ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!“Cik, jemput berbuka puasa sekali.” Aku menghulurkan plastik kecil berisi kurma bersama secawan air mineral yang telah aku sediakan sejak awal pemanduan lagi. Sengaja aku sediakan lebih untuk juadah ringan berbuka puasa itu bagi tujuan sedekah amal jariah dalam bulan Ramadhan ini.
“Ah, terima kasih.” Ringkas respon wanita muda itu. Semenjak dari awal lagi, aku perhatikan dia mengambil sikap berdiam diri daripada berbual. Pemanduan jarak jauh ini bukanlah suatu hal yang mudah bagi seorang pemandu Grab seperti aku. Tambahan pula, dalam bulan puasa begini menuntut seorang teman bicara bagi menghilangkan rasa kantuk yang sekian lama ditahan ini. Mengunyah di siang hari sudah tentu tidak boleh.
Sesekali aku mengerling ke arah cermin pandang belakang melihat satu-satunya penumpang aku ketika itu. Seringkali juga aku kedapatan oleh dirinya akibat mengintai ke belakang. Kerana itu juga mungkin dia berkaca mata hitam bagi mengelakkan aku cuba membaca air muka dia.
“Cik, maaf bertanya. Lubuk China kawasan belah mana ya? Maksud saya, kampung mana?” Aku cuba membuka bicara dengan soalan, memandangkan kami baru sahaja melepasi Tol Pedas/ Linggi menuju ke destinasi akhir. Aku memberi lampu isyarat ke kiri, memarkir kereta di kawasan rehat sementara.
“Maaf Cik, saya berhenti untuk solat jika tidak keberatan. Jadi, kampung mana ya?” Aku ulangi soalan sedari tadi tiada respon dek kerana dia mengelamun jauh.
“Haa, Kampung Batu. Hmm, kenapa kita berhenti ya?” Kali ini bicara lebih sedikit. Mungkin kerana persekitaran kawasan rehat sementara itu kelihatan suram tanpa pengunjung. Jadi, dirinya tertanya-tanya.
“Saya ingin solat sebentar. Jika cik ingin turun solat sekali, saya nak matikan enjin serta kunci kereta ini. Tapi jika cik memilih untuk berada dalam kereta, tidak mengapa enjin dan aircond saya biarkan terbuka. Hanya sekitar 10-15 minit sahaja.” Aku berkata, mendapatkan respon dari dirinya selaku pelanggan.
“Baiklah, saya tunggu di sini.” Ujar wanita itu setelah berdiam beberapa ketika.
Aku tersenyum seraya menganggukkan kepala. Pintu bahagian pemandu ditutup. Deras langkahku diaturkan ke surau yang disediakan.
=======================
Pemanduan kali ini lebih lancar bagiku kerana Kampung Batu itu sebenarnya kampung halaman aku. Cuma aku sudah sekian lama tidak berkunjung kembali ke sana kerana kedua-dua ibubapa ku sudah tiada. Yang tinggal hanyalah sebuah rumah pusaka peninggalan arwah ayahku.
“Cik memang orang asal Kampung Batu ke?” soal aku membuka bicara baharu. Mataku dikerling ke arah cermin pandang belakang, menantikan responnya.
“Haa, bukan. Saya ke sana sekadar mencari adik saya. Kenal kah?” Kata wanita itu sambil menghulurkan kepadaku sekeping foto wanita iras seperti wajahnya namun kelihatan lebih keanak-anakan. Aku melihatnya sepintas lalu. Menggelengkan kepala.
“Maaf, saya memang penduduk asal kampung tu. Tapi saya sudah hampir 5 tahun tak ke sana. Adik-beradik kami banyak berkumpul di sekitar Kuala Lumpur sahaja.” Aku berkata jujur akan kenyataanku. Aku sendiri pun tidak pasti adakah Kampung Batu itu masih seperti dahulu ataupun nilai kekampungan itu sudah ditelan dek kemajuan pada hari ini.
“Oh, tidak apa. Maaflah saya berdiam semenjak tadi. Banyak hal yang mengganggu fikiran.” Kata wanita itu kesal. Aku tahu pasti ada yang mengganggu fikirannya, kerana itu banyak berdiam diri dan mengelamun.
“Adik cik tu berhijrah ikut suami ke?” soal aku mencari tahu. Atau sebenarnya lebih tepat sengaja memanjangkan kisah untuk ubat rasa kantuk aku.
“Adik saya belum berkahwin. Saya rasa dia diculik. Cuma saya kurang pasti di mana dan bagaimana. Sudah hampir sebulan tanpa khabar berita. Rakan-rakannya semua tidak tahu keberadaan terkini. Kali terakhir saya dapat tahu dia ke kampung itu, Kampung Batu. Tidak pula pasti tujuannya ke sana.” Jawabnya panjang kali ini. Terkandung sebak dalam bicaranya. Timbul pula rasa kasihan dalam diriku.
YOU ARE READING
N.O.O.B - Nukilan Otak Orang Baru
Short StoryAku bukanlah sesiapa dalam dunia penulisan ini. Hanya seorang pendatang baru yang sekadar untuk berkongsi cerita dan rasa. Setelah sekian lama memendam cita-cita untuk menulis akhirnya diberikan ruang serta peluang untuk ini. Sebenarnya kebanyakan c...