikmatku sedikit terganggu dek suara bisik-bisik di bawah sana. Semakin kuat bisikan itu, semakin kuat gegar pokok mangga yang ku duduki sekarang.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 21, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

N.O.O.B - Nukilan Otak Orang BaruWhere stories live. Discover now