Senja mula melabuhkan tirainya. Kelihatan ramai anak-anak muda berlonggok di sepanjang jalan dan ceruk bangunan. Lampu-lampu kian galak mencalakkan cahayanya. Kenderaan sibuk membanjiri jalan raya yang telah dipesongkan. Kehidupan baru bermula.
Laksamana Kudin tampak gelisah. Sebentar lagi maghrib menjelma. Tiada langsung tanda-tanda orang ramai akan mematuhinya. Sepanjang jalan orang ramai kian sesak. Mereka berbondong-bondong bergerak, berhimpit seperti semut-semut yang berantakan. Entah dari mana dan ke mana arahnya.
Laksamana Kudin semakin hairan. Selalunya jikalau waktu begini, ayam-ayam pasti masuk ke reban. Bimbang akan menjadi santapan malam sang biawak ataupun sang ular yang kelaparan. Budak-budak pula disuruh segera pulang dari bermain. Jika masih berdegil kala senja begini, ibu-ibu akan momokkan dengan kisah disorok dek hantu. Budak-budak memang cuak apabila mendengar perkataan ‘hantu’. Lantas saja terus mematuhi perintah dan larangan orang tua.
Sungguhpun Laksamana Kaduk dibesarkan di kawasan kampung, dia cukup peka dan halus dalam hal sebegini. Budaya hidup orang Melayu sememangnya sudah sebati dalam jiwanya. Tetapi kini?
“Syaitan apakah yang sudah meresap dalam jiwa orang kita?” bisik Laksamana Kudin, antara dengar tak dengar.
“Tidak sedarkah tanggunjawab mereka sebagai seorang Muslim?” rungutnya. Terkandung nada kecewa dalam tuturnya.
“Unggas liar pun pandai pulang ke sarang sebelum senja. Mengapa pula manusia yang berakal tidak dapat membezakan siang dan malam? Bukankah malam dijadikan khusus untuk berehat dan tidur? Lupakan mereka akan pesan Baginda S.A.W?” Terus saja Laksamana Kudin merungut panjang.
“Maafkan aku, wahai saudara. Kepada siapakah kau ajukan soalan-soalan itu?” Laksamana Aman hampiri saudaranya perlahan. Terdetik juga perasaan hairan dalam hatinya melihat sahabat seperguruannya itu berhujah sendiri. Meskipun Laksamana Aman sentiasa bersamanya semenjak tadi, Laksamana Kudin langsung tidak mempedulikan dirinya.
Laksamana Kudin tersentak. Dirinya baru tersedar akan kewujudan sahabatnya, Laksamana Aman. Terguris sedikit kekesalan dalam hatinya. Sepatutnya sebagai seorang teman dan sahabat rapatnya dalam memahami kesebalan hatinya itu. Pertanyaan Laksamana Aman tadi jelas menunjukkan bahawa dia tidak memahami isi hatinya yang kecewa, hancur remuk. Tidakkah Laksamana Aman nampak segala kemungkaran di sekitar ini?
“Aman, lihatlah engkau akan negeri ini? Adakah ini lambang kemakmuran dan kemajuan yang kita impikan selama ini? Laksamana Kudin membalas soalan tadi dengan soalan kepada Laksamana Aman.
“Menurut aku, kota ini terlalu makmur dan maju. Lihatlah bangunan-bangunan pencakar langit di sana sini. Sungguh mengagumkan. Lampu-lampunya bersinar seperti kunang-kunang pelbagai warna. Hilangnya mentari bukanlah noktah untuk berhibur dan bekerja. Lihat, rakyat sedang bergembira. Itu menandakan kepuasan di hati mereka. Itu juga membawa erti bahawa kemajuan negeri memberi kebahagiaan dan kemakmuran. Aku berasa teruja.” Laksamana Aman menjawab penuh ikhlas tanpa selindung. Jelas sekali, sahabatnya itu tidak dapat merasakan mendung kelabu di hati Laksamana Kudin.
Sememangnya Laksamana Aman amat berbangga melihat negeri yang dahulunya hanya terdiri kampung-kampung nelayan telah berubah sedemikian maju. Terkenang pula saat dirinya berhijrah bersama orang-orangnya pada zaman dahulu kala. Angkatannya sebanyak 35 buah perahu selamat mendarat di Melaka dan pulau-pulau sekitarnya untuk mengawal daerah-daerah. Ketika itu, Melaka didiami oleh Orang-orang laut. Mereka tinggal di dalam perahu beralaskan tikar di sepanjang selat.
“Dahulu ketika aku tiba di Melaka, aku bersama orang-orangku telah mendirikan perkampungan di tepi Sungai Melaka itu, tidak berapa jauh dari kuala sungai. Sekarang tempat itu bertambah jauh lebih baik.” Laksamana Aman memandang jauh ke arah sebuah kawasan yang begitu meriah rancaknya. Alunan irama rancak dan lampu berwarna-warni menghiasi kawasan itu. Anak-anak muda berkeliaran dan bercakap-cakap dengan kuat. Tiada beza lelaki mahupun perempuan. Sesekali borak mereka itu diselangi dengan tawa yang keras.
YOU ARE READING
N.O.O.B - Nukilan Otak Orang Baru
Short StoryAku bukanlah sesiapa dalam dunia penulisan ini. Hanya seorang pendatang baru yang sekadar untuk berkongsi cerita dan rasa. Setelah sekian lama memendam cita-cita untuk menulis akhirnya diberikan ruang serta peluang untuk ini. Sebenarnya kebanyakan c...