Cerita Satu Malam

12 0 0
                                    

"Weyh, berhenti jap !”


Aku menekan pedal brek mengejut. Serentak dengan itu, kedengaran bunyi hon motor berkali-kali ditekan dari arah belakang. Aku sekadar mengangkat tangan, tersengih mohon maaf pada abang motor yang lalu sebelah van kami. Wajahnya tampak marah sekali, di samping terdengar caci maki yang dihambur khas buat kami.


Aku berpaling pada Jijan di kerusi sebelah penumpang. Dia pula berpaling ke arah belakang van, seolah tiada apa yang berlaku sebentar tadi. Aku ikut berpaling ke belakang. Seorang lelaki sedang berjalan seorang diri dari kejauhan, semakin menghampiri kami.


“Apa pasal kau suruh berhenti, Jijan? Mengamuk brader tadi.” Suara aku sedikit tinggi, tapi cukup untuk kami berdua saja dengar. Jijan masih lagi melihat arah yang sama.


“Weyh, kau dengar tak apa aku cakap ni?” Tangan aku pegang bahu Jijan, menggerakkannya sedikit. Bimbang juga jika tersampuk dek setan waktu begini. Tiba-tiba terdiam, cakap apa tak respon. Syaitan memang suka budak busuk macam Jijan ni. Mandi pun guna kapur barus. Haihla..


“Shh, diamlah kau Ajiq. Bisinglah. Aku ada idea untuk projek kita malam ni.” Jijan tiba-tiba bersuara parau tapi perlahan. Jarinya diletakkan pada bibirku. Entah idea apa dimaksudkan Jijan malam ni.


“Idea apa kau ni? Jari kau ni ketepi lah !” Aku menepis tangannya. Geli ! Bukan sebab terasa betapa romantiknya kami, cuma terkenangkan entah apa benda kali terakhir dia usik tadi.


Gulp!


====================


“Ok guys, welcome to my channel !” Suara Jijan tiba-tiba berubah ceria tatkala live streaming T.E.A.M Channel bermula. Malam ini kami bercadang untuk buat review jalan kampung sekitar sini sambil berkongsi beberapa cerita seram buat peminat T.E.A.M Youtube Channel.


Lelaki yang dilihat berjalan kaki tadi telah kami tumpangkan dengan syarat. Dia perlu menjadi tetamu undangan bagi projek youtube channel kami malam ini. Jadi aku biarkan saja Jijan celoteh seorang diri depan kamera memperkenalkan kami seorang demi seorang.


“Bro, nak tanya. Ini van mayat kan?” Pertanyaan lelaki tadi, separuh berbisik itu aku jawab dengan anggukan. Telinga aku saja didekat ke arah belakang agar lebih jelas.


“Aku terbau mayat dalam van ni. Ada bawa jenazah sesiapa kah?” Kali ini aku berpaling ke depan, menahan gelak. Aku menunjuk-nunjuk ke arah Jijan. Kening lelaki itu bercantum, kehairanan melihat telatah aku. Dia cuba mendekatkan hidungnya ke arah Jijan sebelah depan. Kembang kempis hidungnya seraya mengangguk kepala tanda faham maksud aku. Jijan pula terpinga-pinga melihat gelagat aku dengan lelaki itu. Tapi nak dikisahkan apa?


“Ok guys, kisah seram kita malam ini akan dimulai dengan kisah daripada Bro Ajiq kita. Ready, Jiq?” Kata-kata Jijan ni membuatkan aku terpinga-pinga. Nak diceritakan apa doh pada orang? Mahu saja aku cepuk dahi si Jijan ni. Suka hati kau ubah rancangan program malam ni.


“Bukankah malam ni kita bacakan je kisah seram dari internet?” Aku bertanya, mengingatkan semula Jijan akan rancangan asal kami.


“Oh, tak seronok kalau begitu. Sebab kisah seram dari internet kebanyakannya orang sudah tahu. Jadi malam ini kita share kisah masing-masing, ok?” Jijan mengangkat ‘thumbs up’ sambil tersengih pada Arman. Ya, lelaki tadi nama Arman Hadi. Kenal kah?


Aku melihat jumlah viewer kian meningkat pula. Serba salah jadinya bila ramai pula menyokong idea si Jijan di media sosial saat itu. Ergh !


“Tak mengapa, biar saya mulakan dulu, boleh?” Kata-kata Arman itu telah menyelamatkan hidup aku. Mujur saja dia tawarkan diri untuk mula dahulu. Langsung aku hulurkan mikrofon kecil kepadanya agar apa yang ingin dikongsikannya jelas untuk didengari semua peminat channel kami.


Jijan sekadar jeling melihat tindakan pantas aku melarikan diri ketika itu. “Ok guys, kita dengar dahulu cerita dari Bro Arman, ok? Kemudian dari saya sendiri dan akhir sekali, Bro Ajiq. Harap dia ada kisah yang boleh dikongsikan bersama kita.”


Selesai saja Jijan berkata, dia mengenyitkan matanya kepada kami. Kami faham maksudnya itu. Arman sudah bersedia dengan ceritanya dan aku pula bersedia dari segi teknikalnya. Van kami diparkirkan di tepi jambatan kampung itu. Risau juga memandu sambil menguruskan hal teknikal begini dalam masa yang sama.


“Kisahnya terjadi suatu ketika saya berada di salah sebuah kem PLKN yang terletak di sebuah negeri dibawah bayu. Korang faham bagaimana kehidupan di kem PLKN kan? Dengarkan….


======================


CERITA 1 : GANGGUAN DI PLKN


AKU sebagai ARMAN HADI


Seperti kebiasaan, malam ini aku bersama dua orang rakanku dari blok yang sama baru sahaja selesai dari tugasan sentri pada jam tiga pagi. Sebaik saja aku baring di katil, tiba-tiba rakanku, Hazim meminta aku temankannya ke tandas waktu itu. Entah bagaimana pula perutnya boleh memulas untuk buang air besar. Aku tanpa berfikir panjang terus bersetuju dan mengajak lagi seorang rakan untuk bersama. Kebetulan dia juga baru tamat sentri bersama aku sebentar tadi.


Boleh bayangkan tak bagaimana bentuknya tandas di kem PLKN? Ya, benar seperti yang digambarkan. Terdapat empat buah pintu masuk bilik airnya di bahagian depan dan belakang, juga terdapat satu ruang terbuka di mana terletaknya beberapa pancur air (shower) dan tandasnya pula di sebelah kiri berderet berhampiran pintu masuk bahagian depan. Sekurang-kurangnya ada 6 hingga 8 buah tandas di situ.


Sebentar tadi aku terlihat Hazim ini memasuki tandas di bahagian tengah. Sementara itu, aku bersama Zul pula berdiri tersandar pada dinding bilik air itu. Entah bagaimana si Zul ini boleh pula seludup rokok ke dalam kem ini. Dihulurkan kepada aku, namun aku menolaknya dengan isyarat tangan. Aku biarkan saja dia melayan asapnya yang berkepul-kepul itu. Sesekali terlihat dia cuba membuat ‘O’ tapi yang jelas ketara bibirnya saja makin hitam. Erk!


Sepuluh minit berlalu namun Hazim masih lagi belum kelihatan. Aku pula makin resah kerana bimbang ditangkap oleh jurulatih (JL) kami atas kesalahan melepak dan juga merokok. Aku berjalan ke arah deretan tandas.


“Hazim, dah belum? Lama lagi ke tu?” Aku bertanya sambil mengetuk pintu tandas beberapa kali sebelum terdengar bunyi pancuran air sana sini di dalamnya. Aku menduga dirinya sudahpun selesai. Tinggal saja cebok sebelum keluar.


Aku kembali kepada Zul yang masih lagi menyedut saki baki rokok yang tinggal. Kepala dan keningnya terangkat beberapa kali, isyarat bertanya, “Sudah selesai kah?”. Aku membalasnya dengan gelengan kepala sebelum tersandar berpeluk tubuh di dinding. Sempat juga aku menjeling, beri amaran kepada Zul agar bukti rokok itu perlu dihapuskan jika tak mahu kantoi. Dia mengangkat ‘thumbs up’ sebagai tanda ‘setel’. Dalam hati aku, kental juga jiwa sabahan kau ya.


Lima minit berlalu lagi. Kelibat Hazim tetap tidak kelihatan. Tiba-tiba aku mula merasakan aura sekitar berbeza. Sunyi pula menyapa telingaku. Zul pula sudah duduk mencangkung, tersandar pada dinding. Kepalanya dibenamkan ke bawah, tertidur mungkin.


Aku pula perlahan-lahan menuju ke tandas tadi. Mengetuk pintu tandasnya berulang kali seiring dengan memanggil namanya. Aku menolak perlahan pintunya. Nah, tidak berkunci rupanya. Aku terus memanggil nama Hazim sambil menolak pintunya perlahan. Kepalaku cuba menjengah ke dalam. Risau pula menyelubungi suasana. Takut-takut Hazim pengsan ataupun kemalangan di dalam tandas.


“Hazim?” Automatik mataku membuntang. Kosong ! Hanya air dari paip saja mengalir tanpa ditutup.


Tanpa berlengah lagi, aku meluru keluar sambil menarik tubuh Zul yang masih lagi tercongok kaku. Aku heret Zul sekali masuk ke dalam blok sebelum aku terperasan sesuatu.


Zul sedang berselubung dalam selimut, menggigil. Langsung aku melihat tanganku yang memegang ‘Zul’ tadi. Ia hanyalah sehelai baju !


Aku mencampak baju berkenaan ke bawah. Langsung semua pintu yang ada, aku kunci sepenuhnya. Terpulanglah JL nak mengamuk atau marah sekalipun, asalkan syaitan tu tak masuk ke dalam blok kami.


Mujur saja ketika itu katil aku bersebelahan katil Zul. Lantas aku tarik katilku, bercantum dengan katil Zul. Aku terus selubungkan diri dengan selimut.


Aku memandang Zul, bertanya, “Kau dah kenapa tinggalkan aku?”


Matanya kelihatan sengaja dipejam serapat yang mungkin. “Aku nampak benda besar, berbulu tadi mengintai kita dalam tandas.”


Besar? Berbulu? Bigfoot? Alahai, bodohnya aku terbayang Bigfoot saat begitu.


“Hazim mana?” Aku bertanya. Kali ini, kepala Zul makin tertunduk ke dalam. Seolah mengelak dari terlihat sesuatu.


“Mana aku tahu! Dah lah lelapkan je mata. Benda tu ada tepi tingkap.” Serentak itu bulu romaku tegak berdiri.


Aku curi pandang ke arah tingkap. Benar, ianya berdiri tepat di hadapan kami. Cuma sosoknya tidak begitu jelas, sekadar bayang hitam. Mungkin saja kerana jaring yang dipasang pada tingkap kami menjadi batasan penglihatan kami. Terasa tubuhku lemah semacam dan aku tak ingat apa-apa selepas itu.


Apa yang aku ingat, suara Hazim merungut bawah katilnya berair. Rupanya, aku dan Zul terkencing tanpa sedar akibat ketakutan melampau. Kecoh satu blok kami ketika itu.


Pagi itu, tugas aku selaku Rejimen Sarjan Mejar (RSM) telah diambil alih oleh penghuluwati bagi mengendalikan baris pagi bagi seluruh pelatih PLKN. Aku dan Zul diberikan rawatan segera akibat demam panas.


Soal Hazim pula aku malas ambil pusing kerana tidak mahu terkenang lagi kisahnya. Walaupun ada ketikanya aku sering perasan Hazim selalu tenung aku tanpa sebab yang diketahui.


Ergh !


===================


“Wah, terjumpa Bigfoot? Menarik!” Kata Jijan. Dia masih lagi mendominasi rancangan malam ini. Arman pula sekadar tersengih, menggosok-gosok belakang tengkuknya. Seram barangkali bagi dirinya apabila mengenangkannya semula.


“Bagaimana guys? Seram tak? Jangan lupa like, komen dan share guys. Kongsikan juga pengalaman seram anda di ruangan komen saluran kami.” Kata Jijan tanpa berhenti. Semangatnya lain macam malam ni.


“Baik guys! Sudah bersedia dengan cerita seram abam pula?” tanya Jijan, membahasakan dirinya sebagai ‘abam’.


Ruangan komen dan viewer kami bertambah-tambah pula saat ini. Masing-masing tidak sabar untuk mendengar cerita seram seterusnya daripada Jijan. Cerita seram Arman sebentar mendapat pelbagai reaksi netizen yang turut berkongsi pengalaman seram ketika di PLKN.


“Ok, jom kita bercerita sekarang! Eh, kubur rupanya di sini.” Kata Jijan, teruja memandang ke arah tanah perkuburan di sebelah kiri jalan. Elok sangat dia buka tingkap, sambil melambai. Aku cepuk juga mamat ni kang ! Ada yang ikut balik nanti.


“Tutup tingkap cepat ! Cerita jela.” Kata aku, sedikit kurang selesa dengan sikap Jijan sebentar tadi.


“Ok guys. Begini kisahnya…”


=====================


CERITA 2 : BANGKITNYA AKU DARI MATI


AKU sebagai AZIZAN OMAR (Jijan)


Pagi itu aku bersiap awal pula. Kebiasaannya waktu pagi di hujung minggu begini, aku masih lagi berdengkur. Hal ini mengundang rasa hairan pada mak aku.


“Hai, awal benar bangun pagi ni Jan. Ada janji kah?” Suara ibuku menyapa, sambil menumis sambal ikan bilis. Pagi ini sepertinya ibu menyediakan nasi lemak. Namun begitu, mungkin aku tidak sempat untuk menjamahnya.


“Ya ibu. Ada janji dengan Bilal Samad. Ada program pagi ni di masjid. Bantu dia sikit-sikit.” Jawab aku sebelum meneguk secawan teh o panas di atas meja makan. Sekali teguk saja membuatkan ibuku terkejut melihatku.


“Orang gerak dulu ya bu. Tak sempat pula nak jamah nasi lemak pagi ni. Sudah lewat. Lagipun sarapan  di masjid ada disediakan.” Kata aku sambil menghulurkan tangan, bersalam dengan ibu. Dahiku dikucup lembut oleh ibu.


Basikalku di bangsal dicapai dan segera dikayuh ke arah jalan besar menuju ke masjid. Jujur saja hari ini aku sudah terlewat. Sabar ya Bilal Samad.


Setelah lima minit mengayuh, akhirnya aku selamat tiba di masjid. Orang ramai sudah memenuhi ruang koridor luar masjid bagi tujuan pendaftaran. Di hadapan pintu pagar depan masjid tertera nama program hari ini pada sepanduk (banner) yang digantung.


“KURSUS PENGURUSAN JENAZAH MASJID KG SEKAYU.”


“Ya, benar. Di sini rupanya kamu Jijan. Risau pula aku kalau kau tak sampai tadi.” Kata Bilal Samad menyapa aku dari arah belakang. Salam segera dihulurkan, tanda hormat.


“Alaa, ini Jijan lah Bilal. Mana mungkin Jijan mungkir janji.” Sengih aku tergaru-garu belakang kepala yang tak gatal itu. Segan pula buat orang lain tertunggu-tunggu.


“Jadi, apa pertolongan yang dimaksudkan Bilal tempoh hari?” tanya aku sambil mengerling ke arah nama program hari ini. Tiada lagi nama program yang lain selain ini. Bilal Samad pula tersenyum melihat aku. Keningnya diangkat-angkat membawa makna yang sukar untuk aku fahami.


=====================


Janji tetap janji. Aku harus tepatinya walaupun kurang berkenan. Nasib baik jugalah upahnya berbaloi bagi seorang remaja seperti aku ini.


Aku kini telah selamat dikafankan dan diletakkan dalam keranda yang tertutup. Aku diminta untuk menjadi model jenazah sempena program pada hari ini. Suasana dalam keranda itu dapat aku rasakan sempit dan panas. Tambahan pula, wajahku pula ditutup kapas dan juga kain. Tidak dapatlah aku melihat keadaan semasa di sekitar saat itu. Cuma sesekali aku terdengar esakan tangisan seorang wanita sambil dipujuk oleh seseorang. Jauh ianya kedengaran. Mungkin dari luar masjid. Tidak pasti.


Dalam hati aku memuji Bilal Samad akan kesungguhan dirinya demi menganjurkan sebuah kursus seperti ini. Bagi aku, ianya sempurna. Dari awal aku dimandikan, dikafankan dan kini menanti saatnya untuk aku disembahyangkan. Tak sangka pula Bilal Samad sanggup mengupah seseorang untuk menangis dalam kursus sebegini semata-mata untuk menimbulkan mood suasana di hari kematian seseorang Muslim itu.


Tiba-tiba timbul pula rasa keinsafan dalam diri. Membayangkan diriku yang masih muda, belum cukup baktinya terhadap kedua ibu bapaku. Tanpa sedar mataku mulai menakung air menahan sebak. Selesai majlis ini, aku ingin segera pulang mohon maaf pada ibu dan ayah.


Aku terdengar keadaan luar sana kecoh seolah dua orang lelaki sedang berbalah sesama sendiri. Derapan tapak kaki terdengar mendekatiku.


“Mungkin ini jenazah yang dimaksudkan. Tapi kenapa mereka tinggalkan kat sini tanpa makluman?” Lebih kurang begitulah monolognya aku kira. Dan aku tahu itu bukanlah suara milik Bilal Samad. Aku terus mendiamkan diri atas permintaan Bilal Samad sebelum kursus bermula tadi. Kononnya semata-mata untuk menjiwai watak.


“Meh sini kita angkat jenazah ni lekas. Kita dah lah tak ramai.” Suara lelaki itu kedengaran lagi. Kali ini dia memanggil orang lain pula untuk mengangkat aku entah ke mana. Aku seperti biasa, ‘in character’ bak kata orang putih. Cuma terasa sedikit aneh, mana praktikal solat jenazahnya. Bingung pula rasa.


Kini aku sepertinya telah berada dalam sebuah kenderaan. Aku kira ianya adalah van jenazah. Bertambah ‘salute’ aku pada Bilal Samad. Benar-benar menghayati dalam pekerjaan ibadahnya. Perjalanan yang aku kira  sekitar 15 minit itu cukup buat aku resah. Bukan kerana takut tapi sangat panas dalam selubung kain kapan ini. Sesekali aku cuba garu bahagian tertentu pada badanku tapi tak kesampaian. Tak apalah, nanti minta Bilal Samad garukan.


Bonet belakang van itu terdengar dikuak ke atas. Keranda aku ditarik keluar dan diangkat ke suatu tempat yang aku tak pasti.


“Liang lahad dah siap belum?” suara lelaki terdengar terdengar sekali lagi. Sepertinya dalam urusan ini dia adalah ketua. Benak fikiran aku mencari ke mana Bilal Samad. Rancangannya punyalah baik nak wujudkan suasana. Sampai ke liang lahad aku dibawanya. Benar-benar drama kursus kali ini.


Aku terasa diriku diletakkan ke tanah, cuma kali ini terasa lebih bahang dan panas. Seakan dijemur di tengah padang pasir. Aku menggeliat sedikit, mencari keselesaan. Kain kapan ini terasa basah dengan air peluhku.


“Jenazah ini sudah disolatkan tadi?” Kali ini suara lain pula terdengar. Jawapannya disambut sudah. Tapi dalam hati aku kata belum ! Takkan praktikal sebegini diambil mudah. Baru tadi puji, dan kali ini buat hal pula? Mana Bilal Samad?


Bahagian atas keranda dibuka membiarkan cahaya matahari langsung memanah tubuhku. Namun begitu, aku tetap teguh pada janji untuk memegang karakter jenazah ini sehingga selesai. Maka sabar itu diutamakan walaupun dalam diri ini mengharapkan Bilal Samad segera tamatkan kursus ini.


Dari sebalik kain putih yang menutupi wajah aku, ternampak beberapa sosok lelaki sedang berusaha mengangkatku masuk ke dalam liang lahad. Debarannya makin terasa. Belum pernah rasa lagi betapa sempitnya rumah terakhir ini. Aku memejamkan mata sambil beristighfar dalam hati. Kain dan kapas dibuka dan wajahku merasa dingin.


“Di sinilah suatu hari nanti kita akan kembali. Usahlah kita takutkan apa pun selain Allah.” Kata lelaki yang membuka penutup mukaku tadi.


“Kelihatan muda lagi ya jenazah ini. Entah apalah amalan sewaktu hidupnya dulu.” Terdengar suara lelaki berbisik sesama sendiri. Aku mula merasa hairan dengan sekitar aku.


“Umur arwah dikatakan 60 tahun, tapi tak sangka wajahnya seperti usia 14 tahun. Aku rasakan mungkin ini wali Allah.” Suara lain pula menyampuk.


“Saya memang berusia 14 tahun…” Entah bagaimana aku boleh bersuara pula di situ. Lelaki berkopiah putih yang bercerita soal takut Allah tadi melompat naik ke atas tebing. Langsung menghilang. Betul-betul sembang kari 40 hari. Hanya takut Allah konon. Sigh!


Aku cuba telentangkan diri agar mudah untuk duduk. Aku perhatikan sekelilingku. Tiada satu pun manusia kelihatan di situ. Semua lintang pukang melarikan diri.


Aku cuba meminta tolong dari dalam liang lahad. Dari jauh, aku terdengar Bilal Samad memanggil-manggil namaku berkali-kali. Aku menyahut panggilan itu.


“Mujur saja mereka tak tanam kamu hidup-hidup, Jijan. Mereka salah ambil jenazah tadi.” Jelas Bilal Samad, tercungap-cungap sambil membuka segala ikatan yang ada pada tubuhku.


“Maksud Bilal?”


“Jenazah sebenar baru saja tiba tadi di masjid dari hospital. Patutlah aku cari kau dah tiada. Rupanya ke sini kau dibawa ya. Maaf, Bilal tadi ke tandas, sakit perut. Sambal nasi lemak pagi tadi terlalu pedas.” Sambung Bilal Samad.


Dalam hatiku bersyukur kerana tidak pula ditanam hidup-hidup. Aku memanjat keluar dari liang lahad sebelum terlihat sesuatu di sebalik semak hujung sana. Seperti seseorang yang sedang berdiri tapi tubuhnya berbungkus kain putih.


Segera aku mengejar Bilal Samad yang jauh meninggalkan aku di belakang.


=====================


“Wow, patutlah sampai sekarang badan kau bau tanah kubur ya. Menarik asal usul kau.” Kata-kata aku itu mendapat satu tumbukan keras di bahu. Adushh!


“Suatu hari nanti, kita pasti akan kembali ke tanah ya. Itulah pengalaman seram menurut aku.” Jelas Jijan. Arman pula menggosok-gosok lengannya. Aku terus memperlahankan pendingin hawa. Mungkin saja dia bertambah dingin setelah mendengar cerita Jijan.


“Tapi ada yang lebih menyeramkan.” Sambung Jijan tiba-tiba. Aku berpusing tubuh ke arah Jijan, tertarik untuk dengar sambungannya.


“Apa dia?”


“Ibu aku mengamuk. Pasal sepanjang aku dikapankan, tanpa sedar aku dah tercirit menahan sakitnya perut aku.” Jijan menjelaskannya dengan reaksi mukanya menjengkelkan.


“Kau kena pandai bezakan antara kisah menyeramkan dan juga memalukan. Tak payah ceritalah!”


“Ok sekarang cerita seram kita yang terakhir untuk malam ni. Sedia Ajiq?”


Aku menunjukkan ‘thumbs up’ sebagai tanda sedia.


===========================


CERITA 3 : KISAH WAKTU PREP


AKU sebagai AMIRUL HAZIQ (Ajiq)


Seusai solat Isyak, langsung aku turun dari tangga surau menuju ke bilik guru lelaki, di Blok A sebuah sekolah yang terletaknya di atas bukit. Orang Selangor mungkin tahu di mana sekolah itu.


Pada malam itu, aku bersama seorang rakan dan juga senior dari tingkatan lima telah diberi tugas untuk menyiapkan sijil penyertaan kawad kaki Kor Kadet Polis Sekolah. Sedang mereka leka menaip nama yang ada, aku menawarkan diri untuk bancuh kopi buat mereka.


Lalu aku segera ke pantri bilik guru berkenaan yang terletak berhampiran tingkap bilik itu. Di sebelah luar tingkap itu pula adalah belakang bangunan sekolah. Agak sunyi sebenarnya di situ. Bilik guru itu pun tidaklah besar mana, cukup untuk 8-10 orang guru dalam satu-satu masa. Dan sudah pasti pantrinya itu tidak begitu jauh dari tempat mereka berdua itu sedang bekerja.


Sedang aku sibuk membasuh cawan yang ada, tiba-tiba senior aku, Adwa memanggil nama aku.


“Haziq, ke sini jap.” Aku sekadar menunjukkan isyarat ‘nanti kejap’.


“Sinilah cepat! Penting ni!” Mendengar suaranya itu sedikit tegas, aku terus tinggalkan tugas mencuci itu demi hal yang dikatakan penting itu.


“Apa dia?” Soal aku, mendekatinya sambil melihat ke arah skrin komputer. Mencari hal yang dikatakan penting itu.


“Takde apa. Kejap lagi kita balik lekas ya. Banyak lagi ke Ipin?” Tanya dia pula pada rakanku yang lagi seorang. Aku pula bingung dengan si Adwa ini. Penting tapi tiada apa pula bila ditanya.


Aku mengatur langkah keluar dari bilik guru berkenaan. Selipar disarungkan ke kaki dan lantas berjalan ke tebing bukit. Pemandangan dari atas bukit pada waktu malam sangat mengujakan. Angin pula elok sepoi-sepoi membelai tubuhku. Aku berpaling tubuh kembali ke arah bilik guru tadi.


Dan di situ jugalah aku terlihat warden asrama ketika itu, Ustaz Johari sedang duduk atas bangku bersebelahan pejabat sekolah. Dia kelihatan gelisah semacam, dengan tangannya menggosok-gosok pahanya. Mulutnya tak henti membaca sesuatu. Yang kedengaran hanyalah, “Pergi..pergi..”.


Aku segera masuk ke dalam bilik guru semula. Nampaknya Adwa dan Ipin sudah bersiap untuk pulang ke asrama. Adwa sepertinya perasan akan perilaku ganjil Ustaz Johari ketika itu. Namun, dia dengan pantas mengajak kami pulang. Bingung pula aku begini.


“Bang, sebenarnya kenapa abang panggil saya tadi? Cuba jujur.” Kata aku dengan serius. Benar-benar ingin tahu. Aku percaya mesti ada sesuatu yang disembunyikan.


“Kau nak aku jujur? Tadi waktu kau cuci cawan tepi tingkap. Aku ternampak kelibat wanita bertudung putih. Berdiri betul-betul tepi kau!” Meremang bulu romaku mendengarnya. Aku mulai menggosok-gosok tangan, tertoleh-toleh kiri kanan. Terasa pula ada yang mengikut.


“Malam ni jangan lupa baca ayat pendinding diri. Usah lepak luar selepas jam 12 tengah malam.” Pesan Adwa. Bicaranya terdengar tegas yang tak boleh disangkal lagi.


“Ustaz Johari tadi sebenarnya diganggu. Ada pula yang terbuka pagar pendinding sekitar sekolah.” Sambungnya lagi terdengar gusar.


Benar. Malam itu kami di Asrama Putera diperlihatkan dengan berbelas-belas ekor pocong yang bertenggek di atas bumbung Asrama Puteri. Jeritan histeria terdengar di sana sini melatari suasana malam.


=======================


“Eee, seram pula dengar cerita kau ni Ajiq. Meremang pula aku.” Kata Jijan sambil menggosok-gosok lengannya. Arman pula kelihatan mengantuk.


“Baiklah guys. Demikianlah perkongsian cerita seram dari kami. Bagaimana cerita tadi? Sila komen, like dan share jika anda merasakan ianya menyeramkan. Sehingga kita bertemu lagi di T.E.A.M Youtube Channel. Assalamualaikum dan selamat malam.” Akhirnya Jijan menutup rancangan Youtube kami pada malam ini.


Aku sudah mampu menarik nafas lega. Dan kini nak hantar Arman pula pulang ke rumah.


=======================


“Betulkah apa yang kau cerita tadi, Man?” Aku bertanya sekali lagi, mendapatkan kepastian. Siku aku diletakkan di atas cermin tingkap van yang terbuka hampir penuh itu. Arman masih lagi berdiri di sisi van kami.


“Betullah. Buat apa aku nak tipu? Sekarang ni aku sendiri pun tak tahu nak minta tolong siapa. Hanya korang sajalah yang aku fikir sangat expert untuk hal misteri begini.” Bersungguh betul dari gaya Arman bercakap. Aku dan Jijan sedar bahawa kami masih lagi baru dalam bidang begini tapi dalam masa yang sama tak sampai hati pula untuk mengabaikannya.


“Beginilah Man. Kami berdua berbincang dahulu. Sebab soal perempuan yang hilang secara misteri itu sudah jadi kes polis. Bimbang juga sekiranya nanti kita yang dikatakan memandai-mandai.” Aku terus bagi kata dua kepada Arman. Sekurang-kurangnya ini dapat meringankan rasa beban pada dia.


“Rumah kau yang mana satu? Kiri ke kanan?” Soal Jijan pula dari kerusi penumpang sebelah aku.


“Rumah aku, belah kiri ni haa. Tapi aku balik rumah jiran aku sebelah kanan ni. Lebih selamat.” Kata Arman. Gayanya seperti sembunyikan sesuatu.


“Bergaduh dengan bini ke apa? Bini punyalah setia tunggu kau kat tangga. Kau boleh terfikir nak tidur rumah jiran?” Kata-kata Jijan itu ternyata buatkan wajah Arman berubah. Dia berpeluk tubuh, menggosok-gosok lengannya. Lagaknya seperti takutkan sesuatu.


“Korang boleh tunggu aku tak? Sampai aku betul-betul dah masuk dalam rumah jiran aku tu?” Pinta Arman, tergagap-gagap. Tangannya masih lagi dalam posisi dan tindakan yang sama.


“Degil betul kau ni. Lantak kaulah. Hal rumah tangga, aku tak mahu campur.” Tiba-tiba si Jijan pula seakan nak mengamuk. Aku sekadar pandang Arman, anggukkan kepala.


“Sekurang-kurangnya Pak Uda itu masih lagi manusia.” Kata Arman sebelum berpusing tubuh. Berlari ke arah rumah jirannya, Pak Uda. Bagai nak roboh diketuk pintu rumahnya. Tak lama kemudian pintu terbuka dan dia memasukinya.


Kami pula masih buntu tentang perjalanan projek kami yang selanjutnya. Sepertinya Arman tadi telah mencadang sesuatu yang menurut aku menarik juga. Cuma risiko itu harus difikirkan sebaiknya.


Entah bila waktunya si Jijan ini berdengkur pun aku tak tahu. Rumah Arman itu aku perhatikan dengan penuh rasa ingin tahu. Sepertinya ada sesuatu yang menumpang di sana.


Aku terus masukkan gear dan menekan pedal minyak van. Serentak dengan itu, haruman bau bunga kemboja mengiringi pemergian kami.

Esok hari kami akan berikan jawapan kepada permintaan Arman, sama ada T.E.A.M akan menyahut cabaran dalam menyiasat misteri kehilangan wanita di Homestay Seri Delima atau tidak.


Korang rasa bagaimana?


TAMAT

6 Jun 2020 | 0151h | Teratak Sentosa







N.O.O.B - Nukilan Otak Orang BaruWhere stories live. Discover now