Aku berjalan perlahan, longlai. Sesekali lenganku menyeka peluh di dahi. Luar biasa keringatku pada hari ini. Mungkin kerana cuaca panas sedang bergembira. Tanpa hujan, tanpa awan. Aku membuka pintu pagar rumahku perlahan.
Langkahku sederhana memasuki kawasan rumah itu. Sesampainya aku di pintu rumah, segugus kunci dikeluarkan dari kocek seluar. Selepas memilih, anak kunci berwarna perak digunakan untuk membuka pintu rumah. Dengan malas aku membuka kasut dan melangkah masuk ke rumah. Segera tanganku mencari suis pada dinding. Segera juga kipas berputar memainkan peranannya.
Angin dari kipas itu aku nikmati sebaiknya dengan memejamkan mata. Tubuhku disandarkan pada sofa dengan kedua-dua tangan dibiarkan terbuka mendepa. Sedikit sebanyak ianya menyejukkan rasa hati yang gundah gulana ini.
“Eh, Ajiq. Kau tidak bekerja hari ini? Mengapa kau ada di sini lagi?” tanya kawan serumahku, Jijan yang hanya bercelana pendek dan bersinglet. Dia keluar dari bilik yang terletak di sebelah kiri.
Aku diam. Membetulkan posisi dudukku, beranjak sedikit ke kiri. Aku memandang Jijan yang duduk di sofa sebelah kanannya. Pada tangannya ada alat kawalan televisyen yang sedang diguna menukar siaran televisyen. Satu demi satu. Tapi tiada satu siaran pun yang menarik hati.
“Aku kena buang kerja.” Jawab aku. Hatiku yang tidak keruan bertambah kusut. Jijan yang bersinglet itu menunjukkan sesuatu yang tak perlu aku lihat. Terutamanya ketika dia mengangkat tangan. Mengapa perlu membiarkan kawasan itu subur dan semak? Sekiranya mahu membela, tidak perlu pakai singlet, pakailah pakaian yang berlengan.
Jijan berpaling. Keningnya terjongket. “Dibuang kerja lagi? Rasanya ini kali kelima dan kau tidak kekal pun.”
“Bukan salah aku. Bas yang datang lambat. Jadi, aku pun lewatlah masuk kerja. Selepas itu bos marah aku seolah salah aku itu besar sangat.” Kata aku sambil menggeliat. Mataku fokus ke arah televisyen. Sesekali mataku tergerak ke arah kawasan bersemak di bawah lengan Badrul. Mimpi ngeri woii.
“Kau kerja sebagai cashier di restoran tu kan? Tentulah kerja itu penting.” Kata Jijan. Sesekali dia mengelus kawasan bersemak itu dengan tangan sebelum ditekapkan ke hidungnya. Erk?
“Memanglah tapi salah bos aku juga. Aku sudah minta untuk tukar syif pagi. Waktu pagi banyak bas. Waktu tengahari bas lewat tiba. Tapi dia buat tak tahu je. Yang dia tahu, kira duit.” Kataku lagi. Nadaku masih lagi pekat dengan rasa tidak puas hati.
“Jadi kau lewat tadi, siapa jadi cashier?”
“Bos aku”
“Patutlah dia marah. Tapi kau dapat gaji tak?” soal Jijan, kali ini bersama jelingan.
“Dapat. Kau jangan risau, sewa rumah dan bil-bil bulan ini tiada masalah.” Jawab aku tanpa pinta. Aku faham maksud jelingan itu.
“Bulan depan bagaimana?”
Aku tidak menjawab. Aku sekadar menggoyangkan kaki kiri. Seolah mengharap goyangan kaki itu mampu menjatuhkan idea bagi menjawab persoalan kawannya itu.
“Aku perlu cari kerja lagi.” Langsung aku mencapai surat khabar di bawah meja kopi. Membuka ruangan iklan kerja kosong.
“Hmm, beginilah Jiq. Aku ada cadangan untuk kita bersama menambah sumber pendapatan.” Kata Jijan sambil memegang bahu kiriku. Dan itu adalah tangan yang sama mengelus kawasan bersemak tadi. Urgh!
====================
Tim Eksplorasi Alam Mistik aka T.E.A.M.
Inilah idea yang dimaksudkan oleh Jijan tadi. Menjana pendapatan melalui saluran media sosial. Menjadi youtuber yang berkongsi pengalaman hal-hal mistik kepada umum. Dan aku tiada pilihan untuk berkata ‘tidak’ kerana Jijan sudahpun menawarkan dirinya untuk menampung sewa dan bil-bil bulan depan buat aku. Tawaran ini sukar untuk ditolak bagi penganggur seperti aku.
YOU ARE READING
N.O.O.B - Nukilan Otak Orang Baru
Short StoryAku bukanlah sesiapa dalam dunia penulisan ini. Hanya seorang pendatang baru yang sekadar untuk berkongsi cerita dan rasa. Setelah sekian lama memendam cita-cita untuk menulis akhirnya diberikan ruang serta peluang untuk ini. Sebenarnya kebanyakan c...